29 alumni kembali ke UMPSA, imbau kenangan di alma mater
PEKAN, 31 Oktober – Suasana Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-21 kali ini lebih bermakna apabila seramai 29 alumni kembali menjejakkan kaki ke alma mater bagi meraikan detik bersejarah graduan baharu universiti itu.
Bertempat di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMPSA Pekan, kehadiran barisan alumni itu bukan sekadar mengimbau kenangan ketika bergelar mahasiswa, malah menjadi peluang untuk menyaksikan sendiri perkembangan dan transformasi universiti yang pernah menjadi tempat mereka menimba ilmu.
Antara yang mencuri perhatian ialah kehadiran dua pasangan suami isteri, iaitu Nor Aryza Nazlen, 24, bersama suaminya, Khairul Fitri Khairu Nasir, 25, serta Siti Aisyah Mustapha, 36, bersama suaminya, Adi Syafiq Md Amir, 37.
Bagi Siti Aisyah, kepulangannya ke UMPSA selepas 13 tahun meninggalkan universiti itu membawa kenangan tersendiri apabila kali ini beliau hadir bersama suami, bukan lagi sebagai graduan tetapi sebagai alumni.
Menurutnya, beliau berbangga melihat perkembangan UMPSA yang semakin pesat dalam pelbagai aspek, khususnya kemudahan fasiliti, infrastruktur dan kualiti pendidikan.
“Saya melihat graduan yang dilahirkan UMPSA hari ini semakin berkualiti, mempunyai kemahiran menyeluruh, pemikiran kritis serta daya saing yang tinggi.
“Saya percaya graduan UMPSA mempunyai nilai tambah tersendiri dan mampu memenuhi keperluan industri serta mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan.
“Sebagai bekas pelajar, saya berasa bangga melihat transformasi dan kemajuan universiti yang semakin menyerlah,” ujarnya.
Siti Aisyah kini berkhidmat sebagai Jurutera II di XDC Wuxi Biologics, Singapura, manakala suaminya bertugas sebagai CE Field Service Engineer (FSE) di Microsoft Malaysia.
Sementara itu, Nor Aryza Nazlen berkata, kehadirannya bersama suami pada majlis berkenaan bertujuan mencipta kenangan baharu sebagai alumni selain merasai pengalaman menghadiri istiadat konvokesyen di dewan baharu UMPSA Pekan.
Katanya, mereka berdua merupakan antara graduan terakhir yang mengikuti Majlis Konvokesyen di UMPSA Kampus Paya Besar sebelum universiti itu mengadakan majlis konvokesyen di UMPSA Pekan.
“Kami ingin merasai sendiri suasana dan pengalaman berada di DTC yang baharu, selain mencipta kenangan bersama sebagai alumni,” katanya yang kini bertugas sebagai Site Supervisor bagi projek HVAC.
Selain pasangan suami isteri, kehadiran alumni bersama ahli keluarga turut memeriahkan program berkenaan.
Bagi Nurul Fatimah Abdullah, 32, peluang menghadiri majlis itu bersama dua adik-beradiknya, Nurul Aisyah Abdullah, 32, dan Nurul Amirah Abdullah, 34, menjadi kesempatan untuk mengimbau kembali kenangan manis sepanjang bergelar mahasiswa.
Menurutnya, mereka bertiga pernah mengikuti pengajian dalam sesi yang berbeza dan kepulangan ke UMPSA kali ini memberi peluang untuk mencipta memori baharu bersama-sama.

“Tujuan utama kami hadir adalah untuk menghidupkan kembali kenangan manis ketika belajar di UMPSA.
“Walaupun mengikuti jurusan berbeza dan melalui pengalaman masing-masing, kami tetap mempunyai satu ikatan yang sama sebagai alumni UMPSA.
“Kami juga berbangga melihat perkembangan universiti dan kejayaan alumni UMPSA yang kini berjaya dalam pelbagai bidang industri,” katanya.
Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UMPSA, Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian berkata, pihak universiti merakamkan penghargaan kepada semua alumni yang sudi meluangkan masa dan tenaga untuk kembali memeriahkan majlis berkenaan.
“Tahun ini merupakan tahun kedua alumni dijemput sebagai tetamu khas dalam Majlis Konvokesyen UMPSA bagi memberikan pengiktirafan kepada mereka untuk kembali ke alma mater dalam suasana penuh meriah.
“Inisiatif itu bukan sahaja menjadi tanda penghargaan universiti terhadap sumbangan dan kejayaan alumni, malah membuka ruang kepada mereka untuk meraikan bakal graduan yang bakal melangkah ke alam pekerjaan.
“Kami berharap hubungan erat antara universiti dan alumni akan terus diperkukuh bagi membina jaringan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.
Selain itu, wakil alumni yang memberi ucapan di pentas hari ini, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Hamisa Abdul Hamid, yang merupakan alumni Doktor Falsafah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) berkata, kepulangannya ke UMPSA selepas tiga tahun bergraduat pada tahun 2023 membangkitkan rasa syukur dan bangga, apatah lagi tahun berkenaan turut menyaksikan nama UMPSA mula dimasyhurkan secara rasmi.
Beliau yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik), UCYP University berkata, pengalaman selama 20 tahun dalam bidang akademik menjadi pemangkin semangat untuk terus menyumbang kepakaran serta memacu pembangunan dan kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
“Saya ingin menyeru alumni agar terus menyumbang kepada UMPSA melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran demi melahirkan generasi graduan yang cemerlang.katanya,” ujarnya.
Oleh: NOR SALWANA MOHAMMAD IDRIS, PUSAT PEMBANGUNAN KELESTARIAN (SDC)
- 11 views
Reports by: