Skip to main content

UMPSA perkasa kemahiran komunikasi pelajar MRSM TAR melalui Speak Up, Speak Out

PEKAN, 14 September 2026 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Sekretariat Kepimpinan Pelajar Maktab Rendah Sains MARA Tun Abdul Razak (MRSM TAR) menganjurkan program Speak Up, Speak Out di Surau Al-Mustaqim, MRSM TAR, di sini.

Program yang diadakan bersempena dengan Minggu Aktiviti Semester 2 MRSM TAR 2026 itu melibatkan seramai 331 pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga, dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan keupayaan pelajar menyampaikan pandangan secara tersusun serta berkesan.

Delegasi PBM UMPSA yang menjayakan program tersebut terdiri daripada Dr. Wan Jumani Fauzi, Dr. Siti Norzaimalina Abd. Majid, Mahzaton Aqma Abu Talip dan Muhamad Aizat Zulkifli.

Menurut Dr. Wan Jumani Fauzi, program tersebut memberi pendedahan awal kepada pelajar untuk membuat pertimbangan secara rasional, menyatakan pendirian dengan yakin dan mengemukakan alasan yang kukuh bagi menyokong pilihan atau keputusan yang dibuat.

UMPSA perkasa kemahiran komunikasi pelajar MRSM TAR melalui Speak Up, Speak Out

“Pelajar bukan sahaja perlu berani menyuarakan pandangan, malah perlu tahu cara membina hujah, menyusun idea dan memberikan justifikasi yang relevan secara berhemah,” ujarnya. 

Pelbagai aktiviti interaktif dilaksanakan bagi menggalakkan penglibatan aktif pelajar menerusi beberapa segmen seperti Speak Up! – Pick a Side, Speak Out! – Tell Me Why, Make Your Case dan The Recommendation Challenge.

Melalui aktiviti tersebut, pelajar diberi peluang membuat pilihan, menyatakan pendirian, mengemukakan alasan serta mempertahankan pandangan mereka dalam suasana pembelajaran yang santai dan interaktif. 

Aktiviti berkenaan turut membantu pelajar belajar mendengar pandangan rakan dan memberikan respons terhadap pendapat yang berbeza.

Program turut diserikan dengan segmen Beyond English – Dare to Try (Korean) yang memberi peluang kepada pelajar mencuba asas bahasa Korea dalam suasana yang santai dan menyeronokkan.

Menurut penganjur, gabungan aktiviti komunikasi, pemikiran kritis dan penerokaan bahasa tersebut memberi pengalaman pembelajaran yang lebih pelbagai kepada pelajar serta menggalakkan mereka mencuba sesuatu yang baharu dengan lebih yakin.

Program Speak Up, Speak Out turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4, iaitu Pendidikan Berkualiti, khususnya dalam usaha membantu pelajar membina keyakinan dan kemahiran komunikasi yang diperlukan dalam kehidupan serta pendidikan.

UMPSA perkasa kemahiran komunikasi pelajar MRSM TAR melalui Speak Up, Speak Out

Seorang peserta tingkatan satu, Nur Aleeya Qasrina Azuan Azri menyifatkan program tersebut sebagai sesuai dan menarik kerana memberi peluang kepada pelajar untuk belajar bersuara dengan lebih yakin.

“Program ini sesuai dan sangat menarik. 

“Saya dapat belajar bagaimana untuk bercakap di hadapan orang ramai serta memberikan alasan terhadap pilihan yang dibuat,” katanya.

Penganjuran program ini diharap dapat menyemai budaya berani bersuara dan berfikir secara kritis dalam kalangan pelajar MRSM TAR, di samping melahirkan generasi yang mampu berkomunikasi dengan baik dan menghormati kepelbagaian pandangan.

Kerjasama antara PBM UMPSA dan MRSM TAR ini turut mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkasa pembangunan sahsiah, kemahiran komunikasi dan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.

Disediakan Oleh:  Muhamad Aizat Zulkifli dan Mahzaton Aqma Abu Talip, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri