UMPSA, Yayasan Perak dan Yayasan Sabah perkukuh kerjasama akademik di Kazakhstan
ALMATY, 24 September 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus melangkah jauh di persada antarabangsa menerusi lawatan kerja rasmi delegasi ke Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU) di Almaty, Kazakhstan bersama rakan-rakan penaja strategik iaitu Yayasan Perak dan Yayasan Sabah.
Delegasi diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli dan Pengarah Pusat Senat, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Nor Ashikin Sulaiman.
Turut serta delegasi Yayasan Perak yang diwakili oleh Pengurus Besar, Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan bersama Pengurus Pendidikan, Megat Zarul Ekram Rusni.
Manakala pihak Yayasan Sabah pula diwakili oleh Setiausaha Kumpulan Yayasan Sabah, Tuan Haji Hanafiah Diman yang hadir mewakili Pengarah Yayasan Sabah serta Pengurus Kanan Yayasan Sabah, Zaidah binti Hussain.
Ketibaan delegasi di sambut oleh Vice Rector (Academic), Kaznaru, Gulmira Alpysbayeva dan Pengarah International Office, Abzal Abdramanov.

Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal, kunjungan ini membuka lebih banyak ruang kolaborasi, khususnya dalam sekuriti makanan yang menjadi antara bidang keutamaan negara.
“Sebagai universiti yang memberi tumpuan kepada penyelidikan pertanian, KazNARU juga mempunyai kekuatan melibatkan kolaborasi universiti dan industri yang bersasar.
“Ini membuka ruang untuk kepakaran, penyelidikan dan jaringan industri di Kazakhstan diteroka serta disesuaikan dengan keperluan di Malaysia,” ujarnya.
Turut berlangsung sesi perbincangan kerjasama akademik, penyelidikan, mobiliti dan ijazah dual di KazNARU.
Ujar beliau lagi, lawatan rasmi ini juga bersempena dengan penghantaran seramai 12 orang pelajar bagi Program Ijazah Dual Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri yang akan mengikuti pengajian selama setahun di KazNARU.
“Daripada jumlah tersebut, lima orang pelajar merupakan penerima tajaan Yayasan Perak, seorang pelajar tajaan Yayasan Sabah dan dua orang lagi merupakan tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Program kolaborasi Ijazah Dual UMPSA-KazNARU ini dilihat sebagai platform terbaik untuk melahirkan graduan bioteknologi yang berdaya saing dan mempunyai pendedahan antarabangsa,” ujarnya.
Selain itu, delegasi juga turut berpeluang melawat dua institusi penyelidikan utama di bawah Kementerian Sains dan Pengajian Tinggi Republik Kazakhstan yang akan menjadi lokasi latihan industri kepada pelajar-pelajar tersebut.
Institusi pertama ialah RSE Institute of Genetics and Physiology yang merupakan pusat penyelidikan nasional yang memfokuskan kepada kajian genetik, fisiologi dan bioperubatan yang dilengkapi dengan makmal berteknologi tinggi.
Manakala institusi kedua pula ialah Institute of Plant Biology and Biotechnology yang terletak di Timiryazeva Street, Almaty, yang terkenal dengan kepakarannya dalam bidang kejuruteraan genetik tanaman, kultur tisu serta pembangunan varieti tanaman tahan lasak demi memperkukuh sekuriti makanan negara.
Kerjasama strategik antara UMPSA, Yayasan Perak dan Yayasan Sabah ini jelas membuktikan komitmen bersama dalam memperkasa pembangunan modal insan serta membuka lebih banyak peluang penyelidikan dan mobiliti antarabangsa pada masa hadapan.
Disediakan Oleh: Norashikin Sulaiman, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA)
- 20 views
Reports by: