Magnet 2026 satukan 36 pelajar antarabangsa UMPSA, semarak silang budaya
NILAI, 1 Oktober 2026 – Seramai 36 pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyertai program Meet and Greet with International Students in Malaysia (MAGNET) 2026 yang berlangsung selama dua hari, bermula 30 September hingga 1 Oktober 2026 di INTI International University, Nilai, Negeri Sembilan.
Penyertaan delegasi UMPSA turut disertai dua orang pengiring dan seorang pembimbing, dengan rombongan hadir bersama peserta daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di seluruh Malaysia.
MAGNET yang dahulunya dikenali sebagai International Student Outreach Programme merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) bagi mendekati komuniti pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di institusi pendidikan tinggi Malaysia, selain menjadi platform penghargaan kepada mereka yang memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi.
Bertemakan ‘Unity in Diversity: Bridging Cultures, Inspiring Futures’, MAGNET 2026 dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama INTI International University and Colleges menerusi inisiatif KPT melalui JPT dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan.
Program tersebut menghimpunkan lebih 1,500 pelajar antarabangsa daripada 66 buah negara, dengan penyertaan pelajar daripada 20 universiti awam (UA) dan lebih 50 institusi pendidikan tinggi swasta, sekali gus menjadi platform pertemuan komuniti pelajar antarabangsa dalam suasana silang budaya.
Sepanjang program, peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk Negeri Sembilan Heritage Trail, pertandingan permainan tradisional, pertandingan nyanyian lagu bahasa Melayu, persembahan kebudayaan antarabangsa, pameran serta sesi jaringan.
Antara permainan tradisional yang diketengahkan ialah Dam Harimau, Batu Seremban, Boling Kelapa, Congkak dan Tating Lawi.
Aktiviti berasaskan warisan Negeri Sembilan turut memberi peluang kepada peserta mengenali budaya, tradisi dan identiti masyarakat tempatan dengan lebih dekat.
Pada hari pertama, peserta menghadiri sesi perkongsian bersama Education Malaysia Global Services (EMGS), diikuti aktiviti warisan dan pertandingan kebudayaan.
Manakala di sebelah malam pula menyaksikan penganjuran International Cultural Night yang menampilkan persembahan kebudayaan daripada pelajar antarabangsa serta persembahan daripada Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan.
Program diteruskan pada hari kedua dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menerusi sesi ‘In Person with Doc Zam’ yang memberi peluang kepada pelajar antarabangsa mendengar perkongsian dan amanat beliau serta menyertai sesi dialog interaktif dan soal jawab.
Salah seorang peserta dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMPSA, Islam Areej dari Pakistan berkata, penyertaannya dalam MAGNET 2026 memberikan pengalaman berbeza kerana berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan pelajar daripada pelbagai negara serta latar belakang budaya.
“Program ini memberi saya peluang untuk mengenali lebih ramai pelajar antarabangsa yang sedang belajar di Malaysia dan pada masa yang sama memahami budaya Malaysia dengan lebih dekat.
“Sebagai pelajar antarabangsa, pengalaman seperti ini sangat bermakna kerana kami bukan sahaja datang ke Malaysia untuk mendapatkan pendidikan, tetapi turut berpeluang mengenali masyarakat, tradisi dan cara hidup di negara ini.
“Saya berharap lebih banyak program seperti ini dapat dianjurkan kerana ia membantu pelajar antarabangsa menyesuaikan diri, membina keyakinan dan merasakan bahawa kami merupakan sebahagian daripada komuniti pendidikan tinggi di Malaysia,” ujarnya.
Menurut Penolong Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (Pengantarabangsaan dan Kerjasama Akademik), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, penyertaan pelajar antarabangsa UMPSA dalam MAGNET 2026 mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh pengalaman antarabangsa pelajar serta menyediakan ruang pembelajaran yang melangkaui aspek akademik.
“Program seperti MAGNET memberi peluang kepada pelajar antarabangsa untuk membina jaringan dengan rakan-rakan daripada pelbagai negara dan institusi pendidikan tinggi, di samping mengenali budaya serta warisan Malaysia dengan lebih dekat.
“Pengalaman seperti ini penting dalam membantu pelajar meningkatkan keyakinan, kemahiran komunikasi dan keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran yang mempunyai kepelbagaian budaya.
“Penglibatan aktif pelajar antarabangsa dalam program di peringkat kebangsaan turut menyokong agenda pengantarabangsaan UMPSA serta usaha universiti mewujudkan ekosistem pendidikan yang lebih inklusif dan berorientasikan global,” ujarnya.

MAGNET 2026 turut menyediakan ruang pameran yang menampilkan wakil pelbagai negara serta reruai Education Malaysia Global Services (EMGS), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak pelancongan Negeri Sembilan. Platform tersebut membolehkan peserta bertukar maklumat mengenai budaya dan negara masing-masing serta mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan dan pengalaman sebagai pelajar antarabangsa di Malaysia.
Penyertaan UMPSA dalam MAGNET 2026 memberi ruang kepada pelajar membangunkan kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan kebolehan berinteraksi dalam persekitaran pelbagai budaya, di samping memperkenalkan UMPSA kepada komuniti pelajar antarabangsa yang lebih luas serta menyokong agenda pengantarabangsaan universiti.
Program MAGNET 2026 berakhir dengan penyampaian hadiah, sesi fotografi serta lawatan Menteri Pendidikan Tinggi ke reruai pameran sebelum melabuhkan tirai pada tengah hari, 1 Oktober 2026.
Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Perkhidmatan Akademik dan Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 23 views