Pelajar lepasan program BVI dan BVE UMPSA jadi buruan industri Automasi dan Elektrik
PUTRAJAYA, 25 Ogos 2024 – Pelajar lepasan Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automasi Elektronik Industri (BVI) dan Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik (BVE) yang mengikuti pengajian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi buruan pihak industri Automasi dan Elektrik.
Pelajar lepasan program ini berjaya mendapat tempat di dalam industri dan telah mula bekerja sejurus tamat program pengajian di UMPSA.
Menurut Dekan FTKEE, Profesor Ts. Dr. Hamdan Daniyal, barisan lepasan pelajar kohort pertama ini telah berjaya dalam kerjaya mereka dan mendapat tempat di dalam industri.
“Pelajar-pelajar ini juga memberikan maklum balas yang baik kerana mereka dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di dalam dunia karier mereka.
"Saya sangat terharu dan gembira kerana ini adalah suatu kejayaan buat universiti dalam menghasilkan graduan dari program pembelajaran berasaskan kerja (WBL) yang merupakan kaedah pembelajaran dengan tujuan memberikan pelajar penguasaan kandungan pembelajaran berasaskan aktiviti di tempat kerja serta latihan industri,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, program BVI dan BVE yang menerapkan konsep Work-Based Learning (WBL) ini julung kali dianjurkan oleh FTKEE bagi memberi peluang dan laluan kepada lulusan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.
“Program ini membolehkan pelajar menjalani tempoh pengajian selama tiga tahun iaitu dua tahun di dalam kampus dan setahun tahun secara WBL.
“Saya berharap agar lebih ramai lagi pelajar akan turut serta di dalam program ini,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Pengarah Fester Automation Sdn. Bhd., Saiful Nizam Samat berkata, program ini sangat bagus kerana pelajar memperoleh asas pengetahuan dan kemahiran yang kukuh sebagai persediaan sebelum menempuh alam pekerjaan.
“Syarikat kami menerima dua orang pelajar dari program ini sepanjang tempoh WBL mereka.
“Sepanjang tempoh itu, pelajar-pelajar ini bukan sahaja belajar tentang teori asas malahan dapat mempraktikkan secara praktikal di tempat kerja.
“Ini memberikan asas dan pengetahuan yang kukuh kepada pelajar sebelum mereka mula bekerja dan mereka juga secara tidak langsung terdedah kepada situasi sebenar alam pekerjaan sepanjang tempoh WBL tersebut,” ujarnya.
Manakala bagi Pengarah Urusan KLUG Energy Sdn. Bhd., Ir. Ts. Nor Azman Mohd Ruah pula berkata, program ini sangat membantu dalam melahirkan teknologis yang berkemahiran dan merupakan batu loncatan bagi pelajar berkemahiran teknikal ke arah bidang Kejuruteraan.
“Terdapat perbezaan ketara bagi para pelajar lepasan program ini kerana mereka lebih bersedia untuk menempuh alam pekerjaan bukan sahaja mempunyai kelebihan dalam mempraktikkan kemahiran mereka dari segi teori, tetapi juga mempunyai kelebihan dalam ilmu keusahawanan dan daya menyelesaikan masalah.
“Saya berharap program ini dapat diteruskan dan didedahkan kepada pelajar-pelajar lepasan Diploma Kemahiran yang mungkin tidak tahu akan kebolehan mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Selain itu juga, pihak UMPSA menyediakan peluang yang amat bagus kepada para pelajar ini untuk meneruskan pengajian mereka,” katanya.
Tambah Ir. Ts. Nor Azman lagi, industri amat menantikan dan memerlukan lebih ramai pelajar lepasan program ini untuk turut sertai mereka dalam memajukan industri negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Pihak kami terbuka untuk menerima lebih ramai pelajar dari program ini untuk menjalani WBL di syarikatnya dan akan berusaha untuk melatih mereka dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Manakala menurut Pengarah Urusan MIWA Industries Sdn. Bhd., Ts Eizuddin Nawawi, beliau juga berharap agar program ini diteruskan pada masa akan datang memandangkan teknologi adalah perkara yang sentiasa berubah dan teknologi industri memerlukan tenaga pakar yang berkemahiran seperti pelajar-pelajar lepasan program ini untuk sentiasa berdaya saing dalam industri.
“Para pelajar lepasan program ini telah memenuhi kriteria asas untuk menjadi seorang teknologis di dalam bidang yang mereka ceburi dan UMPSA telah berjaya menghasilkan graduan yang amat berkemahiran dan menjadi buruan pemain industri.
“Kemahiran mereka di dalam industri akan membantu dalam menaik taraf sesebuah industri ke tahap yang lebih tinggi memandangkan negara kita amat memerlukan teknologis yang berkemahiran seperti mereka ini,” tambahnya.
Baru-baru ini, pihak FTKEE menganjurkan majlis makan malam dan sesi libat urus bersama 33 alumni kohort pertama dari jurusan ini bersama industri dalam majlis yang berlangsung di Dorsett Putrajaya.
Turut hadir Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Ts. Dr. Azri Alias, Ketua Program BVI, Ts. Dr. Raja Mohd Taufika Raja Ismail, Ketua Program BVE, Ts. Dr. Rosmadi Abdullah dan barisan pensyarah FTKEE.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 288 views