Skip to main content

UMP, Ulm University of Applied Sciences jalin kerjasama dalam program kelestarian kampus Model Jerman

FRANKFURT, 15 Julai 2022 - Jalinan kerjasama untuk kelestarian kampus antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Ulm University of Applied Sciences (THU), Jerman bakal mengembangkan model kelestarian kampus yang berpaksikan pendidikan Kejuruteraan Jerman yang bercorak Fachhochschule dalam sistem pendidikan tinggi negara. 

Kolaborasi melibatkan pertukaran informasi dan pengetahuan, akademik, penyelidikan dan perkongsian amalan terbaik terutama dalam menada aras TVET aras tinggi berdasarkan pendekatan Ulmer Modell yang di laksanakan di THU. 

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) itu turut disaksikan oleh Konsul Jeneral Malaysia Frankfurt, Farzamie Sarkawi yang berlangsung di Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt. 

Dalam majlis itu, UMP dihadiri Naib Canselornya, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Dekan Jabatan Matematik dan Sains Ekonomi, Profesor Dr. Marc-Oliver Otto mewakili THU.

Turut sama hadir Dekan Kanan, Kolej Teknologi Kejuruteraan UMP, Profesor Dr. Abdullah Ibrahim dan Ketua Jaringan Antarabangsa Tenaga Kompeten (IECN), THU iaitu Profesor Dr. Walter Georg Commerell. 

Menurut Naib Canselor UMP, Professor Dato' Ts. Dr. Yuserrie, hasil kerjasama UMP dengan universiti di Jerman sejak 12 tahun lalu menghasilkan program kerjasama dual ijazah UMP bersama Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dalam Kejuruteraan Mekatronik, Automotif dan Elektrikal. 

“Manakala program Kejuruteraan Perniagaan akan bersama dengan rakan baharu dari Mannheim University of Applied Sciences (HsMA). 

“Kerjasama universiti dengan negara Eropah itu bermula menerusi rundingan UMP dengan German Academic Exchange Service (DAAD) iaitu sebuah agensi kerajaan Jerman yang bertanggungjawab terhadap kerjasama akademik antarabangsa sekitar tahun 2010 dengan sokongan pihak kedutaan Jerman dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya. 

Ujarnya, sejak bermula program ini dari tahun 2010, seramai 181 pelajar UMP telah berjaya menamatkan pengajian di dalam program kerjasama dual ijazah membabitkan seramai 108 pelajar dari kejuruteraan mekatronik dan seramai 66 pelajar telah mengikuti program kejuruteraan automotif. 

“Manakala, seramai tujuh lagi pelajar telah menamatkan pengajian di dalam program Kejuruteraan Perniagaan,” katanya.

Hubungan baik itu membolehkan UMP bekerjasama dengan nama besar dalam industri dari Jerman seperti Mercedes-Benz, Volkswagen, BMW, Robert Bosch, Mühlbauer, Vacuumschmelze dan Elektrisola yang memberi peluang penempatan latihan industri, pertukaran staf, lawatan industri dan peluang pekerjaan.

Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit