Skip to main content

UMPSA sertai perkongsian budaya dan etika rakyat Malaysia di peringkat global

PEKAN, 23 Jun 2025 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai bengkel dalam talian mengenai Perkongsian Budaya dan Etika rakyat Malaysia yang dianjurkan oleh Fakulti Pelancongan, Universiti Terbuka Hanoi, Vietnam bagi pelajar-pelajar yang mengambil jurusan pelancongan di universiti tersebut. 

Bengkel ini signifikan dalam memperkasakan para pelajar dengan pengetahuan dan pemahaman mengenai budaya masyarakat di Malaysia dan membantu menyediakan mereka untuk menceburi kerjaya dalam bidang pelancongan pada masa hadapan. 

Malah, inisiatif ini membantu dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing dalam industri pelancongan global.

Bengkel dimulakan dengan perkongsian oleh Pensyarah di Fakulti Pelancongan, Universiti Terbuka Hanoi, Nguyen Thi Thao mengenai Definisi dan Komponen-komponen di dalam Komunikasi antara Budaya. 

Seterusnya, bengkel diteruskan dengan Sesi Perkongsian mengenai Budaya dan Etika rakyat Malaysia. 

Kedua-dua sesi ini menyentuh tentang kepentingan memahami perbezaan budaya, cara berkomunikasi yang berkesan antara masyarakat pelbagai latar belakang, serta etika dan nilai yang perlu dihormati dalam situasi antarabangsa.

Sementara itu, perkongsian mengenai budaya dan etika rakyat Malaysia pula telah disampaikan oleh penceramah jemputan siaitu Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden, UMPSA, Siti Ainun Jariyah Hassan

Antara pengisian menarik termasuklah pengenalan kepada cara rakyat Malaysia berinteraksi, adab ketika makan, adat resam harian serta kepelbagaian budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia. 

Selain itu, para peserta turut diperkenalkan dengan juadah popular Malaysia seperti Ketupat, Satay dan Nasi Lemak. 

Perkongsian ini bukan sahaja membuka ruang untuk memahami persamaan dan perbezaan budaya, malah memberikan pengalaman berharga kepada para pelajar untuk mengenali kepelbagaian dan keunikan budaya Malaysia.

UMPSA sertai perkongsian budaya dan etika rakyat Malaysia di peringkat global

Menurut Pensyarah Bahasa Inggeris, Universiti Terbuka Hanoi, Thanh Hoang, perkongsian ini sangat menarik dan bermanfaat kepada pelajar.

“Malah, ia menjadi nilai tambah apabila mereka bekerja dalam industri pelancongan kelak, terutamanya apabila menerima atau berkhidmat untuk pelancong dari Malaysia. 

“Bengkel ini bukan sahaja menjadi platform untuk memperkenalkan budaya Malaysia, malah membuka ruang kolaborasi pendidikan antara institusi pengajian di Malaysia dan Vietnam,” ujarnya. 

Penganjuran program sebegini juga adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ke-4, iaitu Pendidikan Berkualiti yang memastikan akses pendidikan inklusif, saksama dan berkualiti selain menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

Penganjuran bengkel itu ternyata memperkukuh hubungan UMPSA dan Universiti Terbuka Hanoi, Vietnam di samping memupuk kefahaman budaya dan kesedaran global mengenai pelancongan dari kedua-dua buah negara.

Disediakan Oleh: Siti Ainun Jariyah Hassan dan Dr. Umi Kalsom Mahrom, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri