UMPSA perkukuh jaringan akademia-industri bersama NIFI dan Ningxia University
NINGXIA, 12 November 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kedudukan di peringkat antarabangsa menerusi peluasan kerjasama strategik bersama rakan institusi di China, dengan memberi tumpuan kepada integrasi akademia–industri, mobiliti antarabangsa, penyelidikan kolaboratif dan pembangunan bakat berdaya saing global.
Langkah strategik ini direalisasikan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) tiga pihak antara UMPSA, National Intelligent Foundry Industry Innovation Center (NIFI) dan Ningxia University (NXU) sekali gus membuka peluang baharu dalam memperluas ekosistem pendidikan tinggi yang lebih berorientasikan industri dan inovasi.
Majlis menyaksikan pemeteraian MoU daripada NIFI diwakili oleh Director of Industry-Education Partnership, Cao Yanli, manakala NXU diwakili oleh Naib Presiden (Antarabangsa), Profesor Zhao Xiajia.

Hadir menyaksikan majlis, Promotion Manager of Industry-Academia Partnership, NIFI, Zhang Zhen dan Presiden NXU, Profesor Wang Zhongbin.
Manakala UMPSA pula diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh.
Selaras dengan fungsi NIFI yang merupakan pusat inovasi pintar yang ditubuhkan oleh KOCEL Machinery Limited (KM) bersama China Foundry Association yang berperanan menghubungkan industri dan akademia dalam bidang inovasi serta pembangunan teknologi.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, kerjasama ini menggabungkan kekuatan kepakaran kejuruteraan dan teknologi UMPSA, keupayaan inovasi industri NIFI serta kecemerlangan akademik dan penyelidikan NXU bagi mewujudkan sinergi yang mampu memberikan nilai tambah kepada pendidikan, penyelidikan dan pembangunan profesional.
“Pelbagai peluang kerjasama bakal diteroka termasuk pertukaran pelajar bagi latihan industri, pemindahan kredit, pertukaran budaya dan pembelajaran berasaskan kerja atau Work-based Learning (WBL),” ujarnya.
Selain mobiliti pelajar, kerjasama ini turut merangkumi pertukaran staf akademik dan pentadbiran, program sabatikal, khidmat penasihat industri serta penyertaan dalam seminar dan pertemuan akademik.
Malahan ketiga-tiga pihak juga berhasrat untuk memperluas penyelidikan bersama, projek kolaboratif, penerbitan ilmiah serta program akademik dan latihan jangka pendek yang berpotensi menyokong keperluan industri dan perkembangan teknologi.
Sementara itu, UMPSA turut memperkukuh hubungan akademik bersama NXU menerusi pemeteraian semula perjanjian dua hala Agreement on Chinese-Foreign Cooperation in Running School, yang menjadi asas kepada pengendalian program ijazah dual dalam bidang Advanced Manufacturing sejak tahun 2024.
Kesinambungan kerjasama ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam membangunkan model pendidikan berteraskan kerjasama antarabangsa dan industri, sekali gus memperluas peluang pembelajaran serta pembangunan kompetensi pelajar melalui pengalaman akademik dan profesional merentas negara.
Kedua-dua inisiatif ini dijangka memperkukuh jaringan akademia–industri UMPSA di China, memperluas peluang mobiliti dan penyelidikan antarabangsa serta meningkatkan keupayaan universiti dalam melahirkan graduan yang kompeten, inovatif dan memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Kerjasama ini turut menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan Malaysia–China melalui perkongsian ilmu, inovasi teknologi dan interaksi akademik yang berterusan.
Disediakan Oleh: Mohd Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor
- 15 views
Reports by: