Skip to main content

UMPSA pacu transformasi akademik, lahir graduan masa depan Era AI

PEKAN, 28 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda transformasi akademik dengan memperkenalkan pendekatan pendidikan yang lebih dinamik, fleksibel dan berpaksikan industri bagi melahirkan graduan berkualiti tinggi, berdaya saing serta bersedia mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 dan era kecerdasan buatan (AI).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusof berkata, universiti pada hari ini tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan pengajaran konvensional, sebaliknya perlu memastikan kurikulum sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi, kehendak industri dan keperluan global.

“Usaha itu membolehkan UMPSA mengekalkan kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi apabila sebahagian besar graduannya berjaya memperoleh pekerjaan sejurus menamatkan pengajian.

"Program akademik perlu dibangunkan bersama industri supaya graduan bukan sahaja mempunyai pengetahuan teori, malah dilengkapi kemahiran teknikal, profesional dan insaniah yang benar-benar diperlukan oleh majikan.

"Kita mahu graduan UMPSA bersedia memasuki alam pekerjaan tanpa memerlukan tempoh latihan semula yang panjang kerana mereka telah didedahkan dengan pengalaman industri sepanjang tempoh pengajian," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program podcast Bicara Akademik: Mencorak Masa Depan Pendidikan Tinggi yang membincangkan hala tuju akademik, pengantarabangsaan dan masa depan pendidikan tinggi di UMPSA yang dikendalikan oleh Pengurus Besar, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HJEAA), Abd Rahman Haji Safie sebagai moderator. 

Tambah beliau, antara kelebihan utama UMPSA ialah pelaksanaan lebih 18 program Work-Based Learning (WBL) yang membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran secara langsung di industri, sekali gus meningkatkan kompetensi dan kebolehpasaran graduan.

“Selain itu, UMPSA turut terkenal sebagai peneraju program ijazah dual hasil kerjasama strategik dengan universiti luar negara yang memberi peluang kepada pelajar memperoleh dua ijazah serta pengalaman pembelajaran bertaraf antarabangsa.

"Pengantarabangsaan bukan sekadar menandatangani memorandum persefahaman (MoU), tetapi bagaimana kerjasama itu memberi impak kepada pembangunan pelajar melalui program mobiliti, penyelidikan bersama dan perkongsian kepakaran," katanya. 

Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan pembelajaran di UMPSA kini memberi penekanan kepada pembangunan pemikiran kritis, kreativiti, komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah bagi memastikan graduan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pantas dunia pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kemasukan pelajar melalui Saluran Terbuka tidak menjejaskan kuota pengambilan pelajar menerusi UPU kerana pengambilan tersebut dilaksanakan secara tambahan bagi menjana pendapatan universiti untuk memperkukuh kemudahan pembelajaran dan penyelidikan.

Mengulas perkembangan pesat teknologi AI, beliau berpandangan bahawa teknologi tersebut perlu dimanfaatkan secara beretika sebagai alat sokongan dalam pembelajaran dan penyelidikan, bukannya menggantikan keupayaan manusia untuk berfikir secara kritis.

"AI ialah teknologi yang perlu kita kuasai. 

“Namun, penggunaannya mestilah disertai dengan kebijaksanaan, integriti dan kreativiti agar dapat menghasilkan nilai tambah kepada pembelajaran serta penyelidikan," jelasnya. 

Beliau berharap UMPSA akan terus memperkukuh reputasinya sebagai universiti teknikal pilihan negara dengan menawarkan pengalaman pembelajaran terbaik, memperluas jaringan antarabangsa dan melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki sahsiah unggul, kompetensi profesional dan mampu menjadi pemimpin masa hadapan.

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri