Agha Khilfi harumkan nama UMPSA, muncul Johan APBN Peringkat Negeri Pahang
KUANTAN, 13 Julai 2026 – Alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Agha Khilfi Suarno, 28, mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai Johan Kategori Individu Lelaki dalam Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pahang 2026.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Universiti (wakil alumni) menerima anugerah berprestij yang disempurnakan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pahang, Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang serta Perasmian Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Pahang yang berlangsung di Kuantan baru-baru ini.
Majlis anjuran KOMBES Negeri Pahang itu merupakan manifestasi penghargaan terhadap sumbangan dan komitmen golongan belia dalam pembangunan masyarakat serta negeri.
Kejayaan Agha Khilfi menjadi satu kebanggaan buat UMPSA memandangkan beliau bukan sahaja merupakan alumni universiti itu, malah kini menggalas amanah sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti mewakili alumni, sekali gus mencerminkan kecemerlangan graduan UMPSA dalam menerajui kepimpinan di pelbagai peringkat.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengurus Kolej Yayasan Pahang (KYP) turut memegang jawatan sebagai Pegawai Khas, Pengarah Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang dan Ketua Penerangan Gerakan Belia 4B Malaysia.
Menurut Agha Khilfi, pengiktirafan yang diterima itu merupakan satu amanah besar yang perlu diterjemahkan melalui usaha berterusan dalam membangunkan golongan belia dan masyarakat.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berbesar hati atas kejayaan ini.
“Anugerah ini merupakan satu amanah yang besar dan bukan kejayaan saya secara bersendirian.
“Ia adalah hasil doa serta sokongan ibu bapa, keluarga, mentor, rakan-rakan dan semua organisasi yang telah memberi peluang kepada saya untuk berbakti,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat untuk terus menyumbang kepada pembangunan belia, pendidikan dan masyarakat.
Sepanjang penglibatannya dalam pelbagai organisasi dan program pembangunan mahasiswa serta belia, beliau aktif memimpin dan menggerakkan pelbagai inisiatif yang memfokuskan kepada aspek kepimpinan, kesukarelawanan, pembangunan anak muda dan pemerkasaan komuniti di peringkat universiti, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau berkata, dalam masa terdekat, pihaknya akan melaksanakan program Retreat dan Pemerkasaan Penerangan Gerakan Belia 4B Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada bulan Ogos ini bagi memperkukuh peranan penerangan dan kepimpinan dalam kalangan ahli pertubuhan itu.
“Selain itu, saya berhasrat memperluaskan lagi program pembangunan kepimpinan belia melalui kerjasama strategik antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pertubuhan belia bagi melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berdaya saing, berintegriti dan mampu memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesanan kepada golongan belia dan mahasiswa agar sentiasa berani mencuba, memimpin serta memanfaatkan peluang yang ada untuk pembangunan diri.
“Jangan takut untuk mencuba, memimpin dan berkhidmat kepada masyarakat.
“Kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui nilai kepimpinan, integriti, disiplin dan kesediaan memberi manfaat kepada orang lain.
“Gunakan zaman muda untuk membina pengalaman, mengembangkan potensi diri dan memperkukuhkan kemahiran insaniah kerana semua pengalaman ini akan menjadi bekalan yang amat berharga pada masa hadapan,” jelasnya.
Beliau juga berharap agar Anugerah Perdana Belia Negara akan terus menjadi platform yang mengiktiraf usaha dan sumbangan golongan belia serta menggalakkan lebih ramai anak muda tampil sebagai pemimpin dan agen perubahan dalam komuniti.

“Saya berharap dapat terus menyumbang kepada pembangunan negeri Pahang dan Malaysia melalui pendidikan, kepimpinan belia serta inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Anugerah ini bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi satu amanah untuk saya terus berkhidmat.
“Malah, saya percaya setiap belia mempunyai potensi untuk menjadi agen perubahan apabila diberikan peluang, kepercayaan dan ruang untuk memimpin,” ujarnya.
Katanya lagi, semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk berani melangkah ke hadapan, mencipta impak dan menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Yang Berhormat Fadzli Mohamad Kamal, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Azura Abidin serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Nor Azli Mohamad Daud.
Kejayaan Agha Khilfi membuktikan bahawa alumni UMPSA terus memainkan peranan penting dalam pembangunan belia dan masyarakat, sekali gus memperkukuh reputasi universiti sebagai institusi yang melahirkan graduan berwibawa, berintegriti dan berimpak tinggi kepada negara.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 42 views
Reports by: