Program Profesor Turun Padang perkasa pengurusan risiko dan kawalan bahan kimia di Makmal Sekolah
PAYA BESAR, 2 September 2026 - Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Program Profesor Turun Padang (PTP) bagi Pengurusan Risiko dan Kawalan Bahan Kimia bersama Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) pada 2 September 2026 bertempat di Auditorium Perpustakaan UMPSA Kampus Paya Besar.
Program yang melibatkan seramai 120 orang pembantu makmal sekolah ini merupakan salah satu aktiviti di bawah Geran Inovasi Sosial Universiti (CDU250102) yang bertujuan memperkasakan komuniti melalui perkongsian ilmu, peningkatan kemahiran serta pemindahan pengetahuan daripada pihak universiti kepada komuniti.
Program ini memberi fokus kepada peningkatan kesedaran dan amalan yang betul dalam pengurusan bahan kimia, khususnya berkaitan pengenalpastian bahan kimia berbahaya serta kawalan yang bersesuaian semasa pengendalian dan penyimpanan bahan kimia di makmal sekolah.
Pengisian program merangkumi sesi perkongsian oleh Profesor Madya Dr. Ts. Mohd Aizuddin Abdul Aziz dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), UMPSA serta Muhammad Faizal Zainal Abidin dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang.

Sesi perkongsian turut disusuli dengan sesi soal jawab dan aktiviti berkumpulan yang memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan pengetahuan berkaitan pengenalpastian bahaya dan pengurusan risiko bahan kimia.
Selain sesi perkongsian ilmu, program turut mengetengahkan pembentangan dapatan penilaian risiko makmal sekolah sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan kefahaman peserta terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di persekitaran makmal.

Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti melalui pemindahan ilmu yang memberi manfaat secara langsung kepada kumpulan sasaran.
Kerjasama erat antara FSTI, KSKM dan para peserta diharapkan dapat menyumbang kepada pengurusan bahan kimia yang lebih selamat, sistematik dan berkesan di makmal-makmal sekolah.
Disediakan Oleh: Nurfazhilah Abdul Razak, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI)
- 29 views
Reports by: