Pegawai Fokal UMPSA hadiri Wacana Profesional Kerangka Standard Bahasa Melayu 2026
KUALA LUMPUR, 18 Mei 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmen dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu apabila pegawai fokalnya yang juga merupakan pensyarah Pusat Bahasa Moden, Dr. Nor Yazi Khamis menghadiri Wacana Profesional Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) Tahun 2026 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Dewan Za’ba, KPT.
Program tersebut menghimpunkan wakil institusi pengajian tinggi (IPT), pakar bahasa dan pemegang taruh pendidikan bagi membincangkan pelaksanaan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) sebagai piawaian pengukuran tahap penguasaan bahasa Melayu secara lebih sistematik dan seragam.
Wacana itu menampilkan Profesor Madya Dr. Karim Harun dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai Panel 1 dan Tuan Haji Khaidir Othman daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia sebagai Panel 2, manakala sesi dikendalikan oleh Nurul Julia Alani Henry daripada DBP.
Dalam pada itu, perbincangan turut menyentuh tahap penguasaan bahasa Melayu, penyetaraan pentaksiran bahasa dan mekanisme penilaian dalam kalangan masyarakat umum, golongan pendidikan, profesional dan malim bahasa.
Menurut pembentangan yang dikongsikan, pentaksiran bahasa Melayu kini diselaraskan berdasarkan KSBM bagi memastikan standard penguasaan bahasa dapat diukur secara lebih konsisten dan berkualiti.
Selain itu, KSBM turut dilihat sebagai inisiatif strategik dalam memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu dan identiti nasional di peringkat pendidikan tinggi negara.
Kerjasama erat antara KPT dan DBP juga terus diperkasakan melalui pelaksanaan penyelidikan, penambahbaikan kurikulum dan pembangunan latihan komunikasi berimpak tinggi.
Menurut Dr. Nor Yazi, penyertaan dalam wacana profesional seperti ini bukan sekadar memberi pendedahan terhadap perkembangan terkini dalam standardisasi bahasa Melayu, malah membuka ruang untuk membina jaringan kerjasama dan bertukar pandangan dengan pakar serta pengamal bahasa dari pelbagai institusi.
“KSBM bukan hanya instrumen pentaksiran, tetapi satu langkah penting dalam memastikan bahasa Melayu terus relevan sebagai bahasa ilmu dan bahasa profesional.
“Saya berharap hasil perkongsian dalam wacana ini dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh program pemerkasaan bahasa di UMPSA, khususnya dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir berkomunikasi, malah menghargai nilai dan martabat bahasa kebangsaan,” ujarnya.
Penyertaan UMPSA dalam program ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Pelan Strategik UMPSA yang menekankan pembangunan masyarakat berilmu, berbudaya serta memperkukuh penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi.

Oleh: Jamilah Bebe Mohamad dan Dr. Nor Yazi Khamis, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 40 views