UMPSA teroka kerjasama Ijazah Dual dan Penyelidikan Aeroangkasa menerusi lawatan ke Cquniversity dan Australian Aviation
AUSTRALIA, 25 Jun 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan kerjasama akademik antarabangsa menerusi lawatan akademik dan penandaarasan ke CQUniversity Australia yang berlangsung pada 22 hingga 25 Jun 2026.
Lawatan strategik itu melibatkan sesi penandaarasan di dua kampus utamanya, iaitu Kampus Melbourne dan Kampus Rockhampton.
Delegasi UMPSA diketuai oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Ir. Dr. Mohd Fairusham Ghazali dan turut disertai oleh Pengarah Kanan, Center for Advanced Mobility & Aerospace, Profesor Dr. Rizalman Mamat.

Menurut Profesor Ir. Dr. Mohd Fairusham, lawatan ini bertujuan untuk memuktamadkan rangka kerja Program Ijazah Dual Pascasiswazah (Dual Postgraduate Degree Programme), meneroka laluan akademik 3+2 di peringkat sarjana muda, serta merundingkan draf Memorandum Perjanjian (MoA) di antara UMPSA dan CQUniversity Australia.
“Lawatan bermula di Kampus Melbourne pada 22 Jun 2026.
“Delegasi UMPSA disambut oleh Pensyarah Kanan yang juga merupakan Penyelaras Program Sarjana secara Kerja Kursus (Master by Coursework) di Kampus Melbourne, CQUniversity, Dr. Sarkar Noor E Khuda.
“Beliau turut berkongsi penerangan terperinci mengenai Program 3+2, iaitu satu laluan akademik yang membolehkan pelajar UMPSA menamatkan tiga tahun pengajian ijazah sarjana muda di UMPSA sebelum meneruskan pengajian dua tahun peringkat sarjana di CQUniversity,” ujarnya.
Malah, delegasi UMPSA turut berkesempatan melawat kemudahan pengajaran dan pembelajaran di Kampus Melbourne, termasuk makmal sains gunaan dan ruang kolaborasi pelajar yang direka khusus untuk menyokong pembelajaran berasaskan projek.
Tambah beliau lagi, fasa kedua lawatan diteruskan ke Kampus Rockhampton, iaitu kampus induk CQUniversity, pada 24 dan 25 Jun 2026, yang merupakan fasa paling intensif dari segi perbincangan strategik.
“Di Rockhampton, kami mengadakan perbincangan mendalam mengenai struktur Program Ijazah Berganda Pascasiswazah, termasuk pembahagian tempoh pengajian antara UMPSA dan CQUniversity, mekanisme pengiktirafan bersama, serta penyelarasan kurikulum bagi memenuhi keperluan MQA dan TEQSA.
“Draf MoA turut dibincangkan secara terperinci merangkumi skop kerjasama akademik, mobiliti pelajar dan staf, serta penyelidikan bersama.
“Draf ini akan dikemukakan kepada pengurusan UMPSA untuk semakan sebelum penandatanganan rasmi,” katanya.

Profesor Ir. Dr. Mohd Fairusham turut berkongsi bahawa delegasi UMPSA turut melawat Makmal Penyelidikan Kejuruteraan Mekanikal dan Material di Kampus Rockhampton yang diketuai oleh Profesor Rasool dan Profesor Colin.
Katanya, lawatan ke makmal ini memberi gambaran jelas mengenai kapasiti penyelidikan CQUniversity dalam bidang material komposit dan proses pembuatan termaju.
“Beberapa peluang kerjasama penyelidikan bersama dan potensi penempatan pelajar PhD UMPSA di bawah program co-tutelle turut dikenal pasti hasil daripada perbincangan ini.
“Di samping itu juga, kami berkesempatan melawat Teaching and Learning Laboratory dan kemudahan asrama pelajar antarabangsa di Kampus Rockhampton bagi memahami persekitaran pembelajaran dan kehidupan pelajar yang bakal terlibat dalam program mobiliti akan datang,” jelasnya.
Selain agenda rasmi, Profesor Ir. Dr. Mohd Fairusham turut berkongsi bahawa satu majlis makan malam strategik telah diadakan bersama Naib Canselor CQUniversity, Profesor Nick Klomp, dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan), Profesor Greg Maguire.
Ujarnya, perbincangan dalam suasana tidak formal ini banyak menyentuh mengenai hala tuju pengantarabangsaan CQUniversity di rantau Asia Tenggara, dan komitmen kepimpinan CQUniversity untuk mempercepatkan proses penandatanganan MoA bersama UMPSA.
“Turut dibincangkan ialah peluang penglibatan UMPSA dalam rangkaian penyelidikan antarabangsa CQUniversity, serta potensi permohonan geran penyelidikan bersama kepada badan pembiayaan di Australia dan Malaysia,” tambah beliau.
Selain agenda bersama di CQUniversity Australia, Pengarah Kanan Center for Advanced Mobility & Aerospace UMPSA, Profesor Dr. Rizalman Mamat telah meneruskan lawatan susulan ke Australian Aviation pada 26 Jun 2026 bagi meninjau fasiliti dan meneroka peluang kerjasama lanjutan dalam bidang aeroangkasa.
Beliau disambut oleh Dekan Eksekutif Aviation Australia, Profesor Talal Yusaf sepanjang lawatan tersebut.
Menurut Profesor Dr. Rizalman, lawatan susulan ini penting memandangkan UMPSA telah pun mempunyai Memorandum Persefahaman (MoU) sedia ada dengan Australian Aviation, selain MoU dengan CQUniversity Australia.
“Lawatan ke fasiliti Australian Aviation merupakan kesinambungan langsung daripada hubungan strategik yang telah terjalin menerusi MoU sedia ada.
“Ia membuka ruang untuk meneroka potensi kerjasama baharu, khususnya dalam bidang mobiliti termaju dan aeroangkasa, selaras dengan hala tuju Center for Advanced Mobility & Aerospace UMPSA,” katanya.
Berkongsi pengalaman lawatan tersebut, Profesor Dr. Rizalman yang disambut oleh Profesor Talal Yusaf, dan Pengurus-Perancangan Kurikulum dan Pembangunan, Gordon Brown berkesempatan meninjau kemudahan penyelenggaraan, pembaikan, dan pembaikpulihan (Maintenance, Repair and Overhaul - MRO) pesawat yang dikendalikan oleh Australian Aviation, di samping memahami aliran kerja operasi teknikal dan standard keselamatan penerbangan yang diamalkan oleh pihak industri.
Ujarnya, pendedahan kepada fasiliti dan operasi Australian Aviation amat relevan dengan hasrat kami untuk memperkasakan kurikulum dan penyelidikan gunaan dalam bidang penyelenggaraan aeroangkasa serta sistem mobiliti termaju di bawah Center for Advanced Mobility & Aerospace.
“Beberapa bidang tumpuan kerjasama turut dikenal pasti, termasuk potensi latihan industri dan penempatan pelajar UMPSA di fasiliti Australian Aviation, penyelidikan bersama dalam bidang diagnostik kesihatan struktur pesawat (structural health monitoring) dan sistem pengesanan kerosakan, serta kerjasama dalam pembangunan modul latihan teknikal aeroangkasa yang disesuaikan dengan keperluan industri penerbangan serantau.
“Perbincangan awal ini akan diperincikan lagi menerusi mesyuarat susulan bagi merangka pelan tindakan kerjasama yang lebih konkrit di bawah MoU sedia ada,” kata Profesor Dr. Rizalman.

Lawatan akademik dan penandaarasan ke CQUniversity Australia, disusuli lawatan lanjutan ke Australian Aviation, dilihat memberi impak yang signifikan kepada agenda pengantarabangsaan UMPSA, khususnya dalam memperkukuh kesediaan fakulti untuk melaksanakan program dwiijazah di peringkat pascasiswazah serta memperluas kerjasama dalam bidang mobiliti termaju dan aeroangkasa.
Pendedahan terhadap model kampus rangkaian luas CQUniversity, di samping pengukuhan hubungan dengan barisan kepimpinan tertinggi universiti berkenaan dan rakan strategik industri seperti Australian Aviation, dijangka menjadi asas penting kepada kerjasama jangka panjang UMPSA merentasi bidang akademik, penyelidikan, dan mobiliti pelajar.
Mengikut rekod, ini merupakan lawatan mobiliti staf kelompok (batch) ke-4 bagi tahun 2026.
Program ini adalah sebahagian daripada usaha strategik universiti menerusi Lonjakan 3 (Bakat): Mobiliti Staf di bawah Amanat Naib Canselor UMPSA 2026 dan menyokong objektif Attracting and Nurturing Global Talent (Staff) dalam Pelan Strategik UMPSA 2026–2030.
Disediakan Oleh: Profesor Ir. Dr. Mohd Fairusham Ghazali dan Profesor Dr. Rizalman Mamat, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA)
- 53 views
Reports by: