Skip to main content

UMPSA teroka amalan terbaik industri dalam Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd.

GEBENG, 14 September 2026 – Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMeD) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Ts. Mohd Marzuki Mohamed telah melengkapkan program sangkutan kerja selama dua minggu di gergasi industri kimia antarabangsa, BASF PETRONAS Chemicals Sdn. Bhd. (BPC). 

Program ini adalah sebahagian daripada usaha strategik universiti menerusi Lonjakan 3 (Bakat): Mobiliti Staf di bawah Amanat Naib Canselor UMPSA 2026 serta menyokong objektif Attracting and Nurturing Global Talent (Staff) dalam Pelan Strategik UMPSA 2026–2030.

Menurut Ts. Mohd Marzuki, antara objektif program sangkutan kerja yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Bakat, Jabatan Pendaftar ini adalah untuk menandaaras amalan terbaik pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di industri yang mempunyai sistem pengurusan KKP yang sangat baik. 

UMPSA teroka amalan terbaik industri dalam Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd.

“Inisiatif strategik ini merupakan satu langkah proaktif untuk memperkasakan tadbir urus KKP kampus, memastikan pematuhan keseluruhan perundangan berkaitan, serta menyokong aspirasi universiti mencapai Sasaran Sifar Kemalangan dan Sifar Penyakit Pekerjaan di seluruh kampus UMPSA.

“BPC dipilih sebagai tempat sangkutan kerja memandangkan BPC tergolong dalam industri kimia yang beroperasi dalam standard tertinggi KKP yang berusaha ke arah sifar kemalangan dan juga ketidaksihatan yang disebabkan oleh operasi mereka. 

“Ini selari denga apa yang ingin dicapai oleh UMPSA,” ujarnya. 

Tambahnya, antara produk yang dihasilkan oleh BPC adalah acrylic monomers, OXO-Alcohols, highly reactive poluisobutene, 2-Ethylhexanoic acid dan aroma ingredients. 

“Produk-produk ini digunakan untuk menghasilkan bahan tambah bahan api, bahan penyejuk automotif, bahan yang menyerupai sebatian semula jadi, bahan pewangi yang tahan lama, bahan pemula bagi produk rantaian nilai Citral,

lampin pakai buang, produk kebersihan wanita, bahan penyebar, serat akrilik, cat rumah, varnis perabot kayu, bahan kosmetik dan racun perosak. 

“BPC telah menjadi ahli inisiatif Responsible Care® sejak tahun 2000. 

“Responsible Care® diamalkan di lebih 65 buah negara di seluruh dunia dan merupakan komitmen sukarela oleh industri kimia di seluruh dunia untuk memacu penambahbaikan berterusan serta mencapai kecemerlangan dalam pengukuran berkaitan alam sekitar, kesihatan, keselamatan dan sekuriti,” katanya. 

Selain itu, beliau menambah, sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam yang mengendalikan pelbagai aktiviti berisiko di pelbagai lokasi di dalam kampus, merangkumi makmal, bengkel kejuruteraan, kediaman pelajar, serta pengurusan fasiliti, pendedahan yang diperoleh akan membantu menambahbaik pelaksanaan KKP di keseluruhan kampus. 

“Pendedahan terus kepada amalan KKP kelas dunia di BPC memberikan tanda aras nyata bagi menterjemahkan standard industri ke dalam ekosistem akademik, terutamanya di kampus UMPSA.

“Sepanjang tempoh sangkutan kerja tersebut, saya telah diletakkan di bawah seliaan Pengurus Kanan Keselamatan Pekerjaan, Persekitaran dan TDS telah dilibatkan dalam pelbagai operasi harian yang melibatkan KKP di BPC. 

“Keterlibatan dalam aktiviti audit sistem pengurusan KKP, pemeriksaan tempat kerja di beberapa kompleks, penambahbaikan sistem pengurusan KKP dan proses digitalisasi telah dapat menambah pengetahuan dan pengalaman, serta memberi pendedahan berkenaan amalan KKP di industri kimia yang sangat mementingkan pelaksanaan KKP yang komprehensif,” ujarnya. 

Katanya lagi, dapatan daripada sangkutan kerja ini akan dapat membantu UMPSA untuk menerapkan pelaksanaan KKP di industri dalam proses kerja harian dan juga dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. 

“Langkah ini amat penting dalam usaha UMPSA membudayakan KKP dalam kalangan warganya. 

“Sebagai IPTA berteraskan kejuruteraan dan teknologi, penandaarasan ini turut memberi impak langsung kepada kualiti pengajaran dan penyelidikan. 

“Pelajar yang didedahkan dengan amalan pengurusan risiko serta amalan terbaik KKP akan mempunyai kebolehpasaran yang lebih tinggi dan bersedia bertugas di semua sektor kritikal di Malaysia,” ujarnya. 

UMPSA teroka amalan terbaik industri dalam Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd.

Mengulas lanjut, beliau menambah, salah satu fokus utama dapatan sangkutan kerja ini adalah kaedah pentaksiran risiko yang komprehensif serta pengurusan higien industri yang diamalkan di industri. 

“Pentaksiran risiko di BPC yang berstruktur membantu pekerjanya untuk melaksanakan pentaksiran risiko yang bersasar. 

“Ini dapat memastikan satu pentaksiran risiko yang komprehensif terhadap keseluruhan aktiviti yang dijalankan di BPC. 

“Sistem yang dilaksanakan di BPC ini boleh dicontohi oleh UMPSA dalam usaha untuk memastikan pentaksiran risiko yang dihasilkan oleh warga UMPSA adalah berkualiti tinggi,” ujarnya. 

Beliau berkata, sistem pengurusan KKP yang melibatkan kontraktor luar yang melibatkan sistem Permit to Work (PTW) yang cekap juga boleh diaplikasikan di seluruh kampus. 

“Industri yang berisiko tinggi seperti BPC sangat mementingkan PTW untuk memantau sebarang aktiviti luar rutin yang dilaksanakan di dalam premisnya. 

“UMPSA telah melaksanakan sistem PTW ini. 

“Namun begitu, masih lagi terdapat ruang untuk penambahbaikan yang boleh dicontohi daripada praktis di BPC,” ujarnya. 

Tambahnya, sistem ini boleh didigitalkan supaya pemantauan aktiviti luar rutin dapat dipantau dengan lebih cekap untuk memastikan aktiviti tersebut dilaksanakan secara selamat.
 
“Usaha juga akan digembleng untuk menyemai rasa kebertanggungjawaban dan kepimpinan KKP dalam kalangan warga UMPSA, termasuk staf akademik, staf pelaksana, pelajar dan kontraktor. 

“Penemuan daripada sangkutan kerja ini akan diterjemahkan kepada pelan tindakan praktikal berprinsip low-cost, high-impact untuk menyesuaikan amalan industri ke dalam persekitaran UMPSA merangkumi peningkatan kualiti prosedur kerja, digitalisasi sistem pengurusan, serta penambahbaikan berterusan aspek-aspek KKP yang lain. 

“Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan OSHMeD dan pengurusan tertinggi UMPSA dalam menyediakan persekitaran yang selamat bagi aktiviti pengajaran, pembelajaran, dan penyelidikan untuk seluruh warganya. 

“Langkah proaktif ini bukan sahaja membolehkan UMPSA memenuhi tanggungjawab terhadap perundangan berkaitan secara menyeluruh, malah mengangkat reputasi universiti sebagai IPTA yang menerapkan standard keselamatan industri kimia terkemuka ke dalam pengurusan KKP di UMPSA,” katanya. 

Melalui pelaksanaan pelan tindakan berfasa ini, OSHMeD yakin budaya KKP di UMPSA dapat ditransformasikan ke peringkat yang lebih tinggi.  

Ini seterusnya memastikan seluruh warga kampus sentiasa dapat bekerja dan belajar dalam persekitaran yang selamat, sihat, dan kondusif.

Disediakan Oleh: Ts. Mohd Marzuki Mohamed, Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMeD)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri