Skip to main content

UMPSA anjur Kursus Bahasa Melayu Komunikasi untuk pelajar antarabangsa

GAMBANG, 8 November 2024: Postgraduate Association (PGA), Institusi Pengajian Siswazah (IPS), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Kursus Bahasa Melayu Komunikasi pada Ogos yang lalu untuk para pelajar antarabangsa yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Kursus tersebut diadakan bertujuan untuk memberikan peluang kepada mereka menguasai bahasa Melayu sebagai alat komunikasi utama dan memperdalam pemahaman mereka tentang budaya dan konteks masyarakat Malaysia. 
Selain itu, kursus itu juga memberi penekanan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang semakin relevan dalam dunia akademik dan profesional. 

Dengan menguasai bahasa Melayu, pelajar dapat mengakses pelbagai sumber ilmu dan penyelidikan yang diterbitkan dalam bahasa ini, sekali gus memperkaya pengetahuan mereka dalam pelbagai bidang pengajian.

UMPSA anjur Kursus Bahasa Melayu Komunikasi untuk pelajar antarabangsa

 
Sepanjang sesi ini, para pelajar bukan sahaja mengikuti kuliah yang disampaikan oleh pensyarah, tetapi mereka juga dikehendaki melalui proses pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh dan interaktif. 

Aktiviti pembelajaran yang dijalankan melibatkan pelbagai kaedah untuk meningkatkan pemahaman dan kemahiran mereka seperti melakukan pembentangan secara berkumpulan, berlakon menggunakan bahasa Melayu mengikut situasi yang ditetapkan, serta terlibat dalam sesi Global Classroom bersama Dr. Wiji Sumarno pensyarah dari Universitas Islam Negara Salatiga, Indonesia dan Anis Nabilla Ahmad dari Universiti Sains Malaysia (USM). 
 

UMPSA anjur Kursus Bahasa Melayu Komunikasi untuk pelajar antarabangsa

 
Pendekatan ini bertujuan untuk memberikan pelajar peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pelbagai budaya dan perspektif, sekali gus memperluas pemahaman mereka dalam bidang yang dipelajari. 
Melalui sesi Global Classroom ini, pelajar dapat bertukar idea, berkongsi pengetahuan, dan membincangkan topik-topik tertentu serta berpeluang untuk belajar dengan pensyarah lain dari institusi berlainan.

UMPSA anjur Kursus Bahasa Melayu Komunikasi untuk pelajar antarabangsa

  
Pada akhir kursus ini, sebuah pertandingan diadakan untuk menguji tahap penguasaan bahasa Melayu para pelajar. 

Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu individu dan berkumpulan. 

Beberapa pelajar mempersembahkan bacaan puisi, sajak, dan pantun, manakala yang lain pula mengadakan sketsa lakonan berkumpulan yang menggambarkan situasi seperti berjumpa doktor di klinik dan perbualan jual beli di kafe. 

Aktiviti ini bukan sahaja menguji kemahiran bahasa mereka, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan bahasa Melayu dalam konteks kehidupan seharian. 
Selain itu, pertandingan ini juga turut memupuk keyakinan diri mereka menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi. 

Disediakan Oleh: Jamilah Bebe, Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Admin UMP News