Move Robotic perkukuh jaringan industri-akademia FTKPM UMPSA
PEKAN, 17 Ogos 2026 – Kejayaan Move Robotic Sdn. Bhd. menerima pelaburan sebagai sebahagian daripada suntikan keseluruhan RM28 juta oleh VentureTECH Sdn. Bhd. kepada tiga syarikat teknologi bumiputera membuktikan potensi industri robotik tempatan untuk berkembang sebagai pemain teknologi bernilai tinggi.
Move Robotic merupakan antara tiga syarikat yang menandatangani perjanjian pelaburan dengan VentureTECH pada 12 Ogos 2026 dengan pelaburan tersebut menyokong pengembangan perniagaan automasi gudang dan logistik syarikat.
Kejayaan ini turut mencerminkan kepimpinan dan pengalaman industri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Move Robotic Sdn. Bhd., Mohd Hazeli Rasul yang kini turut menyumbang kepakaran sebagai Profesor Adjung Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Pelantikan beliau sebagai Profesor Adjung di bawah inisiatif CEO@Faculty UMPSA bertujuan memperkukuh perkongsian pengetahuan, pengalaman industri dan pembangunan bakat melalui hubungan strategik antara universiti dengan pemimpin industri.

Menurut Mohd Hazeli, penglibatan beliau bersama FTKPM bukan sekadar melalui peranan sebagai Profesor Adjung.
“Saya sebelum ini turut berperanan sebagai Penasihat Industri FTKPM, sekali gus memberikan pandangan strategik terhadap pembangunan kurikulum, keperluan kompetensi graduan dan kesesuaian program akademik dengan perkembangan teknologi industri.
“Saya juga berpengalaman dalam bidang robotik, automasi dan sistem autonomi membantu memperkukuh pendekatan FTKPM dalam melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran teknikal dan kebolehpasaran tinggi.
“Antara inisiatif penting yang dicetuskan melalui kerjasama ini ialah pembangunan program profesional dalam Kejuruteraan Digital dan Prototaip berasaskan Robot Operating System (ROS) bersama Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii),” katanya.
Tambahnya, inisiatif tersebut memberi pendedahan kepada peserta terhadap teknologi robotik moden, pengaturcaraan ROS, integrasi sistem, prototaip digital dan aplikasi automasi industri. Kerjasama UMPSA-MARii sendiri telah dibangunkan sebagai platform strategik untuk memperluas kepakaran teknologi, perkongsian pengetahuan serta pembangunan program akademik dan industri.
“Selain pembangunan bakat, Move Robotic turut memainkan peranan sebagai kolaborator industri dalam penyelidikan jangka panjang UMPSA, khususnya projek AEROGROUND: Investigation of Autonomous Aero-Ground Robot for Surveillance and Reconnaissance – Artificial Intelligence Driven Navigation with Secure Edge Computing Integration.
“Projek bernilai RM1.4 juta ini menerima pembiayaan Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria dari FTKPM.
“Projek tersebut melibatkan kerjasama UMPSA, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan fokus kepada pembangunan sistem robotik autonomi darat-udara untuk pemantauan, penjejakan dan tindak balas terhadap cabaran keselamatan negara,” ujarnya.
Selain itu, beliau menambah, kerjasama ini turut diperluas kepada pembangunan model kompetensi dalam bidang mekatronik, robotik dan kenderaan autonomi bagi staf serta pelajar UMPSA.
“Pendekatan tersebut selari dengan aspirasi Pelan Strategik UMPSA 2030, khususnya dalam memperkukuh hubungan industri, meningkatkan kompetensi bakat dan mempercepatkan pemindahan teknologi daripada universiti kepada industri.
“Dalam perkembangan terkini, Move Robotic memberi tumpuan kepada penyelesaian automasi gudang dan logistik yang menggabungkan autonomous mobile robots (AMR), automated storage and retrieval systems (ASRS), pallet shuttle systems serta perisian pengurusan gudang dan pengurusan armada robot yang dibangunkan sendiri.
“Syarikat turut menawarkan pendekatan Robot-as-a-Service (RaaS) bagi membolehkan pelanggan menggunakan teknologi automasi tanpa memerlukan pelaburan modal awal yang besar,” ujarnya.
VentureTECH menyatakan bahawa pelaburannya akan membantu Move Robotic mengembangkan perniagaan tersebut dan meneroka pasaran baharu.
Kejayaan Move Robotic ini memperlihatkan bahawa hubungan strategik di antara FTKPM UMPSA dengan industri mampu menghasilkan impak yang lebih luas, bukan sahaja dalam penyelidikan dan pendidikan, tetapi juga dalam pembangunan produk, pengkomersialan teknologi, peningkatan kompetensi tenaga kerja dan pembangunan bakat masa hadapan.
Penglibatan tokoh industri seperti Mohd Hazeli Rasul sebagai Profesor Adjung menjadi contoh penting bagaimana kepakaran industri boleh disepadukan secara langsung ke dalam ekosistem universiti.
Melalui jaringan yang kukuh antara UMPSA, Move Robotic, MARii dan rakan industri strategik, FTKPM berpotensi terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pembangunan bakat dan teknologi dalam bidang pembuatan pintar, mekatronik, robotik, automasi dan sistem autonomi, selaras dengan keperluan industri masa hadapan serta aspirasi UMPSA untuk menjadi universiti teknologi yang berimpak tinggi.
Disediakan Oleh: Laili Zulkepeli, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM)
- 16 views
Reports by: