Skip to main content

UMPSA catat sejarah, 34 pelajar baharu perintis Program Pesisir TVET Borneo UMPSA–UMS

PEKAN, 28 Mac 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencatat sejarah apabila buat julung kalinya menerima seramai 34 orang pelajar baharu perintis bagi mengikuti pengajian Program Pesisir TVET Borneo UMPSA–UMS di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, program ini merupakan kerjasama strategik antara UMPSA dan UMS, yang menyaksikan pada masa ini penawaran dua program Sarjana Muda Teknologi secara pesisir di UMS iaitu Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas serta Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik dengan Kepujian.

UMPSA catat sejarah, 34 pelajar baharu perintis Program Pesisir TVET Borneo UMPSA–UMS

“Program ini diiktiraf oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dengan tempoh pengajian selama tiga tahun setengah bagi membolehkan pelajar mengikuti pengajian selama tiga semester di UMS, dua semester di UMPSA serta dua semester yang terakhir bagi menjalani latihan industri (LI).

“UMPSA merupakan sebuah universiti awam (UA) yang berteraskan kejuruteraan dan teknologi serta menawarkan program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) termaju.

“Pelaksanaan Program Pesisir TVET BORNEO ini adalah sebagai program kerjasama yang akan membuka peluang kepada anak-anak Sabah khususnya lepasan Kolej Vokasional (KV) untuk mengikuti program yang ditawarkan UMPSA dengan kerjasama UMS,” ujarnya. 

UMPSA catat sejarah, 34 pelajar baharu perintis Program Pesisir TVET Borneo UMPSA–UMS

Tambah beliau lagi, UMPSA telah mengorak langkah awal dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama UMS, Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan Yayasan Sabah dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk akademik, penyelidikan dan pemerkasaan mahasiswa.

“Bagi mencapai hala tuju MTUN TVET Termaju 2030 ini, UMPSA telah memulakan usaha bersama pihak UMS bagi program pesisir di UMS untuk penawaran program-program akademik berteraskan TVET yang ditawarkan hanya di MTUN.

“Usaha ini termasuklah perancangan melaksanakan ijazah bersama (joint degree) pada masa akan datang. 

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sangat memberi perhatian terhadap bidang pendidikan tinggi terutama di Borneo agar setiap agenda pendidikan tinggi negara tidak tercicir dan dapat dinikmati setiap rakyat di Sabah dan Sarawak,” katanya. 

Ujarnya, ini termasuklah komitmen KPT dalam melebar luas Agenda Pendidikan TVET peringkat tinggi (sarjana muda, sarjana dan PhD) yang sedang dilaksanakan oleh empat buah universiti teknikal di bawah MTUN dapat dimaksimakan. 

“Ia sebagai salah satu usaha untuk memberi kemudahan dan melebarkan akses pendidikan kepada anak-anak di negeri itu bagi mengikuti program-program berasaskan TVET melalui pelbagai kaedah termasuk program pesisir di Sabah dan Sarawak. 

“Usaha ini juga bakal merealisasikan hasrat UMPSA sebagai hab TVET Termaju seiring Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 (UMPSA30) dan hala tuju MTUN TVET Termaju 2030 di bawah dasar perluasan kampus dan perluasan akses kemasukan pelajar TVET,” jelasnya. 

Dalam pada itu, pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih kepada KPT atas sokongan dalam menjayakan program ini.

Kehadiran pelajar disambut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Rossita Shapawi dan Penolong Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (Pengantarabangsaan & Kerjasama Akademik), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim. 


Kumpulan pelajar ini antara 499 pelajar baharu yang mendaftar secara fizikal termasuk di kampus UMPSA di Pekan dan Gambang bagi memulakan Semester II, Sesi Akademik 2025/2026 setelah mendaftar secara dalam dalam talian pada 6 Mac 2026 lalu.

Terdahulu, pelajar baharu ini telah melengkapkan proses pendaftaran awal secara dalam talian dan mengikuti program Hari Suai Kenal (HSK) secara maya yang berlangsung pada 7 hingga 8 Mac lalu sebagai persediaan sebelum melapor diri secara fizikal di kampus.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri