Skip to main content

Aktif berbakti demi komuniti, Nurin Izzatie raih Anugerah Mercu Sanjung Individu MARS UMPSA 2025

PEKAN, 12 Jun 2026 – Penglibatan aktif dalam pelbagai program kesukarelawanan, pembangunan mahasiswa dan khidmat komuniti telah melayakkan Nurin Izzatie Rahamdan, 26, menerima Anugerah Mercu Sanjung Individu bersempena dengan Malam Anugerah Mercu Sanjung (MARS) 2025 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang baru-baru ini.

Nurin Izzatie, pelajar tahun 3, program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik. 

Beliau juga merupakan penerima Dermasiswa Yayasan Noah dan pernah mengikuti pengajian Diploma Farmasi di Universiti MAHSA. 

Kejayaan yang diraih itu turut didedikasikan khas kepada kedua ibu bapanya, Halima Tussa'adiyah, 51, dan Rahamdan Che Harun, 59, yang sentiasa menjadi sumber kekuatan serta inspirasi sepanjang perjalanan akademik serta penglibatannya dalam aktiviti kemasyarakatan.

Aktif berbakti demi komuniti, Nurin Izzatie raih Anugerah Mercu Sanjung Individu MARS UMPSA 2025

Menurut Nurin, pengiktirafan tersebut merupakan satu penghormatan yang amat bermakna dan tidak pernah dijangka memandangkan semua calon yang bertanding mempunyai pencapaian yang membanggakan.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur atas penganugerahan ini. 

“Bagi saya, anugerah ini bukan milik saya seorang, sebaliknya hasil usaha bersama pasukan terutamanya rakan-rakan sukarelawan Yayasan UMPSA yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan untuk melaksanakan pelbagai program komuniti dan kebajikan mahasiswa,” ujarnya. 

Sepanjang bergelar mahasiswa UMPSA, Nurin telah terlibat secara aktif dalam lebih 40 program melibatkan pembangunan mahasiswa, kebajikan pelajar dan pembangunan komuniti yang dianjurkan oleh universiti serta Yayasan UMPSA. 

Penglibatan tersebut bukan sahaja membentuk kemahiran kepimpinan dan komunikasi, malah meningkatkan nilai empati serta tanggungjawab sosial dalam dirinya. 

Beliau berkata, minat terhadap aktiviti kesukarelawanan bermula daripada keinginan untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan.

“Saya percaya ilmu dan kelebihan yang dimiliki bukan sekadar untuk kejayaan diri sendiri, tetapi perlu dimanfaatkan untuk membantu orang lain. 

“Penglibatan dalam program kesukarelawanan telah membuka mata saya tentang kepentingan empati, kerjasama dan semangat berbakti kepada masyarakat. 

“Antara pengalaman yang paling memberi kesan kepada saya ialah penyertaan dalam program Kembara Lestari dan Kembara Mobiliti anjuran Yayasan UMPSA yang membolehkannya tinggal bersama keluarga angkat di kawasan luar bandar, ” katanya. 

Menurutnya, pengalaman tersebut mengajarnya erti kesyukuran, keikhlasan dan nilai kemanusiaan yang sebenar apabila melihat bagaimana masyarakat setempat menerima kehadiran peserta walaupun berhadapan pelbagai kekangan kehidupan. 

Dalam masa yang sama, Nurin mengakui cabaran terbesar sepanjang pengajian adalah mengimbangi tuntutan akademik dengan aktiviti kokurikulum dan kesukarelawanan.

Bagaimanapun, beliau berjaya mengatasi cabaran itu melalui pengurusan masa yang sistematik, menetapkan keutamaan tugasan dan memanfaatkan masa lapang untuk mengulang kaji pelajaran. 

Pendekatan tersebut membolehkannya mengekalkan prestasi akademik yang baik tanpa mengabaikan komitmen terhadap masyarakat. 

Bagi Nurin, elemen kepimpinan yang dipupuk melalui pelbagai program dan projek berkumpulan turut memainkan peranan penting dalam kejayaannya menerima anugerah tersebut.

“Melalui pengalaman memimpin dan menyelaras pelbagai program, saya belajar membuat keputusan, berkomunikasi dengan berkesan dan menyelesaikan masalah. 

“Pengalaman itu menjadikan saya lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan yakin dalam menggalas amanah,” katanya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UMPSA yang disifatkannya sebagai institusi yang menyediakan pelbagai platform pembangunan mahasiswa melalui fakulti, badan pelajar dan Yayasan UMPSA bagi melahirkan graduan holistik dan berdaya saing. 

Sebagai penerima Anugerah Mercu Sanjung Individu MARS 2025, Nurin berazam untuk terus aktif dalam aktiviti kesukarelawanan di peringkat lebih tinggi, selain memberi tumpuan kepada tahun akhir pengajiannya.

Beliau turut berharap kejayaannya dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain bahawa kecemerlangan akademik dan penglibatan aktif dalam aktiviti luar bilik kuliah mampu bergerak seiring jika disertai dengan disiplin, komitmen dan pengurusan masa yang baik. 

Tambahnya, jika bukan kita yang memulakan, siapa lagi yang akan memulakannya. 

“Jangan takut untuk mencuba kerana setiap langkah kecil yang diambil hari ini boleh menjadi permulaan kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya sambil mengukirkan senyuman. 

Beliau membawa pulang trofi, wang tunai RM1,000 dan piala pusingan anugerah Malam Anugerah Mercu Sanjung (MARS) kategori individu yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato‘ Seri Abd Razak Jaafar disaksikan oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed di majlis tersebut. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri