Skip to main content

Martabatkan bahasa Melayu, SULAM 2026 satukan pelajar antarabangsa UMPSA dan komuniti setempat

TEMERLOH, 18 Mei 2026 – Program SULAM Meriah Bahasa Melayu 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Lanchang, Temerloh, Pahang baru-baru ini. 

Program ini merupakan inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bagi kursus ULB1312 Bahasa Melayu Komunikasi yang melibatkan pelajar antarabangsa UMPSA serta dibantu oleh pelajar tempatan yang mengikuti kursus ULB3712 Bahasa Melayu Dokumentasi. 

Melalui program ini, para pelajar berpeluang mengaplikasikan pembelajaran di dalam bilik kuliah secara langsung bersama komuniti, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna dan berimpak tinggi.

Program ini menekankan aspek komunikasi bahasa Melayu dan penglibatan pelajar antarabangsa dalam mendekati masyarakat setempat melalui aktiviti silang budaya. 

Martabatkan bahasa Melayu, SULAM 2026 satukan pelajar antarabangsa UMPSA dan komuniti setempat

Pendekatan ini bukan sahaja membantu pelajar antarabangsa meningkatkan keyakinan berkomunikasi dalam bahasa Melayu, malah membuka ruang kepada murid-murid sekolah untuk berinteraksi dengan pelajar daripada pelbagai negara dan latar budaya.

Sebanyak enam reruai interaktif bahasa Melayu dan empat reruai silang budaya telah disediakan sepanjang program berlangsung bagi memberi peluang kepada murid-murid mempelajari bahasa Melayu secara kreatif di samping mengenali budaya dan latar belakang negara pelajar antarabangsa yang terlibat. 

Setiap reruai dirancang dengan aktiviti yang bersifat santai, menyeronokkan dan mudah diikuti agar murid-murid dapat belajar dalam suasana yang ceria dan tidak membebankan.

Pelbagai aktiviti berbentuk permainan bahasa, komunikasi asas dan perkongsian budaya telah dijalankan dengan penuh meriah dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada murid sekolah. 

Suasana program menjadi lebih hidup apabila murid-murid memberikan respons yang aktif, mencuba tugasan yang disediakan dan berani berkomunikasi bersama fasilitator UMPSA.

Pelajar SJK(T) Ladang Lanchang sebagai komuniti sasaran telah memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang program berlangsung menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan pembelajaran bahasa yang dijalankan. 

Penglibatan mereka jelas menunjukkan bahawa pembelajaran bahasa Melayu dapat dilaksanakan secara lebih menarik apabila digabungkan dengan elemen permainan, komunikasi sebenar dan perkongsian budaya.

Martabatkan bahasa Melayu, SULAM 2026 satukan pelajar antarabangsa UMPSA dan komuniti setempat

Menurut Guru Besar SJK(T) Ladang Lanchang, Vasantah a/p Nadasan, pihak sekolah berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana memberi impak yang positif kepada murid-murid. 

“Program ini memberi peluang kepada murid-murid untuk berinteraksi secara langsung dengan pelajar antarabangsa menggunakan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu,” ujarnya.

Selain memberi manfaat kepada murid-murid sekolah, program ini turut menjadi platform penting kepada pelajar UMPSA untuk mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan kepekaan terhadap komuniti. 

Malah, pengalaman turun ke lapangan juga memberi peluang kepada pelajar untuk memahami peranan universiti dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui ilmu dan khidmat bakti.

Pelajar antarabangsa UMPSA dari Syria, Kaddour Alaa menyifatkan program ini sebagai satu pengalaman yang sangat bermakna kerana beliau berpeluang mempraktikkan penggunaan bahasa Melayu bersama murid sekolah dalam suasana yang santai dan menyeronokkan. 

Beliau juga berharap agar dapat menyertai lebih banyak program bersama komuniti pada masa akan datang.

Manakala bagi pelajar antarabangsa yang berasal dari Gabon, Apenene Gedeon Prunel, program ini merupakan pengalaman pertama beliau memperkenalkan negara asalnya kepada masyarakat setempat. 

Beliau menjelaskan bahawa masih ramai yang belum mengetahui tentang Gabon sebagai salah sebuah negara di benua Afrika. 

Beliau turut berasa gembira apabila murid-murid menunjukkan minat untuk mengenali budaya dan latar belakang negaranya sepanjang program berlangsung.

Mushtaha Eman A N dari Palestin pula berkongsi bahawa program seperti ini membantu pelajar antarabangsa lebih memahami budaya masyarakat Malaysia di samping meningkatkan keyakinan mereka untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu. 

Menurut beliau, sambutan mesra daripada murid-murid sekolah menjadikan pengalaman tersebut sangat istimewa.

Dalam pada itu, Ummi Najwa Mohd Zain pelajar tempatan UMPSA yang terlibat dalam penyediaan alat bantu belajar bagi reruai program ini berkata, penghasilan bahan pembelajaran interaktif telah memberi peluang kepadanya untuk mengaplikasikan kreativiti dalam membantu murid memahami bahasa Melayu dengan lebih mudah dan menarik. 

“Saya berharap agar usaha seperti ini dapat diteruskan bagi menyokong pembelajaran bahasa dalam kalangan murid-murid sekolah.

Pengarah Projek, Jamilah Bebe berharap agar program berteraskan bahasa dan silang budaya seperti ini dapat memberikan manfaat kepada masyarakat, memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar pelbagai latar belakang serta menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. 

“Program seperti ini juga diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan UMPSA dalam memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti dan memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda,” katanya. 

Disediakan Oleh: Nor Suhardiliana Sahar dan Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri