Pelajar antarabangsa UMPSA cipta kejayaan dalam permainan tradisional di MAGNET 2026
NILAI, 1 Oktober 2026 – Pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraih satu gelaran juara, tiga naib juara dan satu tempat keempat dalam pertandingan permainan tradisional sempena Meet and Greet with International Students in Malaysia (MAGNET) 2026 yang berlangsung di INTI International University, Nilai, Negeri Sembilan.
Delegasi UMPSA menyertai kesemua enam acara yang dipertandingkan, iaitu Heritage Trail, Boling Kelapa, Tating Lawi, Congkak, Batu Seremban dan Dam Harimau.
Daripada enam acara tersebut, wakil UMPSA mencatatkan pencapaian dalam lima acara.
Penyertaan tersebut merupakan sebahagian daripada penglibatan 36 pelajar antarabangsa UMPSA dalam MAGNET 2026 yang berlangsung selama dua hari, bermula 30 September hingga 1 Oktober 2026.
MAGNET 2026 yang bertemakan ‘Unity in Diversity: Bridging Cultures, Inspiring Futures’ dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama INTI International University and Colleges menerusi inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan.
Program tersebut menghimpunkan pelajar tempatan dan antarabangsa daripada institusi pendidikan tinggi di Malaysia melalui pelbagai aktiviti kebudayaan, permainan tradisional, pameran, persembahan dan jaringan silang budaya.
Dalam Pertandingan Congkak, Utami Meilia Ayu dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) muncul juara, sekali gus mencatatkan pencapaian tertinggi bagi delegasi UMPSA dalam acara permainan tradisional.
Sementara itu, Md Shaekh Forid dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) meraih naib juara dalam pertandingan Dam Harimau.
Dalam acara berkumpulan Tating Lawi, pasukan UMPSA yang diwakili Sumaya Hossain Arni dan Mir Zubayer Mahmood dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), serta Tanzim Talha, Money Barima dan Abu Darda Jubaer dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), turut meraih tempat kedua.
Najmul Haque dari Fakulti Komputeran (FK) pula meraih tempat kedua dalam pertandingan Batu Seremban, manakala delegasi UMPSA memperoleh tempat keempat dalam pertandingan Boling Kelapa.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, penglibatan pelajar antarabangsa UMPSA dalam MAGNET 2026 memberi peluang kepada mereka memperluas pengalaman pembelajaran, memahami budaya Malaysia dan membina jaringan antarabangsa.
“Pencapaian ini membuktikan pelajar antarabangsa UMPSA bukan sahaja aktif dalam akademik, malah berani mencuba perkara baharu serta menyertai aktiviti berkaitan warisan dan budaya tempatan.
“Penglibatan dalam program seperti ini turut menyokong agenda pengantarabangsaan UMPSA dengan mewujudkan interaksi silang budaya, meningkatkan keyakinan dan membina jaringan persahabatan,” ujarnya.

Penglibatan dalam permainan tradisional turut memberi ruang kepada pelajar antarabangsa UMPSA untuk mengenali warisan tempatan melalui pengalaman secara langsung, di samping mengembangkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan keyakinan diri dalam persekitaran pelbagai budaya.
Penyertaan UMPSA dalam MAGNET 2026 juga memperlihatkan peranan pelajar antarabangsa sebagai sebahagian daripada komuniti universiti dalam memperkenalkan nama UMPSA serta membina hubungan dengan peserta daripada institusi pendidikan tinggi lain di Malaysia.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan dalam majlis penutup MAGNET 2026 pada 1 Oktober 2026 yang turut menampilkan sesi bersama Menteri Pendidikan Tinggi, penyampaian hadiah, sesi fotografi dan lawatan ke reruai pameran.
Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Perkhidmatan Akademik (PPA) dan Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 22 views
Reports by: