Skip to main content

UMPSA perkenal Portal Sistem Rangkaian ‘LinkMe’ platform interaktif alumni

PEKAN, 12 Ogos 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) perkenal Portal Sistem Rangkaian Alumni yang dikenali sebagai ‘LinkMe’ yang menghubungkan alumni dengan universiti dan dalam kalangan  alumni.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni),  Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, portal ini menjadi medium untuk mengemas kini maklumat alumni, membina jaringan, menyampaikan hebahan UMPSA serta menggalakkan penglibatan alumni secara aktif. 

“Portal ini menggantikan sistem lama OSCAR yang lebih bersifat pengumpulan data sehala.

“Portal ini juga akan memudahkan alumni untuk berhubung, menyertai program dan aktiviti universiti, menawarkan peluang kerjaya serta membuka ruang kerjasama dengan komuniti UMPSA,” ujarnya. 

Selain itu, dengan penglibatan secara aktif melalui UMPSA Alumni ‘LinkMe’, alumni bukan sahaja kekal terhubung dengan universiti, malah dapat terus menyumbang kepada pembangunan pelajar, graduan dan ekosistem UMPSA.
UMPSA Alumni ‘LinkMe’ turut menjadi penghubung yang memudahkan alumni untuk terlibat dalam program mentor, perkongsian ilmu dan kepakaran, peluang pekerjaan, kerjasama industri serta sokongan kepada pelajar dan graduan.  

Segala sumbangan alumni dapat disalurkan dengan lebih mudah, tersusun dan berterusan demi manfaat universiti dan generasi akan datang.

Dalam pada itu, alumni juga boleh menyumbang endowmen dan pelbagai inisiatif sumbangan, sekali gus menggalakkan budaya giving back dalam kalangan komuniti alumni.

Di samping itu juga, alumni boleh menyumbang bakti kepada universiti dengan memanfaatkan kepakaran, pengalaman, masa dan jaringan profesional yang dimiliki. 

Malah, beliau turut menggalakkan alumni mendaftar dalam ‘LinkMe’ bagi membolehkan alumni berhubung semula dengan rakan-rakan alumni, sama ada berdasarkan latar belakang pengajian, bidang atau kerjaya yang sama, mahupun rakan yang pernah bersama ketika di universiti. 

Ini membuka ruang kepada networking, perkongsian pengalaman dan kolaborasi profesional.

Sementara itu, bagi Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Ts. Dr. Mohamad Rusydi Mohamad Yasin berkata, pihaknya berharap UMPSA Alumni ‘LinkMe’ yang merupakan platform sehenti ini dapat menghubungkan alumni dengan universiti dan sesama alumni secara lebih mudah, aktif serta bermakna. 

 

“Lebih menarik, melalui ‘LinkMe’, alumni boleh mendapatkan maklumat terkini UMPSA, membina jaringan profesional, meneroka peluang kerjaya dan pekerjaan, menyertai komuniti serta mengikuti pelbagai program dan aktiviti alumni.

“Malahan antara kelebihan utama ‘LinkMe’ ialah universiti dapat memperoleh maklumat terkini mengenai alumni, termasuk perkembangan kerjaya dan lokasi mereka, khususnya apabila alumni turut menggunakan platform ini untuk mencari dan berkongsi peluang pekerjaan,” katanya. 

Pelbagai program dan inisiatif alumni telah dan bakal terus diperkasakan, antaranya program networking dan engagement alumni, perkongsian kepakaran, mentoring, peluang kerjaya, aktiviti kebajikan, kolaborasi alumni–industri, program bersama pelajar serta kempen endowmen dan sumbangan alumni.

Melalui UMPSA Alumni ‘LinkMe’, alumni boleh mendapatkan hebahan dan maklumat berkaitan program-program tersebut dengan lebih mudah. 

Portal ini menjadi saluran utama untuk alumni mengetahui, mengikuti dan menyertai pelbagai aktiviti serta peluang yang disediakan, sekali gus memastikan hubungan dan penglibatan alumni dengan UMPSA sentiasa aktif dan berterusan.

Baru-baru ini, Pusat Perhubungan Alumni turut memperkenalkan inisiatif menerusi sumbangan serendah RM25, setiap penyumbang layak memiliki Pin Alumni UMPSA sebagai simbol penghargaan dan kebanggaan terhadap alma mater.

Bakal berlangsung bersempena dengan Sambutan Hari Alumni UMPSA termasuklah  Alumni Fun Run, Forum Alumni, Alumni@Faculty dan pelbagai aktiviti lain yang memberi peluang kepada alumni untuk kembali ke kampus, berkongsi pengalaman dan menyumbang kepakaran kepada komuniti universiti.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri