Skip to main content

Reruai Yaman UMPSA tarik perhatian di MAGNET 2026, tonjol sajian tradisional dan barangan antik

NILAI, 1 Oktober 2026 – Reruai negara Yaman yang dikendalikan oleh pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi antara tarikan dalam program Meet and Greet with International Students in Malaysia (MAGNET) 2026 yang berlangsung di INTI International University, Nilai, Negeri Sembilan.

Bagi delegasi UMPSA, negara Yaman diketengahkan menerusi reruai kebudayaan yang menampilkan makanan tradisional serta koleksi barangan antik yang mencerminkan sebahagian daripada warisan dan identiti masyarakat negara itu.

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, turut berkesempatan mengunjungi reruai Yaman dan berinteraksi dengan pelajar antarabangsa UMPSA sebelum meneruskan kunjungan ke reruai negara Chad yang terletak bersebelahan.

Menurut pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Bajandooh Ahmed Adel Ahmed, penyertaan dalam reruai tersebut memberi peluang kepada pelajar memperkenalkan budaya dan tradisi Yaman kepada pengunjung daripada pelbagai latar belakang.

“Reruai ini memberi peluang kepada kami untuk memperkenalkan budaya Yaman kepada lebih ramai orang, bukan sahaja melalui makanan tradisional, tetapi juga menerusi barangan antik yang mempunyai nilai budaya dan sejarah tersendiri.

“Ramai peserta mungkin belum pernah berpeluang mengenali Yaman dengan lebih dekat, jadi kami mahu menggunakan reruai ini sebagai ruang untuk memperkenalkan sebahagian daripada identiti negara kami,” katanya.

Antara makanan tradisional yang diperkenalkan ialah Small Sweet Bread, Yemeni Cake, Sour Yemeni Cake, Blender Dates atau Aseedah serta Adani Tea. 

Barangan antik yang dipamerkan turut menarik perhatian pengunjung yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang sejarah dan kehidupan masyarakat Yaman.

Jelas beliau lagi, menerusi sajian makanan, pengunjung berpeluang menikmati sendiri cita rasa dan budaya Yemen, sementara koleksi barangan antik membawa mereka menelusuri sejarah, tradisi serta kehidupan masyarakat negara itu.

“Apabila pengunjung melihat sesuatu barang yang mereka tidak pernah lihat sebelum ini, mereka mula bertanya tentang kegunaannya dan dari situ kami dapat berkongsi lebih banyak cerita mengenai budaya kami,” katanya.

Seterusnya pelajar Fakulti Komputeran UMPSA, Abdullah Muataz Adel dari  dari Yaman juga berkata, reruai tersebut turut menarik perhatian pengunjung untuk mengenali budaya mereka dengan lebih dekat.

“Reruai ini bukan sahaja menarik perhatian pengunjung untuk mengenali budaya Yaman dengan lebih dekat, malah mengubat rindu saya terhadap kampung halaman. 

“Melihat pelbagai sajian makanan dan barangan dari Yaman di sini membuatkan saya seolah-olah kembali seketika ke tanah air sendiri,” ujarnya. 

Program MAGNET 2026 yang bertemakan ‘Unity in Diversity – Bridging Cultures, Inspiring Futures’ dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama INTI International University.

Program berkenaan menghimpunkan pelajar antarabangsa menerusi pelbagai aktiviti termasuk aktiviti kebudayaan, permainan tradisional, persembahan, pameran dan sesi jaringan bagi menggalakkan interaksi serta pertukaran budaya.

Menariknya, penglibatan dalam reruai Yaman turut disertai Yousef Hamzah pelajar Fakulti Komputeran UMPSA dari Jordan yang membantu mengendalikan reruai berkenaan.

“Walaupun saya dari Jordan dan mereka dari Yaman, terdapat beberapa persamaan dalam budaya dan cara hidup masyarakat Arab yang dapat kami kongsikan bersama,” katanya. 

Delegasi UMPSA ke program MAGNET 2026 disertai seramai 36 pelajar antarabangsa, dua orang pengiring serta seorang buddy, yang bersama-sama menjayakan penglibatan UMPSA sepanjang program berkenaan.

Penglibatan UMPSA menerusi reruai Yaman turut menyokong aspirasi Pelan Strategik UMPSA 2026–2030 (UMPSA30), khususnya dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan universiti melalui penglibatan aktif pelajar antarabangsa. 

Inisiatif seumpama ini bukan sahaja memperkenalkan kepelbagaian budaya, malah membuka ruang kepada pembinaan jaringan global serta mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang inklusif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Reruai Yaman UMPSA tarik perhatian di MAGNET 2026, tonjol sajian tradisional dan barangan antik

Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Perkhidmatan Akademik (PPA) dan Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim