Skip to main content

Alumni UMPSA, Syahirurrafiq bawa kepakaran kejuruteraan, hulur bakti di Timor-Leste

PEKAN, 5 Oktober 2026 – Bagi Jurutera Awam, Syahirurrafiq Buang, 27, ilmu yang dipelajari di universiti bukan sekadar menjadi bekalan membina kerjaya, sebaliknya turut menjadi aset untuk dimanfaatkan dalam kerja kesukarelawan.

Alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu membuktikan bahawa kepakaran dalam bidang kejuruteraan boleh disumbangkan dalam pelbagai situasi apabila beliau menyertai Kembara Mobiliti UMPSA@Timor-Leste 2026 sebagai alumni.

Berasal dari Rawang, Selangor, Syahirurrafiq yang merupakan anak keempat daripada empat beradik kini berkhidmat sebagai Jurutera Awam dalam bidang Infrastruktur dan Lebuh Raya.

Alumni UMPSA, Syahirurrafiq bawa kepakaran kejuruteraan, hulur bakti di Timor-Leste

Menurutnya, minat terhadap bidang Kejuruteraan Awam bermula daripada rasa ingin tahu tentang bagaimana sesuatu struktur atau kemudahan dirancang sebelum akhirnya dapat digunakan oleh masyarakat.

“Apabila mempelajari Kejuruteraan Awam, saya mula memahami bahawa tugas seorang jurutera bukan sekadar membuat pengiraan atau menghasilkan lukisan teknikal, tetapi turut melibatkan penyelesaian masalah dan membuat keputusan.

“Apabila memasuki alam pekerjaan pula, minat itu semakin berkembang kerana kita dapat melihat sendiri bagaimana ilmu yang dipelajari di universiti diaplikasikan dalam projek sebenar,” ujarnya. 

Syahirurrafiq berkata, pengalaman sepanjang menuntut pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian di UMPSA turut membentuk dirinya untuk lebih yakin berkomunikasi, bekerja dalam pasukan dan berinteraksi dengan individu daripada pelbagai latar belakang.

“Penglibatan dalam aktiviti kampus pada awalnya mungkin dilihat sekadar peluang menimba pengalaman dan membina jaringan kenalan, namun pengalaman itu akhirnya banyak membantu saya apabila memasuki alam pekerjaan.

“Pengalaman bekerja dalam kumpulan, menguruskan program dan berinteraksi dengan individu daripada pelbagai latar belakang banyak membantu saya apabila melangkah ke alam pekerjaan.

“Lebih bermakna, pengalaman menyertai Kembara Mobiliti UMPSA@Timor-Leste 2026 memberi ruang kepadanya untuk menggunakan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki dalam konteks yang berbeza,” tambahnya. 

Dalam program berkenaan, beliau terlibat dalam projek vertical farming dan penternakan ikan menggunakan sistem Bioflok.

Walaupun projek itu tidak berkait secara langsung dengan bidang Kejuruteraan Awam, Syahirurrafiq tetap menyumbang melalui kemahiran dalam aspek perancangan, penyelesaian masalah dan pelaksanaan aktiviti di lapangan.

Katanya, pengalaman tersebut sangat menarik kerana kita bukan sekadar hadir untuk membantu, tetapi pada masa sama turut belajar banyak perkara daripada komuniti dan peserta yang terlibat.

“Apabila melihat sendiri hasil usaha yang dilakukan bersama-sama, memang ada kepuasan tersendiri,” ujarnya. 

Mengulas bagaimana beliau mengimbangi tuntutan kerjaya dengan aktiviti kesukarelawan, Syahirurrafiq mengakui ia bukan sesuatu yang mudah, namun perkara itu boleh dilakukan sekiranya seseorang bijak mengurus masa dan komitmen.

“Kerjaya tetap menjadi keutamaan, justeru beliau akan mempertimbangkan masa serta komitmen yang diperlukan sebelum menyertai sesuatu program.

“Saya rasa kita tidak perlu menunggu sehingga mempunyai banyak masa untuk membantu. 

“Jika ada peluang dan kita mampu memberikan sedikit masa, tenaga atau ilmu, kita boleh cuba mengambil peluang tersebut.

“Bagi saya, kerjaya dan aktiviti kesukarelawan juga boleh saling melengkapi,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, apa yang kita pelajari melalui pekerjaan boleh kita bawa ke dalam program kesukarelawan, manakala pengalaman daripada aktiviti kesukarelawan pula banyak membantu kita dari segi komunikasi dan cara bekerja dengan orang lain. 

“Sumbangan seorang jurutera dalam kerja kesukarelawan juga tidak semestinya bergantung sepenuhnya kepada kemahiran teknikal.

“Sebaliknya, cara berfikir secara sistematik, mengenal pasti punca masalah dan mencari penyelesaian praktikal merupakan antara kemahiran penting yang boleh dimanfaatkan ketika berada di lapangan.

“Sebagai seorang jurutera, kita biasa melihat sesuatu masalah, memahami puncanya dan kemudian mencari penyelesaian yang praktikal. Pendekatan yang sama boleh digunakan apabila berada di lapangan,” kata Syahirurrafiq,

Ujarnya lagi, walaupun sumbangan beliau mungkin kelihatan kecil, beliau percaya setiap orang mempunyai kepakaran masing-masing. 

“Apabila kepakaran tersebut digabungkan, ia mampu memberikan impak yang lebih besar kepada sesuatu program,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menggalakkan pelajar yang berminat dalam bidang Kejuruteraan dan TVET supaya tidak takut mencuba perkara baharu di luar bilik kuliah.

Katanya, selain kecemerlangan akademik, pengalaman menyertai program, pertandingan, projek dan aktiviti kesukarelawan mampu membentuk kemahiran insaniah yang amat berguna apabila memasuki alam pekerjaan.

“Kadang-kadang kita mungkin tidak nampak manfaatnya pada masa sekarang, tetapi pengalaman yang diperoleh itu mungkin akan banyak membantu kita pada masa akan datang.

“Jangan rasa ilmu yang kita ada hanya berguna untuk pekerjaan kita,” jelas beliau. 

Bagi Syahirurrafiq, jika ada peluang untuk menggunakan ilmu, pengalaman atau kemahiran yang kita ada bagi membantu orang lain, gunakanlah peluang tersebut. 

“Ilmu yang dimiliki bukan hanya untuk membina kerjaya, tetapi juga boleh menjadi medium untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

“Pada akhirnya, ilmu yang kita miliki bukan hanya untuk membina kerjaya, tetapi juga boleh digunakan untuk memberi manfaat kepada orang lain,” ujarnya sambil mengukirkan senyuman. 

Bagi Syahirurrafiq, penglibatannya dalam program kesukarelawan mahasiswa UMPSA bukan sekadar peluang untuk kembali menyumbang kepada masyarakat, malah menjadi ruang untuk terus menyokong dan berkongsi pengalaman bersama generasi mahasiswa.

Alumni UMPSA, Syahirurrafiq bawa kepakaran kejuruteraan, hulur bakti di Timor-Leste

“Sebagai alumni, saya rasa kita masih mempunyai peranan untuk menyokong mahasiswa, khususnya apabila mereka terlibat dalam aktiviti kesukarelawan dan program kemasyarakatan.

“Walaupun sudah meninggalkan alam kampus, hubungan dengan universiti tidak seharusnya terhenti. 

“Selagi ada ruang dan peluang, saya mahu terus menyumbang kepada UMPSA melalui pengalaman, ilmu dan kemahiran yang saya ada,” ujarnya.

Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim