UMPSA memperkukuh Agenda Memartabatkan Bahasa Melayu melalui penyertaan dalam bengkel PTMBM 2023–2030
KUALA LUMPUR, 15 Mei 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu menerusi penyertaan dalam Bengkel Pelaporan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (PTMBM 2023–2030) yang berlangsung pada 14 hingga 15 Mei 2026 di Hotel Ideas, Kuala Lumpur.
Bengkel dua hari anjuran Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu diadakan bagi membincangkan aspek pelaporan, pelaksanaan dan hala tuju PTMBM 2023–2030 di IPTA.
Program tersebut melibatkan penyertaan pegawai fokal daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi (IPT) dan agensi berkaitan di seluruh negara, termasuk wakil universiti awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti, pegawai daripada KPT dan urus setia pelaksana program.
UMPSA telah diwakili oleh Guru Bahasa Melayu, Pusat Bahasa Moden (PBM), Jamilah Bebe Mohamad, selaku pegawai fokal universiti.

Penyertaan UMPSA dalam bengkel ini turut mendapat sokongan Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Zuriana Ali yang sentiasa komited dalam memperkukuh usaha pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di peringkat universiti.
Menurut beliau, bengkel ini menjadi platform penting dalam memperkukuh penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan PTMBM di peringkat universiti.
“Pelaksanaan pelan tindakan ini bukan sahaja memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam bidang akademik dan pentadbiran, malah turut menyokong usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang relevan dan berdaya saing di institusi pengajian tinggi,” ujarmya.
Antara pengisian bengkel termasuklah sesi taklimat, sesi sumbang saran, pembentangan templat garis panduan pelaporan PTMBM 2023–2030, sesi soal jawab, sesi rumusan dan penutup.
Penyertaan ini selaras dengan usaha berterusan UMPSA dalam memperkasakan penggunaan bahasa Melayu melalui pelaksanaan program akademik, komuniti dan pengantarabangsaan bahasa di peringkat universiti.
Penyertaan UMPSA dalam bengkel ini diharapkan dapat memperkukuh komitmen universiti dalam mendukung aspirasi nasional untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu selaras dengan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu 2023–2030.

Disediakan Oleh: Jamilah Bebe Mohamad Dan Dr. Nor Yazi Khamis, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 51 views
Reports by: