UMPSA teroka amalan terbaik perkhidmatan akademik menerusi jaringan rakan strategik bersama University of East Anglia, UK
NORWICH (UNITED KINGDOM), 15 Mei 2026 – Dalam usaha berterusan memperkasa kecemerlangan tadbir urus dan memperkukuh agenda pengantarabangsaan bakat staf, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menghantar dua pegawai kanannya bagi menyertai program latihan mobiliti staf di University of East Anglia (UEA), United Kingdom.
Pegawai yang terlibat ialah Pengarah Kanan, Pusat Perkhidmatan Akademik, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Ernie Nurazlin Lizam dan Pengarah Operasi Kewangan dan Pengurusan Aset, Jabatan Bendahari, Nor Ashikin Dolmat.
Program peningkatan kompetensi yang bermula dari 11 hingga 15 Mei 2026 itu dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Bakat, Jabatan Pendaftar dengan kerjasama Pusat Global UMPSA serta mendapat sokongan penuh daripada bahagian UEA Global Engagement.
University of East Anglia (UEA) ialah sebuah universiti berorientasikan penyelidikan yang terkenal di dunia dan terletak di Norwich, England.
Ditubuhkan pada tahun 1963, UEA secara konsisten berada dalam senarai 30 universiti terbaik di UK dan amat dikagumi kerana penyelidikan perintisnya dalam bidang sains alam sekitar, penulisan kreatif, serta pembangunan antarabangsa.
Di peringkat nasional, UEA mengekalkan reputasinya dalam kelompok 30 universiti terbaik atau dalam kalangan satu pertiga teratas bagi kesemua universiti di UK.
Manakala di peringkat antarabangsa pula, UEA diiktiraf sebagai antara universiti elit dunia (berada dalam kelompok 1.5 peratus terbaik global).
Menerusi Times Higher Education (THE) World University Rankings 2026, UEA berada dalam kelompok 251–300 terbaik dunia.
Bagi QS World University Rankings 2026 pula, ia menduduki kedudukan ke-381 dunia, manakala dalam Academic Ranking of World Universities (ARWU/Shanghai Ranking), ia berada dalam kelompok 301–400 terbaik dunia.
Selain itu, UEA sangat terkenal dengan beberapa bidang kajian khusus yang mendapat penarafan tertinggi di dunia dan UK.
Bidang Sains Alam Sekitar dan Sains Biologi mereka diiktiraf antara yang terbaik di dunia, di mana kajian Life Sciences berada di kedudukan 101–125 dunia mengikut THE.
Bidang Penulisan Kreatif (Creative Writing) pula menyaksikan UEA sentiasa berada dalam kedudukan Top 10 terbaik di UK.
Bagi tahun akademik 2025/2026 (setakat Mac 2026), jumlah keseluruhan pelajar di UEA adalah kira-kira 18,381 orang.
Sesi suai kenal telah diadakan di Ziggy's Cafe, The Street, bersama Head of Global Engagement-Mobility, Partnerships and Programmes, Alexandra Cole, Global Engagement Manager, Alice Landray dan Global Engagement Coordinator, Lewis Warnes.
Delegasi UMPSA diberi taklimat berkenaan atur cara program latihan yang telah disusun.
Selesai sesi tersebut, delegasi dibawa melawat sekitar kampus UEA bagi melihat kemudahan dan fasiliti yang disediakan untuk warga kampus.
Delegasi UMPSA kemudiannya diraikan dalam majlis jamuan tengah hari di Restoran Zest bersama Associate Director, UEA Global, Karen Blackney dan Global Engagement Manager, Katrien Verbruggen.
Pada sebelah petangnya pula, delegasi dibawa ke pusat bandar bagi melawat tempat bersejarah di Norwich termasuk The Norfolk and Norwich Millennium Forum, St. Catherine, Pasar Norwich, serta menikmati pemandangan Kota Norwich yang indah.
Bagi fokus pengurusan perkhidmatan akademik pula, Ernie Nurazlin telah mengikuti sesi perkongsian amalan terbaik dan berpeluang meninjau pengurusan operasi perkhidmatan akademik pelajar di pusat sehenti UEA iaitu Student Information Zone (SIZ) bersama Head of Holistic Student Experience), Lucy Kemp.
SIZ menawarkan perkhidmatan bersepadu bagi 12 jabatan, antaranya akademik pelajar, kewangan pelajar, residen, kaunseling, kerjaya, pengajian luar negara, dan kebajikan.
Turut diadakan sesi perbincangan dan pertukaran idea mengenai kemudahan biasiswa dan bantuan kewangan pelajar telah diadakan bersama Karen Blackney.
Peluang meninjau sistem integrasi teknologi dalam pemerkasaan pembelajaran dan pengajaran (PdP) bersama Director of Library & Learning Enhancement, Nicholas Lewis, Head of Digital Library and Procurement, Ed Chamberlain dan Head of Centre for Technology Enhanced Learning), Alicia McConnell.
Bahagian yang ditempatkan di Perpustakaan UEA ini memberikan fokus khusus kepada fasiliti dan sokongan pembelajaran pelajar.
Ernie Nurazlin juga diberikan penerangan mengenai program penyelidikan pascasiswazah bersama Associate Director, Postgraduate Research, Chris Harrop dan Head of Doctoral Training Partnerships, Michelle Eastman.
UEA menguruskan program pascasiswazah secara penyelidikan dengan pelbagai sumber dana, di mana penyumbang terbesar adalah daripada UK Research and Innovation (UKRI).
Pengurusan data dalam akademik yang melibatkan sistem dan rekod turut diberi perhatian memandangkan ia merupakan tulang belakang utama pengurusan pelajar.
Pengalaman dan pengetahuan dalam bidang ini dikongsi bersama Associate Director, Student and Academic Services, Rachel Paley dan Head of Academic Registry Services, Sally Doe.
Siri latihan diteruskan dengan perkongsian mengenai sistem pengambilan pelajar dan pemasaran strategik universiti bersama Head of Strategic Marketing, Christopher Hill dan Head of UK Recruitment, Francesca Uragallo.
UEA terkenal dengan Ambassador Scheme dalam kalangan pelajar, iaitu inisiatif yang memanfaatkan pelajar sendiri sebagai duta utama untuk mempromosikan universiti, khususnya mengenai kehidupan kampus (campus life) dan program akademik.
Sesi dialog diteruskan dengan perbincangan strategik bersama Deputy Director, Student and Academic Services), Claire Pratt.
Pusat ini memberikan perkhidmatan individu kepada pelajar bagi membantu mereka menangani pelbagai isu seperti keselamatan, kesihatan mental, ketidakupayaan, kewangan, dan keluarga.
Menariknya, UEA amat menekankan suara warga universiti mereka menerusi pengurusan pengalaman pelajar yang holistik.
Perbincangan bersama Deputy Director, Student Education and Experience Strategic Delivery, Becky Price menunjukkan bahawa pihak UEA mengadakan tinjauan (survey) secara berkala dan menyeluruh mengenai pengalaman pelajar dari aspek pengurusan akademik serta perkhidmatan.
Perbincangan mengenai kerjasama akademik turut diadakan bersama Associate Pro-Vice Chancellor Education Growth, Partnership and Flexible Provision, Paul Fisher dan Associate Director Academic Partnership and Apprenticeship, Gavin Tash.
Dalam perkembangan terbaharu, UEA mempunyai program ijazah dual di China menerusi kerjasama dengan Communication University of China, Nanjing (CUCN) yang bakal ditawarkan bermula September 2026.
Program ini menumpukan kepada sektor kreatif dan digital seperti media, komunikasi digital, dan pengkomputeran kreatif (creative computing).
Pelajar yang mengikuti program empat tahun ini akan belajar di institut tersebut di China, dengan peluang untuk menghabiskan masa setahun belajar di kampus UEA, UK.
Program mobiliti staf ini diakhiri dengan sesi perbincangan akademik dan majlis perpisahan bersama Timbalan Dekan Fakulti Sains di UEA, Profesor Stephen Laycock.
Sesi rumusan latihan diisi dengan pertukaran pandangan mengenai amalan terbaik yang boleh dilaksanakan di UEA dan UMPSA secara menyeluruh.
Profesor Stephen menzahirkan harapan agar hubungan dan kerjasama antara UMPSA dan UEA dapat diteruskan dalam pelbagai bidang pada masa hadapan.
Beliau juga berkongsi maklumat mengenai struktur dan urusan pentadbiran di fakulti serta sekolah di UEA.
Menurut Erni Nurazlin, peluang menelami secara dekat ekosistem pengurusan dan sistem kerja di UEA bukan sahaja memperkaya pengalaman profesionalnya, malah membuka perspektif baharu dalam memperkukuh pengurusan perkhidmatan sokongan akademik kepada pelajar di UMPSA.
“Pendedahan secara langsung terhadap sistem automasi pendaftaran, tadbir urus pascasiswazah yang sistematik serta pengurusan data yang cekap di UEA memberikan inspirasi untuk mengadaptasi amalan terbaik institusi tersebut di UMPSA.
“Pengalaman ini juga membuka ruang yang luas untuk meneroka pendekatan baharu dalam memperkasakan transformasi digital universiti, sekali gus meningkatkan kecekapan dan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada warga kampus,” katanya
Kejayaan program sangkutan ini mencerminkan komitmen jitu UMPSA dalam melahirkan modal insan pentadbiran yang tangkas (agile), berpandangan jauh, serta kompeten di peringkat global demi meletakkan UMPSA sebaris dengan institusi antarabangsa yang terkemuka.
Oleh: Ernie Nurazlin Lizam, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA)
- 69 views
Reports by: