UMPSA–BJTU tubuh komuniti alumni ijazah dual, perkukuh jaringan profesional Malaysia-China
PEKAN, 31 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kerjasama akademik antarabangsa menerusi penubuhan UMPSA–BJTU Dual Degree Alumni Chapter yang menjadi platform menghubungkan graduan program ijazah dual dengan kedua-dua universiti serta industri.
Majlis perasmian penubuhan komuniti alumni itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, bersempena dengan Majlis Perasmian UMPSA–BJTU Dual Degree Alumni Chapter yang berlangsung di UMPSA Kampus Pekan pada 31 Oktober 2026.
Turut hadir, Naib Presiden Beijing Jiaotong University (BJTU), Profesor Gao Liang, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Pengerusi Chapter Alumni UMPSA-BJTU, Lim Zheng Sheng.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, penubuhan komuniti alumni itu bukan sekadar menghimpunkan graduan daripada program kerjasama dua universiti, malah menjadi landasan untuk memperluas jaringan profesional, perkongsian pengalaman dan pembukaan peluang kerjaya kepada generasi pelajar akan datang.

"Kerjasama UMPSA dengan BJTU mencerminkan komitmen bersama dalam melahirkan jurutera yang mempunyai kompetensi teknikal, pendedahan antarabangsa serta bersedia memenuhi keperluan industri.
"Melalui program ijazah dual dalam bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Elektrik dan Elektronik, para pelajar berpeluang memanfaatkan kekuatan akademik serta persekitaran pembelajaran kedua-dua institusi.
“Ketika ini, seramai 140 pelajar aktif mengikuti program kerjasama tersebut, selain komuniti alumni yang semakin berkembang,” ujarnya.
Lebih membanggakan katanya, dapatan tinjauan alumni terkini menunjukkan sebanyak 94.7 peratus responden kini bekerja dalam bidang berkaitan kejuruteraan.
“Walaupun dapatan itu berdasarkan sampel responden yang masih kecil, pencapaian tersebut memberikan petunjuk positif terhadap kebolehpasaran graduan serta keberkesanan pendekatan pendidikan berorientasikan industri yang dilaksanakan menerusi kerjasama berkenaan.
“Kejayaan sesebuah universiti bukan hanya diukur berdasarkan keupayaan melahirkan graduan dan membantu mereka memperoleh pekerjaan, tetapi turut merangkumi usaha memastikan graduan mampu membina kerjaya yang bermakna dan berdaya maju dalam jangka panjang.
“Perkembangan pesat pembangunan infrastruktur dan pengangkutan negara turut membuka ruang kerjaya yang lebih luas kepada graduan kejuruteraan, khususnya menerusi projek strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya.
Projek berkenaan memerlukan kepakaran dalam bidang elektrifikasi, automasi, sistem kawalan dan teknologi perkeretaapian yang mempunyai kaitan rapat dengan bidang kepakaran BJTU dalam pengangkutan rel serta kekuatan UMPSA dalam pendidikan kejuruteraan berorientasikan industri.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kelayakan akademik antarabangsa perlu disokong dengan hubungan lebih erat antara universiti dan industri melalui latihan industri berkualiti, jaringan profesional serta penglibatan majikan, khususnya syarikat yang beroperasi di Malaysia dan China.
Dalam pada itu, beliau juga berharap agar UMPSA–BJTU Dual Degree Alumni Chapter dapat memainkan peranan lebih besar dengan menggalakkan alumni berkongsi pengalaman, membimbing pelajar serta membantu membuka peluang latihan industri dan pekerjaan kepada graduan baharu.
"Kadangkala, hanya melalui satu perbualan, satu perkenalan atau satu peluang yang diberikan, ia mampu membawa perubahan besar dalam perjalanan kerjaya seseorang.
"Saya juga berharap komuniti alumni ini dapat menjadi suara penting dalam membentuk hala tuju kerjasama kedua-dua universiti dengan berkongsi maklum balas mengenai keberkesanan program serta kemahiran yang semakin diperlukan oleh pihak industri," katanya.
Beliau turut menyuarakan harapan agar kerjasama UMPSA dan BJTU dapat terus diperluas melalui pengajian pascasiswazah, penyelidikan bersama, pembelajaran berteraskan industri serta pembangunan profesional, khususnya dalam bidang kejuruteraan termaju dan teknologi pengangkutan.
Katanya, alumni yang dilahirkan menerusi program berkenaan merupakan duta kepada kedua-dua universiti dan pencapaian mereka akan terus memperkukuh hubungan akademik serta profesional antara Malaysia dan China.
Penubuhan UMPSA–BJTU Dual Degree Alumni Chapter dijangka menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti profesional yang lebih kukuh, sekali gus memperluas jaringan kerjasama antara universiti, alumni dan industri serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi akan datang.

Oleh: NAQIAH PUAAD, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 8 views
Reports by: