Skip to main content

UMPSA dan NIT Yonago College memperkukuh hubungan melalui program Edu-Tourism Summer Programme 2024

KUALA LUMPUR, 10 September 2024 – Seramai 11 orang pelajar yang diiringi Profesor Morita Shiota dari National Institute of Technology (NIT), Yonago College, Jepun menyertai Edu-Tourism Summer Programme 2024 anjuran Pusat Hubungan Antarabangsa (PuHA), UMPSA pada 4 hingga 10 September 2024. 

Menurut Pengarah PuHA, Profesor Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari, jadual program telah dirancang dengan teliti bagi menawarkan pengalaman menyeluruh kepada peserta. 

“Melalui program ini, kami berharap peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan akademik tetapi juga merasai keunikan dan keindahan Malaysia secara langsung.

“Program ini juga berfungsi sebagai platform unik untuk memperkukuh kerjasama di antara UMPSA dengan NIT Yonago College. 

“Peserta berpeluang berinteraksi dengan pelajar dan staf akademik tempatan, sekali gus membina persahabatan erat dan meletakkan asas untuk kerjasama masa depan antara kedua-dua institusi ini,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, mereka juga berpeluang mendalami pelbagai aspek budaya dan kehidupan di Malaysia serta terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti melawat tapak-tapak bersejarah, destinasi pelancongan popular dan menghadiri sesi akademik yang menarik di UMPSA. 

UMPSA dan NIT Yonago College memperkukuh hubungan melalui program Edu-Tourism Summer Programme 2024

“Jadual program telah disusun dengan baik untuk mengimbangi elemen akademik dengan pengalaman budaya dan rekreasi. 

“Peserta menjelajah Kuala Lumpur dengan melawat Kuala Lumpur City Gallery, Petrosains Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Jambatan Saloma, Pasar Seni, dan Dataran Merdeka. 

“Di Kuantan, mereka turut menikmati aktiviti luar iaitu bersantai di Pantai Teluk Cempedak, melawat Kilang Sate Zul dan mencanting batik,” katanya. 

Katanya, di Melaka pula, mereka berpeluang mengunjungi Menara Taming Sari, Muzium Kesultanan Istana Melaka, merasai Cendol Menara Jam, dan bersantai di Pantai Klebang.

“Para peserta turut dibawa berkunjung ke Sekolah Kebangsaan Seri Biram, Pekan bagi mengenali keunikan budaya bersama kanak-kanak.

“Mereka disambut baik dengan paluan kompang, persembahan silat, koir, serta tarian tradisional. 

“Selain itu, para peserta turut bermain permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, dan baling selipar,” katanya. 

Summer Programme di UMPSA bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada peserta tetapi juga turut memperkukuh hubungan antara kedua-dua institusi pengajian tinggi tersebut. 

Profesor Madya Dr. Mohd Azmir berharap agar program ini akan menjadi asas kepada kerjasama yang berterusan dan pertukaran pelajar pada masa hadapan. 

Guru pengiring NIT Yonago College, Profesor Morita Shiota melahirkan rasa teruja dengan sambutan dan pengalaman sepanjang tujuh hari program. 

“Kami berpeluang memahami kehidupan pelajar di UMPSA dan menerokai keindahan alam semula jadi serta budaya Malaysia melalui pelbagai aktiviti menarik,” katanya. 

Selain empat orang staf PuHA, program turut dibantu oleh empat orang pelajar UMPSA yang berperanan sebagai buddies bagi setiap peserta. 

Secara keseluruhannya, program Edu-Tourism dapat meningkatkan kesedaran budaya dan kemahiran bahasa para pelajar antarabangsa. 

PuHA berharap dapat menganjurkan lebih banyak program seperti ini pada masa hadapan yang akan terus memperkukuh hubungan antara UMPSA dan jaringan antarabangsa.

Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Hubungan Antarabangsa (PuHA)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri