Skip to main content

UMP dan HsMA Jerman bakal tawar program ijazah dual kejuruteraan perniagaan

KUALA LUMPUR, 9 Februari 2022 - Kerjasama strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Mannheim University of Applied Sciences (HsMA) bakal memperluaskan kolaborasi akademik di peringkat antarabangsa dalam menerajui pendidikan kejuruteraan Jerman (Fachhochschule) di negara ini.

Kolaborasi ini bakal memanfaatkan perkongsian kepakaran dalam bidang akademik, penyelidikan, pertukaran staf dan pelajar serta latihan industri. 

Dalam program ini menyaksikan Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP dan Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Dr. Mohd. Hanafiah Ahmad menandatangani MoA. 

Manakala pihak HsMA diwakili oleh Rektor HsMA, Profesor Dr. Astrid Hedtke-Becker dan Ketua Jabatan Fakulti Kejuruteraan dan Pengurusan, Profesor Dr. Mathias Hafner yang menandatangani  perjanjian secara dalam talian. 

UMP dan HsMA Jerman bakal tawar program ijazah dual kejuruteraan perniagaan

Turut sama menyaksikan acara adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Duta Besar Jerman ke Malaysia, TYT Dr. Peter Blomeyer.  

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, pihak UMP dan HsMA bersetuju menawarkan program Kejuruteraan Perniagaan yang bakal ditawarkan mulai ambilan akan datang.  

“Pelajar akan menerima dua ijazah apabila bergraduasi kelak iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan daripada Fakulti Pengurusan Industri (UMP) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dan Pengurusan Antarabangsa (HsMA).

“UMP yang kini melangkah usia 20 tahun penubuhan boleh berbangga apabila mendapat kepercayaan di peringkat antarabangsa hasil kejayaan program kerjasama yang terjalin bermula dari tahun 2010 bersama dengan pihak Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan berikutnya pada tahun 2014 bersama dengan pihak Reutlingen University (HsRT). 

“UMP juga kini memfokuskan agenda pembangunan mampan (SDG) ke arah kelestarian kampus dan pendigitalan seiring dengan pembangunan masa depan),” ujarnya.

Sementara itu, Profesor Dr. Hedtke-Becker berkata, kolaborasi ini bakal memperkukuhkan hubungan dalam meneroka peluang kerjasama yang bakal memanfaatkan kedua-dua universiti.  

Selain itu, dijangkakan seramai sepuluh pelajar UMP berpeluang mengikuti dua semester pengajian di Jerman dan begitu juga pelajar HsMA bakal mengikuti pengajian di UMP.

Dalam menerajui pendidikan kejuruteraan, UMP turut menetapkan sasaran agar semua fakulti dan jabatan di universiti ini perlu menjalinkan program antarabangsa sebagai penanda aras dalam memperkasa pembangunan akademik di universiti ini dalam perancangan Pelan Strategik UMP 2021-2025. 

UMP sebagai salah satu universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN)  menawarkan program-program teknikal seperti kejuruteraan, teknologi kejuruteraan dan teknologi selain daripada program-progam yang sifatkan sebagai soft technical seperti komputer, sains dan pengurusan industri.  

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit