NC UMPSA Hadiri Sambutan Ulang Tahun Ke-130 BJTU, Perkukuh Kerjasama Strategik dengan Universiti Terkemuka China
XIONG’AN, CHINA. 10 September 2026 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Şultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-130 Beijing Jiaotong University (BJTU) yang berlangsung di Pusat Sukan Xiong’an, China bertemakan ‘130th Anniversary Innovation and Development Conference’.
Jemputan ke majlis bersejarah ini mencerminkan hubungan erat serta komitmen berterusan antara UMPSA dan BJTU yang telah terjalin sejak 2021.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, Program Ijazah Dual UMPSA-BJTU yang memasuki kohort kelima telah melahirkan graduan yang kini menyumbang kepada pembangunan industri rel di Malaysia.
“BJTU yang diasaskan pada tahun 1896 merupakan antara institusi pendidikan tinggi terkemuka di China khususnya dalam bidang Pengangkutan dan Kejuruteraan.
“Sambutan ulang tahun ke-130 pada tahun ini menjadi satu pencapaian penting dalam perjalanan panjang universiti berkenaan serta sumbangannya terhadap pembangunan pendidikan, teknologi dan sektor pengangkutan di China.
“Pencapaian BJTU selama 130 tahun ini merupakan manifestasi keupayaan sebuah institusi pendidikan tinggi untuk terus berkembang seiring perubahan zaman tanpa mengabaikan peranannya dalam menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat,” ujarnya.
Majlis turut dihadiri kepimpinan kerajaan wilayah Xiong’An, pengurusan tertinggi BJTU termasuk Presidennya, Profesor Dr. Liu Pan.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh dan Pengarah Confucius Institute UMPSA, Profesor Madya Dr. Lee Khai Loon.
Pihak UMPSA merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Beijing Jiaotong University atas pencapaian luar biasa selama 130 tahun dalam melahirkan bakat, membangunkan ilmu serta menghasilkan penyelidikan dan inovasi berimpak.

Kata Profesor Ts. Dr. Yatumah lagi, di UMPSA, kerjasama antarabangsa seperti ini antara pemacu penting dalam mempertingkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan universiti serta menyediakan pendedahan global kepada mahasiswa dan warga akademik.
Beliau berharap penyertaan UMPSA dalam sambutan ini dapat terus memperkukuh hubungan kedua-dua universiti serta membuka lebih banyak peluang kolaborasi baharu yang memberi manfaat kepada mahasiswa, penyelidik dan para akademia di kedua-dua buah negara.
Sambutan ulang tahun kali ini turut menjadi platform menghimpunkan warga universiti, alumni, rakan strategik serta tetamu dari dalam dan luar China dalam meraikan sejarah dan pencapaian BJTU.
Disediakan OIeh: Mohd Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor
- 21 views
Reports by: