Skip to main content
UMPSA, Universiti Tianjin teroka program dwiijazah sarjana, PhD

UMPSA, Universiti Tianjin teroka program dwiijazah sarjana, PhD

TIANJIN, 14 September 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperluas jaringan akademik antarabangsa apabila mengadakan kunjungan rasmi ke Universiti Tianjin (TJU) di Kampus Peiyangyuan bagi meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan mobiliti pelajar.

Lawatan ke Kampus Peiyangyuan itu diketuai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, bersama Pengarah (Malaysia) Institut Confucius UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Lee Khai Loon.

Delegasi UMPSA disambut Naib Presiden TJU, Profesor Ming Dong, bersama Timbalan Dekan, Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Teknologi, Profesor Weng Zhe; Timbalan Pengarah Pejabat Kerjasama Antarabangsa, Wei Youxiang; serta Timbalan Dekan Sekolah Pendidikan Antarabangsa, Liu Wenwei.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua universiti meneroka cadangan penawaran program ijazah sarjana secara penyeliaan bersama (dual-degree) Master's by Research dan PhD dalam bidang kejuruteraan terpilih.

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada aspek akademik dan pelaksanaan program termasuk keperluan pengajian, penempatan dan kediaman pelajar, peperiksaan, pembiayaan serta urusan pentadbiran.

Kerjasama berkenaan dilihat berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada pelajar dan penyelidik UMPSA untuk memperoleh pengalaman akademik antarabangsa, selain memperluas jaringan penyelidikan bersama institusi pengajian tinggi di China.

UMPSA, Universiti Tianjin teroka program dwiijazah sarjana, PhD

Selain kerjasama akademik, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi penglibatan serta sokongan logistik TJU bagi penganjuran Sidang Kemuncak Kepimpinan Pelajar Global bertemakan ‘Redefining Future Leaders Through Value-Based Leadership’ yang dijadual berlangsung pada 18 hingga 20 Disember 2026 di Tianjin.

Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Lee Khai Loon, kerjasama strategik antara UMPSA dan TJU memberi peluang besar kepada warga universiti untuk membina jaringan ilmu serta pengalaman antarabangsa.

“Perkongsian UMPSA dengan Universiti Tianjin mewujudkan peluang berharga untuk pelajar dan penyelidik kami bekerjasama merentas sempadan.

“Institut Confucius berbesar hati untuk menyokong kerjasama ini dengan memperkukuh pemahaman bahasa dan budaya,” ujarnya. 

Dalam lawatan itu, delegasi UMPSA turut berpeluang meninjau kemudahan pengajaran dan penyelidikan TJU serta berinteraksi bersama pelajar UMPSA yang sedang mengikuti program di universiti berkenaan.

Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh turut menyampaikan syarahan akademik sebagai sebahagian daripada pengisian lawatan yang sekali gus membuka ruang pertukaran kepakaran dan perkongsian ilmu antara kedua-dua institusi.

Lawatan berkenaan mencerminkan komitmen UMPSA untuk memperkukuh jaringan strategik antarabangsa, khususnya dalam memperluas peluang pendidikan, penyelidikan dan mobiliti pelajar selaras dengan aspirasi universiti memperkasa ekosistem pendidikan tinggi berorientasikan global.

Disediakan Oleh: Nurul Farhana Mohd Sayuti, Confucius Institute (CI)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri