Skip to main content

UMPSA dedah pelajar sekolah kepada teknologi laser industri

PEKAN, 22 Jun 2026 – Seramai 12 orang pelajar bersama tiga guru pengiring daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peramu Jaya, SMK Dato Mahmud Mat dan SMK Seri Pekan berpeluang mendalami teknologi pemprosesan laser industri menerusi program komuniti bertajuk ‘Laser Your Future: Empowering High School Students with Cutting-Edge Processing Technology for Creative Expression’ yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Program yang diadakan selama dua hari iaitu pada 15 dan 22 Jun lalu di Makmal Joining Welding & Laser Processing, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) itu bertujuan menyemarakkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendedahan awal kepada teknologi pemprosesan laser yang semakin mendapat perhatian dalam sektor industri moden.

Inisiatif berimpak tinggi itu dianjurkan oleh Kumpulan Proses Pembuatan (Joining Welding & Laser Processing), FTKMA dengan bimbingan barisan akademik dan fasilitator berpengalaman yang diketuai oleh Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad bersama pensyarah, staf teknikal serta pelajar FTKMA.

Program tersebut turut mendapat kerjasama erat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan yang diselaraskan oleh Mohd Radzi Md Isa, sekali gus memperkukuh jaringan kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah dalam usaha melahirkan generasi celik teknologi.

Sepanjang program, para peserta tidak hanya didedahkan kepada aspek teori, malah berpeluang mengikuti sesi latihan praktikal secara hands-on yang membolehkan mereka mengendalikan sendiri teknologi laser industri.

Mereka diperkenalkan dengan pelbagai aplikasi pemprosesan laser termasuk pemotongan (laser cutting), kimpalan (laser welding) dan penandaan (laser marking), yang merupakan antara teknologi utama dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.

Lebih menarik, para pelajar diberi peluang menggunakan Mesin Laser Gentian 30W dan 50W untuk menghasilkan produk kreatif mereka sendiri menerusi proses ukiran pada pelbagai jenis bahan seperti kayu, logam dan akrilik.

Pengalaman tersebut bukan sahaja meningkatkan kefahaman mereka terhadap aplikasi teknologi laser dalam industri, malah membuka ruang untuk meneroka potensi teknologi sebagai medium kreativiti dan inovasi.

Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, para peserta dapat melihat sendiri bagaimana teknologi canggih mampu diterjemahkan kepada penghasilan produk yang bernilai serta mempunyai elemen seni dan kreativiti.

Penganjuran program seumpama ini diharap dapat menyuntik inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk menceburi bidang STEM dan memperkukuh usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

FTKMA komited untuk meneruskan pelbagai program pemindahan ilmu dan teknologi kepada komuniti pada masa hadapan bagi memupuk budaya inovasi serta memperkasakan pembangunan bakat generasi muda negara.

Disediakan Oleh: Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri