Skip to main content

UMPSA ke Asia Timur: Kembara Mobiliti PEKA 3 di Lijiang pemangkin jalinan pendidikan dan budaya Malaysia–China

YUNNAN, CHINA, 22 November 2025 - Seramai 16 orang pelajar PEKA 3 bersama penasihat strategik mobiliti, Rosjuliana Hidayu Rosli, telah menyertai Program Kembara Mobiliti 2025 dan Jalinan Budaya ke Lijiang, Yunnan, China. 

Program ini merupakan satu inisiatif strategik dalam memperkukuh kerjasama pendidikan antarabangsa serta memupuk kefahaman silang budaya antara Malaysia dan China.

Program ini dirangka selari dengan tuntutan globalisasi yang menekankan pembangunan pelajar holistik, berdaya saing global dan berkeupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran antarabangsa. 

Pemilihan Lijiang, sebuah tapak warisan dunia UNESCO, memberikan pendedahan pembelajaran merentas disiplin yang melibatkan sejarah, budaya, ekonomi, kulinari dan ekologi.

Sepanjang program, pelajar didedahkan kepada warisan perdagangan Jalan Teh-Kuda melalui lawatan ke Horse Caravan Museum, di samping memahami kepelbagaian etnik China seperti Naxi, Han, Mongolia dan Tibet.

Aktiviti kebudayaan Asia Timur telah membuka ruang pelajar PEKA 3 untuk meneroka sendiri seni komunikasi, seni budi atau disiplin dan juga seni dalam memimpin dapat memberi erti secara alami melalui pendekatan bersama komuniti lama di Lijiang. 

UMPSA ke Asia Timur: Kembara Mobiliti PEKA 3 di Lijiang pemangkin jalinan pendidikan dan budaya Malaysia–China

Pengalaman ini diperkukuh melalui aktiviti kebudayaan, persembahan seni bertaraf antarabangsa Lijiang Impression Show yang sangat memukau dan memaparkan sejarah etnik Naxi dan Han serta penerokaan alam semula jadi di Jade Dragon Snow Mountain.

Penasihat mobiliti, Rosjuliana Hidayu Rosli, turut berkesempatan meninjau dan berkomunikasi secara langsung dengan masyarakat Islam tempatan di Lijiang. 

Medium komunikasi yang digunakan ketika itu ialah bahasa Arab, yang menjadi jambatan interaksi dan persefahaman merentas budaya.

Seorang warga China yang memperkenalkan dirinya sebagai Amin Lee memaklumkan bahawa pembelajaran bahasa Arab di China dapat diikuti melalui pengajian dan aktiviti yang dijalankan di masjid-masjid tempatan. 

Perkongsian ini membuka perspektif baharu kepada para peserta mengenai kepelbagaian landskap pendidikan Islam di China serta kewujudan komuniti Muslim yang aktif dan berakar dalam masyarakat setempat.

Selain itu, terdapat dalam kalangan pelajar PEKA 3 yang mampu berkomunikasi dalam bahasa Mandarin, sekali gus memudahkan interaksi dengan komuniti tempatan dan menjadikan perjalanan mobiliti ini lebih mesra, lancar dan bermakna. 

Kehadiran pelajar PEKA 3 yang mengenakan busana tradisional etnik Naxi turut menarik perhatian pelancong, menjadikan mereka bukan sahaja peserta program, malah duta kecil yang mencerminkan keterbukaan pertukaran budaya dan mempamerkan keindahan pertemuan nilai antarabangsa di antara negara Malaysia dan juga China.

Menurut, Pengarah Program, Harlyana Azreen, pengalaman kembara antarabangsa ini telah membuka perspektif baharu buat dirinya. 

“Keunikan disiplin masyarakat China yang tinggi, khususnya dalam aspek pengurusan masa, ketertiban sosial dan penghargaan terhadap budaya telah memberikan inspirasi serta kefahaman yang mendalam tentang nilai yang membentuk kekuatan sesebuah masyarakat,” ujarnya. 

Secara keseluruhannya, program mobiliti ini berjaya mencapai objektif pembelajaran antarabangsa serta memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–China melalui pendidikan, budaya dan hubungan insan. 

Ia turut menyumbang kepada pembentukan graduan yang memiliki perspektif global, sensitiviti budaya dan nilai kemanusiaan sejagat.

Disediakan Oleh: Rosjuliana Hidayu Rosli, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri