UMPSA manfaat kepakaran ITB, pertingkat jaminan kualiti akademik
PEKAN, 13 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan dan pembangunan kompetensi warga universiti melalui penyertaan staf pentadbiran/Pengurus Pusat Perancangan dan Pembangunan Akademik (PPPA), Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Noor Syahidah Sabran dalam Program Mobiliti Staf di Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia.
Program yang berlangsung selama lima hari bermula 28 September hingga 2 Oktober 2026 itu memberi fokus kepada penerokaan amalan terbaik dalam pengurusan dan jaminan kualiti akademik, khususnya melalui pemahaman terhadap pendekatan dan amalan yang dilaksanakan oleh ITB, sebuah universiti terkemuka di Indonesia.
ITB telah mencatatkan kedudukan ke-255 dunia dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2026, manakala bidang Engineering & Technology berada pada kedudukan ke-216 dunia dalam QS World University Rankings by Subject 2026.
Program mobiliti ini diselaraskan melalui kerjasama Pusat Jaringan Global UMPSA dan Pusat Pembangunan Bakat, sebagai sebahagian daripada usaha universiti memperluas peluang pembangunan profesional staf melalui pendedahan kepada amalan dan pengurusan pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa.
Program ini adalah sebahagian daripada usaha strategik universiti menerusi Lonjakan 3 (Bakat): Mobiliti Staf di bawah Amanat Naib Canselor UMPSA 2026 serta menyokong objektif Attracting and Nurturing Global Talent (Staff) dalam Pelan Strategik UMPSA 2026–2030.
Sepanjang program, Noor Syahidah telah ditempatkan di Fakultas Teknologi Industri (FTI), ITB dan diberikan pendedahan secara langsung terhadap proses pengurusan jaminan kualiti akademik termasuk pengurusan pelajar.
Antara pengisian utama program termasuk sesi perkongsian dan perbincangan berkaitan pengurusan semakan struktur kurikulum, pelaksanaan proses jaminan kualiti akademik, governan dan tadbir urus, pengurusan pelajar serta pendekatan penambahbaikan berterusan dalam menyokong kecemerlangan akademik.
Pendedahan tersebut turut memberi peluang untuk memahami perkembangan dan pencapaian akademik ITB, termasuk pendekatan yang digunakan dalam memastikan kualiti penyampaian akademik sentiasa memenuhi keperluan semasa pendidikan tinggi.
Malah beliau juga turut berkesempatan melawat dan meninjau infrastruktur serta kemudahan akademik di ITB.
Pendedahan secara langsung ini memberikan perspektif yang lebih menyeluruh mengenai hubungan antara perancangan akademik, kemudahan pembelajaran dan pembangunan persekitaran akademik yang kondusif.
Selain itu, pembukaan Muzium ITB pada 3 Julai 2026 lalu kepada orang ramai bukan sekadar ruang pameran, tetapi merupakan platform pemeliharaan warisan institusi, pengukuhan identiti universiti, dokumentasi sumbangan warga dan alumni, pendidikan generasi baharu serta pengukuhan institutional branding.
Program mobiliti ini juga turut memberi nilai tambah dari aspek pengurusan pelajar antarabangsa apabila beliau berkesempatan bertemu dengan lima orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) UMPSA yang sedang mengikuti program mobiliti berkredit selama 1 semester bermula semester I 2026/2027 di Sekolah Teknik Elektro dan Informatik di ITB.
Pertemuan tersebut membolehkan perkongsian secara langsung mengenai pengalaman pelajar UMPSA dalam mengikuti aktiviti akademik di institusi rakan antarabangsa, selain memberikan gambaran mengenai aspek sokongan dan pengurusan pelajar sepanjang tempoh mobiliti.
Menariknya, pelaksanaan inisiatif pembangunan kompetensi staf UMPSA melalui program mobiliti antarabangsa ini turut mendapat perhatian dan minat daripada pihak ITB untuk meneroka peluang mobiliti staf secara dua hala.

Dekan Fakultas Teknologi Industri (FTI) ITB, Profesor Ir. Tirto Prakoso turut menyatakan hasrat pihak FTI ITB untuk merancang penyertaan staf pentadbiran mereka dalam program mobiliti di UMPSA pada tahun 2027, susulan pengalaman positif yang diperoleh melalui pelaksanaan program mobiliti staf UMPSA di ITB.
“We are also willing to do the same program in the fiscal year, and please inform UMPSA the FTI’s plan.
“Is it possible or not to accept my staff doing mobility program in UMPSA?,” katanya dalam komunikasi susulan program mobiliti tersebut.
Hasrat tersebut dilihat sebagai satu perkembangan positif dalam memperkukuh hubungan institusi dan kerjasama dua hala antara UMPSA dan ITB, khususnya melalui pertukaran pengetahuan serta pengalaman dalam kalangan staf pentadbiran universiti.
Selain minat untuk meneroka pelaksanaan mobiliti staf secara dua hala, hubungan strategik di antara UMPSA dan ITB turut telah dikembangkan kepada perancangan kerjasama program akademik di peringkat pascasiswazah.
Kedua-dua institusi sedang meneroka dan merancang untuk melaksanakan program Ijazah Dual yang melibatkan program Master of Industrial Engineering di UMPSA dan Master of Industrial Engineering and Management di ITB.
Kerjasama ini dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani pada 27 Julai 2026 di ITB.
Menurut Noor Syahidah, pengalaman mengikuti program mobiliti ini memberikan peluang untuk melihat secara dekat bagaimana aspek pengurusan akademik dan jaminan kualiti dilaksanakan dalam konteks sebuah institusi pendidikan tinggi antarabangsa.
“Program ini memberikan pendedahan yang sangat bermakna kerana kita bukan sahaja dapat berkongsi pengalaman, tetapi turut berpeluang melihat sendiri amalan pengurusan akademik dan jaminan kualiti yang dilaksanakan di ITB sebagai universiti terkemuka di Indonesia.
“Input yang diperoleh sepanjang program ini akan menjadi sumber rujukan dan penanda aras yang berguna dalam usaha memperkukuh perancangan, pembangunan dan pengurusan akademik di UMPSA.
“Pendedahan kepada amalan institusi luar negara juga penting bagi memastikan perancangan dan pembangunan akademik universiti sentiasa responsif terhadap perubahan landskap pendidikan tinggi serta mengamalkan pendekatan penambahbaikan secara berterusan,” ujarnya.
Dalam konteks yang lebih luas, minat FTI ITB untuk menghantar staf pentadbirannya ke UMPSA pada tahun hadapan menunjukkan bahawa program mobiliti staf bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah berpotensi menjadi pemangkin dan pengukuhan kepada mobiliti dua hala dan pengukuhan kerjasama institusi antara kedua-dua universiti.
Penyertaan ini selaras dengan aspirasi UMPSA dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, pengantarabangsaan dan pembangunan kompetensi warga universiti, di samping memperluas jaringan strategik dengan institusi pendidikan tinggi berprofil tinggi di peringkat global.

Oleh: Noor Syahidah Sabran, Pusat Perancangan dan Pembangunan Akademik, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa
- 27 views