THE AUR 2025: UMPSA diiktiraf 163 terbaik Asia, 9 universiti terbaik di Malaysia
PEKAN, 23 April 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencatat pencapaian membanggakan apabila tersenarai 163 terbaik di Asia merujuk penarafan Times Higher Education Asia University Rankings 2025 (THE AUR 2025) selain mengekalkan sebagai universiti terbaik dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
UMPSA yang dahulunya dikenali sebagai Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini menginjak usia 23 tahun merupakan sebuah universiti awam ke-16 yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menawarkan program pendidikan tinggi berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi serta penyedia program TVET termaju (aras tinggi) negara.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan warga UMPSA terhadap kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi dan kerjasama antarabangsa dengan lima penunjuk prestasi utama meliputi kualiti penyelidikan, persekitaran penyelidikan, pengajaran, industri dan pandangan antarabangsa.
“Prestasi cemerlang ini tidak dapat direalisasikan tanpa komitmen warga universiti dan kerjasama strategik yang produktif bersama pihak industri, agensi, sektor awam, serta tidak ketinggalan, alumni UMPSA.
“Saya ingin merakamkan penghargaan tahniah buat warga UMPSA yang sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran penyelidikan, kolaborasi strategik bersama industri serta pengantarabangsaan program akademik melalui jalinan strategik di pelbagai peringkat dalam dan luar negara.
“UMPSA sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Katanya, universiti juga akan memberi tumpuan kepada penyelesaian cabaran dunia sebenar melalui kerjasama bersama institusi global, industri dan agensi kerajaan.
Dalam pada itu, UMPSA menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi dan program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional Termaju (Advanced TVET).
Bagi penilaian tahun 2025 ini, UMPSA berjaya memperbaiki kedudukan daripada 166 terbaik Asia kepada 163 terbaik Asia dan kedudukan ini juga turut meletakkan UMPSA di kedudukan ke-9 di Malaysia.
Tersenarai dalam kelompok sepuluh universiti terbaik di Malaysia adalah Universiti Teknologi Petronas (43), Universiti Malaya (64), Universiti Teknologi Malaysia (86), Universiti Kebangsaan Malaysia (103), Universiti Sains Malaysia (103), Universiti Utara Malaysia (127), Universiti Putra Malaysia (132), Sunway University (141), UMPSA (163) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (173).
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 106 views