Muhammad Hafizzi, alumni UMPSA bukti keunggulan TVET dalam industri tenaga boleh baharu
PEKAN, 17 Ogos 2026 - Alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Muhammad Hafizzi Mohd Gafar, membuktikan bahawa laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta berdaya saing dalam industri tenaga boleh baharu.
Beliau yang menamatkan pengajian pada tahun 2025 dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) memulakan perjalanan akademiknya di Kolej Vokasional Klang dengan mengikuti Diploma Teknologi Elektronik selama empat tahun sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah di UMPSA pada tahun 2021.
Kini, beliau berkhidmat sebagai Jurutera Projek di Pathgreen Energy, syarikat tenaga boleh baharu yang turut menjadi tempat beliau menjalani latihan industri (Work-Based Learning).
Menurut beliau, bidang tugasnya banyak berkait rapat dengan ilmu yang dipelajari sepanjang pengajian di UMPSA, khususnya dalam Sistem Solar Fotovolta (PV).

“Antara kemahiran yang saya gunakan di tempat kerja termasuk membaca dan menyediakan lukisan sistem solar PV, menghasilkan schematic drawing, menjalankan pemeriksaan serta troubleshooting sistem, dan memastikan aspek keselamatan ketika pengoperasian system,” ujarnya.
“Pendekatan pembelajaran secara praktikal dan hands-on di UMPSA banyak membantu dalam membina keyakinan serta kemahiran teknikal,” ujarnya.
Antara pengalaman menarik sepanjang pengajian termasuk aktiviti memeriksa Main Switch Board (MSB), menguji prestasi inverter serta membangunkan projek menggunakan mikropengawal seperti Arduino UNO.
Tambah beliau lagi, kaedah pembelajaran yang menekankan praktikal dan sokongan pensyarah yang komited membantu dirinya untuk bersedia menghadapi dunia pekerjaan sebenar.
“Bidang TVET mempunyai kelebihan besar dalam memenuhi keperluan industri masa kini yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta berpengalaman secara praktikal.
“Graduan TVET lebih mudah menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja kerana telah didedahkan dengan pengalaman hands-on sejak di institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan generasi muda agar memilih bidang pengajian berdasarkan minat sendiri serta tidak terpengaruh dengan tekanan luar.
“Jangan takut memilih laluan TVET kerana peluang kerjaya sangat luas dan kebolehpasaran graduan juga tinggi.
“Selain kemahiran teknikal, TVET turut membentuk soft skills seperti kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyifatkan UMPSA sebagai antara institusi TVET terbaik yang menyediakan kemudahan lengkap, silibus berorientasikan industri dan peluang pendedahan kepada dunia pekerjaan sebenar melalui lawatan industri serta perkongsian bersama pakar.
“Saya yakin, UMPSA mampu terus menjadi hab TVET terunggul dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang kompeten dan mampu bersaing di peringkat nasional serta antarabangsa,” tambahnya.
Kisah kejayaan ini mencerminkan peranan penting UMPSA dalam memperkasakan pendidikan TVET dan menyokong pembangunan industri tenaga boleh baharu di Malaysia.
Disediakan Oleh: Hafizatulazlin Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat.
- 61 views
Reports by: