Program Kembara Bersasar perkasa akses pendidikan tinggi dalam kalangan atlet
PAYA BESAR, 10 Oktober 2026 - Program Kembara Bersasar - Arena Sukan Destinasi Akademik menjadi platform untuk memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar atlet menerusi pendedahan mengenai peluang pengajian, syarat kemasukan universiti serta perancangan laluan akademik dan kerjaya selepas tamat persekolahan.
Program yang berlangsung di Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
UMPSA bertindak sebagai peneraju utama dalam menyelaras dan menyokong pelaksanaan program berkenaan bagi memastikan kelancarannya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Yang Berhormat Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Profesor Dr. Zainal Amin Ayub dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh yang mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.
Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, pendekatan outreach bersasar penting bagi memastikan pelajar atlet mendapat maklumat dan bimbingan yang jelas untuk merancang masa depan pendidikan tanpa mengabaikan komitmen terhadap sukan.
“UMPSA mahu pelajar atlet melihat pendidikan tinggi sebagai kesinambungan kepada pembangunan potensi diri.
“Bakat dan disiplin yang dibentuk melalui sukan boleh dimanfaatkan dalam pengajian, sekali gus membuka peluang kepada mereka membina kerjaya berdasarkan minat dan kelayakan masing-masing,” ujarnya.
Beliau berkata, pendedahan awal mengenai pilihan bidang pengajian, syarat kemasukan dan proses permohonan dapat membantu pelajar membuat persediaan lebih terancang sebelum menamatkan persekolahan.
Sebagai universiti berteraskan kejuruteraan dan teknologi, UMPSA turut menggalakkan pelajar meneroka bidang yang berpotensi menghubungkan pengalaman sukan dengan inovasi teknologi, termasuk analisis prestasi, peralatan sukan pintar dan aplikasi kecerdasan buatan (AI).
Sementara itu, Dato’ Sri Mohd Shahar dalam ucapannya menegaskan bahawa pelajar atlet tidak seharusnya melihat kecemerlangan sukan dan pendidikan sebagai dua laluan yang terpisah, sebaliknya perlu berusaha membina kejayaan dalam kedua-dua bidang.
“Pelajar tidak perlu memilih antara menjadi atlet dengan menjadi seorang yang berpendidikan.
“Kita mahu mereka berjaya di gelanggang dan pada masa yang sama berjaya di bilik kuliah, makmal, bengkel serta alam pekerjaan,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pelajar, khususnya yang berada di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 supaya mula merancang masa depan pendidikan lebih awal dengan mengenal pasti bidang pengajian, universiti pilihan dan syarat kemasukan yang bersesuaian.
Menurut beliau, peluang melalui laluan khas UPUOnline bagi kumpulan sasaran termasuk atlet perlu diketahui dan difahami, dengan calon masih perlu memenuhi syarat am kemasukan, syarat khas program serta ketetapan yang berkuat kuasa.
Beliau turut menekankan bahawa pendidikan dan latihan, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), merupakan antara komponen penting dalam membangunkan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri dan ekonomi masa hadapan.
UMPSA terus menyokong usaha memperluas penyampaian maklumat pendidikan tinggi kepada bakal pelajar dan memperkukuh kerjasama dengan KPT serta pihak sekolah bagi membantu pelajar atlet merancang masa depan yang seimbang antara kecemerlangan sukan, pendidikan dan kerjaya.
Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 26 views