149 penerima APC dan anugerah kecemerlangan dirai dalam HKI UMPSA
PEKAN, 19 Jun 2026 – Seramai 149 warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebagai pengiktirafan terhadap prestasi kerja cemerlang, komitmen tinggi dan sumbangan signifikan dalam pelbagai bidang termasuk pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, pengurusan serta khidmat masyarakat dalam Majlis Hari Kualiti dan Inovasi UMPSA.
Majlis turut meraikan penerima anugerah universiti antaranya Anugerah Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), Anugerah Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKKP), Anugerah Digital, Anugerah Sukan, dan Anugerah Personaliti Masyarakat.
Lain-lain Anugerah Penulisan Rencana Terbaik, Anugerah Kualiti Penyelidikan, Anugerah Kecemerlangan Industri dan Masyarakat, Anugerah Saintis Muda, Anugerah Akademik Universiti, dan Anugerah Kualiti Naib Canselor.
Hadir merasmikan majlis, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Haji Mohamad Sahfri Ab Aziz yang mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Pendaftar, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan Penolong Naib Canselor (Strategik Korporat), Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal Che Ku Yahya.

Menurut Dato’ Haji Mohamad Sahfri, budaya kualiti perlu diterapkan secara menyeluruh tanpa mengira sempadan organisasi, disiplin atau bidang kepakaran, manakala inovasi pula perlu dijadikan pemacu utama dalam menghadapi perubahan dunia yang semakin pesat dipengaruhi oleh teknologi dan kecerdasan buatan.
“‘Kualiti Tanpa Sempadan’ mengingatkan kita bahawa standard kecemerlangan tidak boleh dibatasi oleh apa jua sempadan.
„Kita perlu sentiasa menambah baik setiap aspek pengurusan dan penyampaian perkhidmatan.
“Manakala ‘Inovasi Masa Hadapan’ pula menyeru warga universiti untuk memanfaatkan teknologi dan kreativiti dalam menghasilkan penyelesaian yang memberi impak kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang disifatkan sebagai tulang belakang kepada kelancaran operasi, akademik dan penyelidikan universiti.
Pada masa yang sama, beliau menzahirkan kebanggaan terhadap pencapaian penyelidik UMPSA yang terus menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi serta inovasi berimpak yang memberi manfaat kepada industri dan masyarakat.
Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Kamal berkata, Hari Kualiti dan Inovasi merupakan platform penting bagi menghargai dedikasi warga universiti serta rakan strategik yang telah menyumbang kepada kecemerlangan UMPSA.
Menurutnya, budaya kualiti perlu menjadi sebahagian daripada DNA setiap warga universiti dan bukan sekadar amalan ketika proses audit atau penilaian dilaksanakan.
“Institusi pendidikan tinggi yang cemerlang tidak hanya bergantung kepada teknologi atau infrastruktur yang hebat, tetapi dibina melalui budaya kerja yang berteraskan integriti, profesionalisme, inovasi dan penambahbaikan berterusan.
“Kita mahu budaya kualiti ini diterjemahkan dalam setiap tindakan dan keputusan agar UMPSA terus kekal relevan serta berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga universiti atas kejayaan UMPSA yang terus mencatat pelbagai pencapaian membanggakan termasuk lonjakan kedudukan dalam QS World University Rankings 2027 apabila berada di tangga ke-588 terbaik dunia, selain muncul universiti terbaik dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
“Kejayaan tersebut membuktikan komitmen berterusan warga universiti dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan serta hubungan strategik bersama industri dan komuniti,” katanya.
Majlis menyaksikan Anugerah Kualiti Naib Canselor diterima oleh Pusat Teknologi Digital yang diwakili oleh Ketua Jabatan, Ts. Mohd Rashid Abu Bakar.
Anugerah ini bagi mengiktiraf jabatan yang berjaya membudayakan kualiti secara menyeluruh.
Manakala Anugerah Rakan Industri Terbaik diterima oleh Infineon Technologies (Kulim) Sdn. Bhd., Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd., BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd., Maybank Islamic Berhad, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tanah Makmur Berhad, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu, Daicel HPP Malaysia Sdn. Bhd., M-Cube Engineering Sdn Bhd, PMT Solutions Consult Sdn Bhd, B-Crobes Group of Companies dan Warnakala Studio Sdn Bhd. Anugerah Rakan Komuniti Terbaik pula diterima oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, dan KRT Taman Mutiara Perdana.
Manakala Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) pula menerima Anugerah Digital 2026 atas kejayaan melaksanakan pelbagai inisiatif pendigitalan yang menyumbang kepada peningkatan kecekapan operasi universiti.
Turut menerima pengiktirafan ialah Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan, Profesor Madya Dr. Mahyuddin Ismail dan Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Ts. Dr. Noormazlinah Ahmad yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Personaliti Masyarakat bagi kategori lelaki dan wanita.
Penganjuran HKI 2026 membuktikan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi, memperkasakan inovasi, memperluas penggunaan teknologi digital serta menghargai sumbangan warga universiti dan rakan strategik yang menjadi pemangkin kepada kecemerlangan institusi.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 190 views
Reports by: