UMPSA tawar 44 program Ijazah Sarjana Muda dan 8 diploma dalam pelbagai bidang keperluan industri
KUANTAN, 23 Februari 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menawarkan 44 program Ijazah Sarjana Muda dan lapan program diploma kepada para pelajar dalam pelbagai bidang untuk keperluan industri.
Program pengajian ini merangkumi bidang Kejuruteraan, Teknologi Kejuruteraan, Pengurusan, Sains Gunaan dan Komputeran.
Justeru, para pelajar boleh mendapatkan maklumat pengajian UMPSA dalam siri jelajah program Jom Masuk U 2025 (JMU 2025) yang memulakan siri di Zon Timur I yang menyaksikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan sebagai destinasi pertama yang diadakan baru-baru ini.
Program jerayawara pendidikan tinggi ini akan menjelajah ke sepuluh zon seluruh negara dan akan berakhir pada 18 Mei 2025.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, program Jom Masuk U merupakan acara tahunan dan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memberi peluang serta pendedahan kepada para pelajar berkenaan maklumat kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
"UMPSA juga akan turut serta dalam siri jelajah Jom Masuk U ini ke seluruh Malaysia bagi memberi pendedahan dan membimbing bakal pelajar memilih kursus yang bersesuaian terutamanya bagi pemohon UPUOnline®️ Sesi Akademik 2025/2026," ujarnya.
Beliau turut menasihatkan para pelajar, ibu bapa, penjaga, guru, kaunselor dan orang awam untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan informasi dan penasihatan akademik agar pelajar mendapat maklumat yang tepat sebelum memilih bidang pengajian kelak.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman berkata, UMPSA turut berbangga apabila dapat menemui sendiri keluarga pelajar yang berminat untuk mengikuti program pengajian yang ditawarkan UMPSA khususnya program ijazah dual.
“Terdapat 11 program ijazah dual yang ditawarkan di UMPSA buat masa ini yang memberi manfaat kepada pelajar termasuklah anugerah ijazah dual dari dua institusi pendidikan (UMPSA dan rakan kerjasama), pendidikan holistik berorientasikan praktikal dan pengiktirafan oleh badan akreditasi Malaysia dan antarabangsa.
“Program ijazah dual ini merupakan program kerjasama dengan rakan strategik Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA), Jerman, Mannheim University of Applied Sciences (HMA), Jerman, Tianjian University dan Beijing Jiaotong University (BJTU), China, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan dan yang terkini dengan Hanyang University Erica Campus, Korea Selatan,” katanya.
Majlis Perasmian Jom Masuk U 2025 Zon Timur I di UniUIAM Kampus Kuantan baru-baru ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Pahang, Leftenan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mewakili Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Ampuan Pahang.
Baginda turut berkenan mencemar duli melawat reruai pameran UMPSA dan beramah mesra dengan para petugas.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Yang Berhormat Dato' Mohamad Nizar Dato' Sri Mohamad Najib dan Timbalan Ketua Pengarah (Akademik dan Penyelidikan) Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Zainal Amin Ayub.
Pelbagai aktiviti menarik turut ditawarkan sepanjang JMU 2025 berlangsung antaranya pameran, sesi konsultasi UPUOnline®️, konsultasi penajaan/ biasiswa/ pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi, terjah reruai IPTA, cabutan bertuah, campus tour, persembahan pelajar, aktiviti bersama alumni, ruang interaktif, aktiviti keusahawan dan lain-lain.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 149 views