Skip to main content

Bermula berniaga di kampus, Alumni UMPSA Dr. Hafierul Hafiz kini terajui empayar perniagaan

PEKAN, 28 Julai 2026 – Bermula dengan menjual kabel LAN, komputer riba dan aksesori komputer kepada rakan-rakan di kampus ketika masih bergelar mahasiswa, siapa sangka pengalaman kecil itu menjadi titik permulaan kepada kejayaan seorang alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Hafierul Hafiz Md. Razi, yang kini bergelar usahawan berjaya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian (Kejuruteraan Automotif) pada tahun 2009 itu membuktikan bahawa kejayaan bukanlah sesuatu yang hadir dalam sekelip mata. 

Sebaliknya, ia dibina melalui keberanian mencuba, kesanggupan menghadapi kegagalan dan tekad untuk terus bangkit sehingga berjaya membina beberapa perniagaan dalam sektor pergigian, pengangkutan industri minyak dan gas serta kontraktor pembersihan awam.

Kini, beliau menerajui Klinik Pergigian Azra & Co dan Bumi Hijau Lestari Resources di Kuala Lumpur, hasil perjalanan keusahawanan yang dibina daripada pengalaman, ketabahan dan keberanian menghadapi pelbagai cabaran.

Bermula berniaga di kampus, Alumni UMPSA Dr. Hafierul Hafiz kini terajui empayar perniagaan

Menurut beliau, walaupun pada awalnya bidang Kejuruteraan bukan pilihan utama, pengalaman menimba ilmu di UMPSA telah membentuk cara beliau berfikir secara sistematik, selain memupuk nilai kepimpinan, pengurusan dan keusahawanan yang menjadi asas kepada kejayaan hari ini.

Selepas menamatkan pengajian, Dr. Hafierul memulakan kerjayanya sebagai Jurutera Automotif di APM, anak syarikat Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (Nissan), selama dua tahun sebelum mengambil keputusan meninggalkan dunia kejuruteraan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang keusahawanan.

Menurut beliau, perjalanan sebagai usahawan bukanlah sesuatu yang mudah. 

Malah, kejayaan yang dikecapinya hari ini lahir daripada pelbagai cabaran, kegagalan dan pengalaman yang mematangkan diri.

Pada peringkat awal, beliau mencuba pelbagai bidang perniagaan termasuk membeli dan menjual barangan terpakai serta mengusahakan kilang peleburan serpihan aluminium (aluminium chips) bagi menghasilkan sport rim bagi kereta proton.

Namun, pengalaman yang masih cetek dan kecenderungan mencuba sesuatu yang baharu tanpa membuat penilaian risiko secara menyeluruh menyebabkan perniagaan tersebut tidak mampu bertahan lama.

Tidak berputus asa, beliau kemudian menceburi perniagaan makanan segar dan perkhidmatan penghantaran dalam talian. 

Bermula berniaga di kampus, Alumni UMPSA Dr. Hafierul Hafiz kini terajui empayar perniagaan

Pengalaman berdepan pelanggan yang gagal membuat bayaran dan pelbagai cabaran lain dalam dunia perniagaan runcit menjadi antara asam garam yang menguatkan semangatnya untuk terus bangkit.

Titik perubahan dalam perjalanan kerjayanya hadir apabila beliau diberi peluang mengurus kontrak kecil pembersihan kawasan yang kemudiannya menjadi asas kepada perkembangan perniagaan yang diusahakan sehingga hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui kejayaan tersebut bukanlah sesuatu yang dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil daripada kesabaran, ketabahan dan semangat untuk terus memperbaiki diri.

Beliau berkata, sehingga kini cabaran terbesar yang dihadapi ialah mengurus aliran tunai, membina pasukan kerja yang berprestasi tinggi, memperoleh kepercayaan pelanggan serta membuat keputusan strategik dalam keadaan ekonomi yang sentiasa berubah.

"Saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa kejayaan bukan tentang seberapa pantas kita sampai ke destinasi, tetapi seberapa lama kita mampu bertahan dan terus bangkit setiap kali diuji.

"Walaupun akhirnya saya memilih laluan sebagai usahawan, asas pemikiran kejuruteraan yang saya peroleh di UMPSA masih menjadi kekuatan utama dalam setiap keputusan perniagaan yang saya buat sehingga hari inim” ujarnya. 

Beliau turut mengakui bahawa kemahiran menyelesaikan masalah, membuat analisis berdasarkan data, mengurus projek dan bekerja secara berpasukan yang dipelajari di UMPSA menjadi antara faktor penting dalam menguruskan syarikat sehingga kini.

alumni

Mengimbau kembali zaman sebagai mahasiswa, beliau menyifatkan UMPSA bukan sekadar tempat memperoleh ijazah, malah sebuah institusi yang membentuk jati diri, kepimpinan dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu.

"Di UMPSA lah tempat saya belajar menjadi dewasa, bekerja dan mencuba aktiviti baharu. 

“Di situlah saya belajar bahawa kejayaan bukan hasil usaha individu semata-mata tetapi hasil kerjasama sebuah pasukan,” jelasnya. 

Beliau turut menggesa para pelajar supaya memanfaatkan sepenuhnya kehidupan di universiti dengan aktif dalam persatuan, membina rangkaian kenalan serta berani mengambil peluang.

Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan kepentingan menguasai teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) sebagai nilai tambah kepada graduan pada masa kini.

"AI bukan lagi masa depan tetapi teknologi yang sedang berlaku sekarang. 

“Graduan perlu mengambil peluang untuk belajar dan mahir menggunakan AI kerana ia mampu meningkatkan produktiviti serta daya saing.

“Malah, saya berasa sangat bangga melihat perkembangan UMPSA yang semakin menyerlah sebagai universiti teknikal terkemuka negara,” katanya. 

Menurutnya, penekanan terhadap TVET, pembelajaran berasaskan industri dan penyelidikan gunaan membuktikan universiti berada di landasan yang tepat untuk merealisasikan aspirasi sebagai Hub TVET Termaju di Asia Pasifik menjelang tahun 2030.

Beliau berharap UMPSA akan terus melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki karakter unggul, kepimpinan tinggi serta mampu bersaing di peringkat global.

"UMPSA bukan sekadar tempat menimba ilmu demi segulung ijazah, tetapi sebuah universiti yang melahirkan graduan yang versatil, tahan cabaran dan berani mencipta peluang. 

“Saya sentiasa berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga besar UMPSA,” ujarnya sambil mengukirkan senyuman. 

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri