Skip to main content

Essah Ghani Dinobat penerima Anugerah Khidmat Komuniti MARS 2025, bukti kejayaan akademik dan kesukarelawanan boleh seiring

GAMBANG, 10 Jun 2026 – Semangat kesukarelawanan yang tinggi, komitmen berterusan dalam khidmat masyarakat serta kecemerlangan akademik telah melayakkan pelajar Fakulti Sains Industri dan Teknologi (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Essah Ghani Azeem Hussain menerima Anugerah Khidmat Komuniti dalam Majlis Anugerah Mercu Sanjung (MARS) 2025 yang berlangsung penuh gemilang di Dewan Kompleks Sukan UMPSA, Kampus Gambang.

Essah Ghani, 24 yang mengikuti program Bachelor of Occupational Safety and Health with Honours menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu penghormatan yang amat bermakna hasil daripada perjalanan panjangnya dalam bidang kesukarelawanan dan pembangunan komuniti.

Menurut beliau, sepanjang penglibatan dalam program komuniti dan sukarelawan, matlamat utamanya bukanlah untuk mengejar pengiktirafan, sebaliknya untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan terharu menerima pengiktirafan ini.

“Sejujurnya saya tidak pernah menjangkakan untuk menerima anugerah tersebut kerana sepanjang penglibatan dalam program komuniti, fokus utama saya hanyalah untuk berkhidmat dan membantu masyarakat.

“Anugerah ini menjadi satu penghargaan yang sangat bermakna kerana ia membuktikan bahawa setiap usaha kecil yang dilakukan dengan ikhlas mampu memberi impak yang besar kepada orang lain,” katanya.

Berasal dari Kota Tinggi, Johor, Essah Ghani telah mula melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan sejak di bangku sekolah lagi. 

Penglibatan aktif dalam pelbagai program komuniti di kawasan tempat tinggalnya telah menanam minat mendalam terhadap kerja-kerja sukarelawan dan pembangunan masyarakat.

Essah Ghani Dinobat penerima Anugerah Khidmat Komuniti MARS 2025, bukti kejayaan akademik dan kesukarelawanan boleh seiring

Katanya, pengalaman berinteraksi dengan masyarakat serta melihat sendiri pelbagai cabaran yang dihadapi komuniti setempat telah membentuk kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam dirinya untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

“Apabila melangkah ke UMPSA, saya melihat universiti sebagai platform yang lebih luas untuk saya meneruskan minat tersebut. 

“Penglibatan bersama ISKANDAR UMPSA sejak tahun pertama banyak membantu membentuk diri saya dari aspek kepimpinan, kerja berpasukan dan semangat kesukarelawanan.

“Melalui ISKANDAR, saya diberi peluang untuk belajar mengurus program, memimpin pasukan dan melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan serta pembangunan mahasiswa,” ujarnya.

Selain aktif bersama ISKANDAR UMPSA, beliau turut terlibat secara langsung dalam pelbagai program yang dianjurkan oleh Yayasan UMPSA, termasuk program kebajikan, bantuan komuniti dan pembangunan masyarakat.

Tambah beliau, antara pengalaman paling bermakna sepanjang bergelar sukarelawan ialah apabila berpeluang menyertai program komuniti bersama masyarakat luar bandar dan komuniti Orang Asli.

“Melihat kegembiraan mereka walaupun dengan bantuan yang sederhana membuatkan saya lebih menghargai nikmat yang dimiliki.

“Pengalaman tersebut mengajar saya bahawa nilai sebenar sukarelawan bukan terletak pada apa yang kita beri, tetapi bagaimana kehadiran kita mampu membawa harapan kepada orang lain,” katanya.

Bagi Essah Ghani, sukarelawan bukan sekadar aktiviti sampingan, tetapi merupakan satu tanggungjawab sosial yang membentuk keperibadian seseorang.

“Sukarelawan adalah tentang memberi tanpa mengharapkan balasan. 

“Ia bukan sekadar menyertai program atau menjalankan aktiviti, tetapi tentang membina hubungan kemanusiaan, memahami realiti kehidupan orang lain dan menjadi sebahagian daripada usaha untuk membawa perubahan positif,” katanya.

Di sebalik kesibukan mengurus pelbagai program dan aktiviti komuniti, beliau tetap berjaya mengekalkan prestasi akademik yang cemerlang.

Menurutnya, disiplin dan pengurusan masa yang baik merupakan kunci utama dalam memastikan keseimbangan antara akademik, kepimpinan dan aktiviti sukarelawan.

“Saya percaya kepada prinsip disiplin dan konsisten. 

“Saya tidak menunggu sehingga saat akhir untuk belajar, sebaliknya cuba membahagikan masa dengan baik antara akademik, organisasi dan aktiviti sukarelawan.

“Apabila kita mempunyai perancangan yang jelas, kita masih boleh cemerlang dalam akademik walaupun aktif dalam pelbagai program,” katanya.

Beliau mengakui cabaran terbesar sepanjang pengajian adalah mengimbangi komitmen akademik dengan tanggungjawab kepimpinan dan program komuniti yang padat.

Namun, sokongan keluarga, pensyarah dan rakan-rakan menjadi faktor penting yang membantunya terus kekal fokus serta menjadikan setiap cabaran sebagai peluang untuk meningkatkan potensi diri.

Mengulas mengenai persepsi segelintir pelajar bahawa penglibatan aktif dalam program luar boleh menjejaskan prestasi akademik, beliau berpandangan sebaliknya.

“Saya kurang bersetuju dengan pandangan tersebut. 

“Penglibatan dalam program luar sebenarnya membantu pelajar membangunkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, pengurusan masa dan penyelesaian masalah yang tidak diperoleh sepenuhnya di dalam kelas.

“Apa yang penting ialah kebijaksanaan dalam mengurus masa dan menentukan keutamaan,” katanya.

Beliau turut mendedikasikan kejayaan tersebut kepada kedua ibu bapanya yang sentiasa menjadi sumber inspirasi dan kekuatan sepanjang perjalanan pengajiannya.

Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada pensyarah, rakan-rakan, Yayasan UMPSA, ISKANDAR UMPSA serta semua individu yang pernah membimbing dan bekerjasama dengannya dalam pelbagai aktiviti sukarelawan dan kepimpinan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan khas kepada keluarga besar ISKANDAR UMPSA yang banyak membantu membentuk diri saya sejak tahun pertama pengajian di UMPSA. 

“Segala pengalaman, tunjuk ajar dan sokongan yang diberikan telah memainkan peranan besar dalam perkembangan diri saya sebagai seorang mahasiswa dan pemimpin.

“Hakikatnya, kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi merupakan hasil usaha, doa, bimbingan dan sokongan daripada ramai pihak yang sentiasa berada di sisi saya sepanjang perjalanan ini,” ujarnya.

Mengakhiri perkongsian, Essah menitipkan pesanan kepada rakan-rakan mahasiswa agar tidak takut untuk mencuba perkara baharu dan keluar daripada zon selesa.

“Universiti bukan sekadar tempat mendapatkan ijazah, tetapi medan untuk membina pengalaman, jaringan dan nilai diri. 

“Sertailah program, berbaktilah kepada masyarakat dan rebutlah peluang yang ada kerana pengalaman itulah yang akan membentuk diri kita pada masa hadapan.

“Belajar untuk berjaya, tetapi berkhidmat untuk memberi makna kepada kejayaan itu,” katanya.

Majlis Anugerah Mercu Sanjung (MARS) 2025 telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Seri Abd Razak Jaafar dan turut dihadiri Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, pengurusan tertinggi universiti, para alumni, rakan strategik industri serta pelajar UMPSA.

Penganjuran MARS merupakan platform pengiktirafan tertinggi universiti dalam menghargai mahasiswa yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan, kesukarelawanan, khidmat komuniti, keusahawanan, inovasi, kesenian, perpaduan, sukan dan rekreasi.

Dalam majlis tersebut, beliau membawa pulang trofi, wang tunai berjumlah RM300 dan sijil sebagai simbol pengiktirafan terhadap komitmen dan sumbangan cemerlang beliau dalam bidang kesukarelawanan dan khidmat masyarakat sepanjang pengajian di UMPSA.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri