Program Sarjana Muda Pengurusan Projek peroleh akreditasi antarabangsa dari PMI GAC selama 5 tahun
GAMBANG, 16 Januari 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mencipta sejarah apabila Program Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Kepujian dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI) diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
Program itu berjaya memperoleh akreditasi penuh daripada Project Management Institute, Global Accreditation Center (PMI GAC) bagi tempoh lima tahun bermula Mei 2024 hingga April 2029.
Pengiktirafan ini menjadikan program tersebut antara yang terbaik dalam bidang Pengurusan Projek di peringkat sarjana muda.
Kejayaan ini juga adalah hasil audit akreditasi kali kedua yang berlangsung dari 20 hingga 22 November 2024.
Menurut Ketua Program Pengurusan Projek, Dr. Nurhaizan Mohd Zainudin, proses audit ini melibatkan tiga panel penilai berpengalaman daripada PMI GAC yang menilai secara mendalam aspek struktur program, kurikulum dan hasil pembelajaran.
“Proses ini membuktikan bahawa program UMPSA memenuhi piawaian global dan mengekalkan standard kecemerlangan akademik.
“Akreditasi ini membuka pintu kepada pelajar dan graduan untuk meneroka peluang lebih luas pada pasaran kerja global.
“Graduan program ini kini lebih bersedia untuk menyandang jawatan seperti eksekutif projek, pegawai projek, penyelaras projek, dan pembantu pengurus projek iaitu mereka dapat membina pengalaman awal yang kukuh dalam bidang Pengurusan Projek.
“Dengan pengalaman kerja yang relevan, graduan boleh menaikkan tahap kerjaya mereka kepada jawatan lebih tinggi seperti pengurus projek, perunding projek, atau pakar strategi projek pada masa depan,” ujarnya.
Salah seorang ahli panel industri program berpendapat, graduan akan memiliki kelebihan kompetitif yang signifikan, menjadikan mereka aset berharga kepada organisasi yang relevan.
Tambah Dr. Nurhaizan, pelajar juga dapat menikmati kelebihan istimewa seperti peluang untuk memperoleh pensijilan seperti Certified Associate in Project Management (CAPM) yang diiktiraf di seluruh dunia.
“Mereka turut mendapat akses kepada bahan rujukan utama industri, Project Management Body of Knowledge (PMBOK) Edisi Ke-7 yang menjadi panduan penting dalam bidang Pengurusan Projek.
“Staf akademik pula mendapat manfaat melalui keahlian PMI, membolehkan mereka memperluaskan jaringan profesional dan mengakses sumber terkini dalam bidang ini.
“Program Sarjana Muda Pengurusan Projek UMPSA turut memperkukuhkan reputasinya melalui kurikulum yang diselaraskan dengan PMI Talent Triangle,” katanya.
Jelas beliau lagi, tiga elemen utama iaitu business acumen, ways of working dan power skills, diterapkan dalam struktur pengajaran bagi memastikan graduan dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang menyeluruh.
“Pendekatan ini memastikan pelajar bersedia untuk menghadapi cabaran industri dan memimpin projek dengan strategi yang berkesan,” ujarnya.
Selain memenuhi keperluan akreditasi PMI GAC, pendekatan ini mengukuhkan kualiti program dalam menyediakan pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga mampu mengurus projek di peringkat antarabangsa.
Pengiktirafan penuh daripada PMI GAC ini mengukuhkan lagi status UMPSA sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf dunia.
Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Dr. Mohd Hanafiah Ahmad menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan ini.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini dan komited untuk terus memastikan program ini kekal relevan dan memenuhi keperluan industri yang berkembang pesat.
“Dengan pencapaian ini, Program Sarjana Muda Pengurusan Projek UMPSA muncul antara program pilihan utama bagi individu yang bercita-cita untuk membina kerjaya dalam bidang Pengurusan Projek.
“Gabungan kurikulum yang bersepadu, peluang kerjaya global, dan kelebihan pensijilan antarabangsa menjadikan program ini aset berharga kepada pelajar dan graduan,” ujarnya.
Katanya, pengiktirafan ini bukan sekadar bukti kecemerlangan akademik tetapi juga refleksi komitmen UMPSA dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia.
“Fakulti Pengurusan Industri UMPSA kini berada di landasan terbaik untuk terus melahirkan pemimpin projek masa depan yang berdaya saing pada peringkat global,” katanya.
Disediakan Oleh: Dr. Nurhaizan Mohd Zainudin, Fakulti Pengurusan Industri
- 165 views