Naib Canselor UMPSA rasmi pelancaran BacaHab Pusat Bahasa Moden
PEKAN, 5 Disember 2025 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini meraikan satu inisiatif penting dalam pemerkasaan penguasaan bahasa asing apabila Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias merasmikan BacaHab PBM di Aras 1, Bangunan PBM, Kampus Pekan.

Kesemua staf PBM turut hadir bagi meraikan detik bermakna ini.
Majlis dimulakan dengan tayangan video yang memaparkan proses persediaan BacaHab, termasuk pembinaan sudut mural, susun atur ruang bacaan serta usaha pengumpulan buku.
Video tersebut turut menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak seperti Penerbit UMPSA, Perpustakaan, jawatankuasa BacaHab, para pelajar yang melukis mural serta komuniti yang menyumbang tenaga dan idea.
Perpustakaan UMPSA merupakan penyumbang utama dengan 180 buah buku, selain sumbangan daripada staf, pelajar dan pihak luar.
Dalam ucapan alu-aluan, Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali menzahirkan penghargaan atas sokongan padu pihak pengurusan universiti dalam memperkukuh pembangunan bahasa asing di universiti khususnya di PBM.
Beliau turut menekankan kepentingan ruang pembelajaran kondusif bagi memupuk budaya membaca dan meningkatkan kemahiran komunikasi pelajar.
“BacaHab bukan sekadar sudut bacaan, tetapi ruang komuniti yang menyatukan budaya membaca, penguasaan bahasa dan kreativiti,” ujar beliau.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada para pelajar yang menghasilkan mural di sudut BacaHab.
Acara diteruskan dengan sesi lawatan yang dipandu oleh maskot ‘Burung Hantu’, simbol kebijaksanaan.
Para tetamu turut dibawa ke sudut mural yang sarat dengan elemen visual bertemakan kepelbagaian bahasa.
Menurut maskot ‘Burung Hantu’, mural burung-burung ini melambangkan kita semua yang datang dari serata dunia ilmu, dan satu hari nanti kita akan kembali ke ‘sarang (tempat ilmu)’ untuk berkembang (menimba ilmu).
Setibanya di sudut BacaHab, para tetamu disambut oleh pelajar daripada setiap kelab bahasa yang tampil dalam pakaian tradisi masing-masing.

Mereka memperkenal kelab, berkongsi aktiviti bahasa, malah sempat mengajar beberapa frasa asas kepada Naib Canselor.
Suasana menjadi ceria apabila para pelajar dan tetamu berinteraksi serta meraikan kepelbagaian budaya.
Selain itu, para pelajar turut memperkenalkan papan lembut interaktif bagi setiap bahasa yang menampilkan pandangan, ekspresi dan idea kreatif komuniti pelajar.
Ujar pensyarah PBM, Dr. Wan Jumani Fauzi, inisiatif ini menjadikan BacaHab sebuah komuniti membaca yang hidup dan dinamik.
Sebagai simbolik pelancaran, Naib Canselor menyempurnakan upacara penzahiran plak BacaHab, menandakan pembukaan rasmi ruang bacaan dan pembelajaran tersebut.
Dalam ucapannya, Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias menzahirkan penghargaan terhadap usaha gigih PBM dan para pelajar dari setiap kelab bahasa dalam menjayakan Inisiatif Pemerkasaan Bahasa Asing (i-PBA).
“Inisiatif seperti ini sangat bagus.
“Bahasa merupakan platform asas komunikasi dan membina persefahaman antara manusia.
“Tahniah kepada semua pelajar daripada kelab-kelab bahasa atas komitmen dan usaha yang ditunjukkan.” ujar beliau.
Naib Canselor turut meluangkan masa melawat beberapa ruang lain di PBM.
BacaHab merupakan Inisiatif Pemerkasaan Bahasa Asing (i-PBA) 1, hasil kolaborasi strategik antara PBM dan persatuan bahasa pelajar UMPSA.
Inisiatif ini bertujuan memupuk tabiat membaca, memperkasa kemahiran komunikasi dan memperluas pendedahan pelajar terhadap bahasa asing melalui platform pembelajaran yang lebih kreatif.
Dengan penubuhan BacaHab, PBM berharap dapat mewujudkan ruang pembelajaran yang menyokong pencapaian Hasil Pembelajaran Program berkaitan kemahiran komunikasi, di samping merapatkan hubungan antara pensyarah dan pelajar melalui aktiviti bahasa, pameran serta program literasi.

BacaHab dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan budaya membaca di UMPSA serta mempromosikan Kursus Bahasa Asing di PBM.
Hal ini adalah selari dengan visi PBM untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dalam bidang bahasa dan komunikasi melalui pendekatan pelbagai dan teknologi, ke arah melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai bahasa dan konteks global.
Ilmu dicari sepanjang masa,
BacaHab nadi bahasa, pelita minda.
Disediakan Oleh: Mahzaton Aqma Abu Talip, Leong Hui Theng dan Nur Anisnabila Dianah, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 11 views