Pelajar Antarabangsa UMPSA dari India finalis nyanyian lagu bahasa Melayu di Magnet 2026
NILAI, 1 Oktober 2026 – Gayathry Ganesh pelajar antarabangsa dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dari berasal dari India, berjaya mara ke peringkat akhir Pertandingan Nyanyian Lagu Bahasa Melayu sempena Meet and Greet with International Students in Malaysia (MAGNET) 2026 di INTI International University, Nilai, Negeri Sembilan.
Pencapaian tersebut turut mencatat sejarah tersendiri apabila penyertaan Gayathry merupakan penyertaan pertama UMPSA dalam Pertandingan Nyanyian Lagu Bahasa Melayu MAGNET, sekali gus membuka ruang kepada pelajar antarabangsa universiti menampilkan bakat dalam bahasa Melayu di peringkat kebangsaan.
Gayathry memilih lagu ‘Jodoh Lebaran’ nyanyian Aisha Retno sebagai lagu persembahan.
Lagu yang dilancarkan pada Mac 2026 itu mendapat sambutan hangat sempena Aidilfitri dan tular di media sosial serta platform digital.
Pertandingan Nyanyian Lagu Bahasa Melayu merupakan antara pertandingan kebudayaan dalam MAGNET 2026 yang memberi ruang kepada pelajar antarabangsa menampilkan bakat serta mendekati bahasa dan budaya Malaysia.
Bagi Gayathry, penyertaan tersebut merupakan pengalaman istimewa kerana sepanjang enam tahun berada di Malaysia, ini merupakan kali pertama beliau menyertai MAGNET dan membuat persembahan lagu bahasa Melayu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan membantu saya sepanjang pertandingan ini.
“Sepanjang enam tahun berada di Malaysia, ini merupakan kali pertama saya menyertai MAGNET dan juga membuat persembahan lagu bahasa Melayu.
“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana diberi peluang untuk menyertai pertandingan ini serta membawa lagu bahasa Melayu di hadapan pelajar antarabangsa dari pelbagai negara,” katanya.
Penyertaan Gayathry turut mendapat sokongan daripada suaminya yang juga merupakan pelajar antarabangsa UMPSA, Vaishak Sunil.
Sokongan tersebut menjadi antara dorongan kepada Gayathry sepanjang membuat persiapan dan menyertai pertandingan berkenaan.
Selain itu, penyertaan Gayathri turut mencerminkan usaha membudayakan bahasa Melayu dalam aktiviti kokurikulum serta memperluas penggunaannya dalam kalangan pelajar antarabangsa, selari dengan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023–2030 yang digerakkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Pelan tersebut antara lain memberi penekanan kepada pembudayaan bahasa Melayu dalam aktiviti kokurikulum dan pemerkayaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
MAGNET 2026 yang bertemakan ‘Unity in Diversity: Bridging Cultures, Inspiring Futures’ dan dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama INTI International University dengan kerjasama KPT melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) serta Kerajaan Negeri Sembilan.
Program berlangsung pada 30 September hingga 1 Oktober 2026 dan menghimpunkan pelajar antarabangsa melalui pelbagai aktiviti kebudayaan, permainan tradisional, pertandingan dan jaringan silang budaya.
Kejayaan Gayathry mara ke peringkat akhir bukan sahaja menjadi pencapaian membanggakan buat delegasi UMPSA, malah memperlihatkan bagaimana bahasa Melayu dapat menjadi medium interaksi dan pengenalan budaya Malaysia dalam kalangan komuniti pelajar antarabangsa.
UMPSA turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penyertaan delegasi universiti dalam MAGNET 2026, khususnya pihak pengurusan, pengiring dan pelajar yang memberikan sokongan sepanjang program berlangsung.
Oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM) dan Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Perkhidmatan Akademik (PPA)
- 38 views