Skip to main content

Kembara Jejak Alumni UMPSA Borneo 2026 perkukuh jaringan alumni dan sebar luas program alumni serta endowmen

Kembara Jejak Alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Borneo bersempena dengan Hari Malaysia 2026 anjuran Pusat Perhubungan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang dilaksanakan baru-baru ini adalah sebahagian daripada program universiti merangkumi libat urus alumni, promosi pendidikan TVET, jaringan institusi, kebajikan dan kerjasama industri di Sabah, Brunei dan Sarawak.

Peserta kembara berpeluang menyantuni lebih 55 alumni, program turun padang mendekati hampir 1,000 pelajar dan melaksanakan Ziarah Kasih dan Ziarah Prihatin oleh Skuad UMPSA yang juga turut disertai Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, program ini adalah kesinambungan daripada Program Kembara UMPSA (Jejak Alumni) melibatkan universiti dalam rangkaian universiti teknikal (MTUN) pada tahun lalu.

“Justeru pada kali ini, kembara diteruskan ke Borneo dalam memperkukuh jaringan alumni, memperluas kolaborasi universiti dan menyemarakkan semangat patriotisme bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia 2026.

“Selain itu, program kembara ini juga bertujuan untuk mempromosikan Endowmen PIN Alumni yang baharu dilancarkan,” ujarnya. 

Menyebar luas program alumni UMPSA, program Alumni Back to Campus, Sukan Alumni, Perarakan Konvokesyen Alumni dan platform jaringan LinkMe yang bakal dilancarkan menjelang Sambutan Jubli Perak  sempena Ulang Tahun UMPSA Ke-25 pada 16 Februari 2027.

Ujar Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, kembara ini bukan sekadar jelajah, tetapi menjadi wadah untuk menghubungkan semula alumni UMPSA, membina jaringan strategik bersama rakan universiti serta menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan warga kampus dan masyarakat.

“Program ini juga memberi impak besar dalam usaha menghimpunkan alumni UMPSA yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor di seluruh negara, seterusnya membuka ruang untuk perkongsian pengalaman dan kerjasama profesional antara alumni dan universiti,” katanya.

Dalam pada itu, dari aspek pembiayaan sebanyak RM36,900 penajaan berjaya diperoleh manakala tanggungan universiti hanya melibatkan jamuan keraian alumni di Kota Kinabalu dan Kuching sebanyak RM2,103 sebagai menyokong usaha ini.

Pihaknya menghargai komitmen peserta sendiri atas tanggungan kos perjalanan udara, penginapan, makan minum dan lain-lain melibatkan sumbangan penajaan.

Ujarnya, program ini juga memberi peluang buat peserta menyebar luas mengenai pelaksanaan Program TVET Borneo Pesisir dalam usaha memperluas akses pendidikan tinggi berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada masyarakat di Sabah dan wilayah Borneo.

Tambah beliau, sebagai universiti MTUN, para peserta juga berpeluang mengunjungi Kolej Vokasional di Sabah dan Sarawak selain memperkukuh jaringan institusi melalui penglibatan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Antara institusi yang dikunjungi ialah Kolej Vokasional (KV) Keningau, KV Beaufort, KV Likas, KV Betong, KV Sibu dan KV Miri, dengan perkongsian yang menumpukan laluan pengajian ke UMPSA, khususnya program Sarjana Muda Teknologi (BTech).

Hasil inisiatif ini, setakat hari ini, pihak Pusat Perhubungan Alumni berjaya mengumpulkan hasil kutipan Endowmen PIN Alumni sebanyak RM5,235 untuk disumbangkan kepada pembangunan universiti.

Sumbangan alumni bagi pembinaan Jambatan Iman, yang akan menghubungkan laluan ke masjid UMPSA pula telah melebihi RM32,000.

Profesor Ts. Dr. Yatimah juga menghargai sumbangan orang ramai melalui Wakaf Pahang yang telah melebihi RM45,000 bagi kutipan Jambatan Iman ini.

Kedua-dua sumber sokongan ini memperlihatkan penglibatan alumni dan masyarakat dalam menjayakan kemudahan untuk warga universiti.

Dalam hubungan industri, jaringan alumni turut membuka ruang kepada sokongan bukan tunai (in-kind) daripada Alstom yang bernilai sekitar RM31 juta.

Libat urus ini turut membuka ruang kepada pembangunan latihan Six Sigma Green Belt dan AI 2.0, geran penyelidikan padanan, peluang pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah serta peluasan jaringan industri.

Hubungan antara universiti pula diperkukuh melalui penyertaan UMPSA dalam Forum Alma Mater: Membina Legasi Hari Malaysia di UNIMAS.

Forum itu berlangsung bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia dan Majlis Perasmian Alumni Back to Campus Festival 2026 yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.

Pihak universiti menghargai komitmen para peserta, sumbangan alumni, para penaja dan Industri serta institusi terlibat sepanjang menjayakan kembara ini.

Oleh: Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian dan Nur Azian Rapah, Pusat Perhubungan Alumni
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim