Aizat Mohd Nasir alumni muda cemerlang terima Anugerah Mercu Sanjung Alumni Harapan UMPSA 2024
GAMBANG, 16 April 2025 – Komitmen dan sumbangan luar biasa seorang alumni muda Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Aizat Mohd Nasir berbaloi apabila beliau akhirnya telah diiktiraf menerima Anugerah Mercu Sanjung Alumni Harapan UMPSA 2024 sempena Malam Anugerah Mercu Sanjung (MARS) yang berlangsung baru-baru ini di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Aizat yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam UMPSA, kini berkhidmat sebagai Jurutera Projek di Zhao Yang Geotechnic, Singapura.
Kini beliau terlibat secara langsung dalam projek mega Empangan Hidroelektrik Nenggiri yang bernilai RM5 bilion.
Beliau amat bersyukur dan berasa sangat gembira atas penghargaan ini.
“Ia merupakan satu anugerah yang tidak disangka dan menjadi pembakar semangat untuk saya agar terus berbakti kepada UMPSA.
“Malah, saya juga tidak menyangka akan terpilih memandangkan pencalonan turut melibatkan ramai alumni berpengalaman dan hebat.
“Saya merupakan antara alumni paling muda dalam senarai calon tahun ini, namun rezeki berpihak kepada saya kali ini,” ujarnya.
Semasa di UMPSA, Aizat pernah dilantik sebagai Presiden Kelab Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 4 (PEKA 4) bagi sesi 2023/024.
Sepanjang kepimpinannya, beliau aktif mengelola pelbagai program kebajikan dan pembangunan pelajar, termasuk penganjuran program Mobiliti Antarabangsa ke Jepun sebagai Pengarah Program.
Program tersebut menumpukan kepada tiga aspek utama iaitu menyantuni komuniti Islam di Jepun dengan menyumbangkan 50 naskhah al-Quran kepada Masjid Osaka, menjalankan lawatan industri ke Nishijin Textile, dan mengadakan perbincangan akademik bersama Universiti Osaka mengenai kelestarian alam sekitar.
Antara cabaran utama beliau ketika pengajiannya di UMPSA ialah menguruskan masa antara tanggungjawab akademik dan juga kokurikulum.
Namun dengan perancangan rapi dan keutamaan yang jelas, beliau akhirnya berjaya menyeimbangkan kedua-duanya.
Bagi Aizat, penglibatan aktif dalam pelbagai program semasa belajar telah memberi impak besar dalam membentuk kemahiran kepimpinan dan kebolehan menyelesaikan masalah secara praktikal kemahiran yang kini sangat berguna dalam dunia kerjaya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kedua ibu bapanya sebagai sumber inspirasi terbesar dalam kejayaan yang dikecapinya.
Katanya, beliau dedikasikan kejayaan ini kepada kedua ibu bapanya.
“Mereka sentiasa menjadi pendorong dan sering mendoakan kejayaan saya tanpa henti.
“Saya berharap lebih ramai warga UMPSA sama ada pelajar mahupun alumni akan terus memberikan sumbangan bermakna kepada universiti dalam apa jua bentuk.
“Jangan hanya kejar kecemerlangan akademik semata-mata.
“Sertai kokurikulum, bina jaringan, dan kumpul pengalaman,” ujarnya.
Tambahnya lagi, itu semua akan membentuk kita menjadi insan yang lebih seimbang dan berkualiti,”
“Berikanlah yang terbaik untuk hasil yang baik,” pesannya kepada pelajar UMPSA.
Turut menerima anugerah pada malam tersebut ialah Syazaliyana Razanabihah Surahman, yang menerima Anugerah Mercu Sanjung Ikon Alumni Inspirasi dan Ts. Wan Anwar Faiz Wan Nasaruddin, penerima Anugerah Mercu Sanjung Ikon Alumni.
Kedua-dua tokoh ini turut diraikan atas sumbangan signifikan mereka dalam bidang masing-masing dan komitmen tinggi terhadap pembangunan komuniti serta UMPSA.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 111 views