Skip to main content

Majlis Anugerah Mercu Sanjung iktiraf bakat mahasiswa UMPSA

GAMBANG, 10 Jun 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda pembangunan mahasiswa holistik apabila meraikan pencapaian dan kecemerlangan pelajarnya menerusi Majlis Anugerah Mercu Sanjung (MARS) 2025 yang berlangsung penuh gemilang di Dewan Kompleks Sukan UMPSA, Kampus Gambang malam ini.

Majlis berprestij itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Seri Abd Razak Jaafar dan turut dihadiri Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, pengurusan tertinggi universiti, para alumni, rakan strategik industri serta pelajar UMPSA.

Penganjuran MARS merupakan platform pengiktirafan tertinggi universiti dalam menghargai mahasiswa yang telah menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam pelbagai bidang merangkumi kepimpinan, kesukarelawanan, khidmat komuniti, keusahawanan, inovasi, kesenian, perpaduan, sukan dan rekreasi. 

Majlis ini turut menjadi simbol penghargaan universiti terhadap usaha, dedikasi dan komitmen mahasiswa yang berjaya mengharumkan nama UMPSA di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, MARS bukan sekadar majlis penyampaian anugerah, malah merupakan manifestasi kejayaan mahasiswa yang telah berjaya membuktikan keupayaan mereka sebagai individu berdaya saing, berintegriti dan mampu menjadi pemimpin masa depan negara.

Majlis Anugerah Mercu Sanjung iktiraf bakat mahasiswa UMPSA

“Sepanjang tahun 2025, UMPSA telah menyaksikan perkembangan luar biasa dalam landskap pembangunan mahasiswa apabila lebih 500 program pembangunan pelajar berimpak tinggi berjaya dilaksanakan melalui Majlis Teras Aktiviti Pelajar (MTAP) di bawah seliaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Pelbagai kejayaan telah dilakar oleh mahasiswa UMPSA sepanjang tahun lalu termasuk kejayaan Kelab Penyayang UMPSA yang dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia 2025 dan membawa pulang geran bernilai RM25,000 bagi melaksanakan projek khidmat komuniti di perkampungan Orang Asli di Jerantut.

“Selain itu, pasukan Robotik UMPSA turut mencipta nama apabila merangkul dua pingat emas dan gelaran Robosot Master dalam kejohanan antarabangsa 18th Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, pasukan E-Motion dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) turut mengharumkan nama universiti apabila muncul Juara Keseluruhan dalam pertandingan Next Generation Vehicle (NxGV) Challenge 2025, manakala seramai 62 mahasiswa berjaya memperoleh pelbagai pensijilan profesional dalam bidang rekreasi, sukan dan kecergasan.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa mahasiswa UMPSA bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mampu menyerlah dalam pelbagai bidang lain yang menyumbang kepada pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kebolehpasaran graduan.

“Selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 dan kerangka UMPSA30, universiti komited melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki kecemerlangan akademik tetapi juga nilai kemanusiaan, daya tahan serta kemampuan memimpin masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim berkata, MARS merupakan satu manifestasi penghargaan universiti terhadap mahasiswa yang telah berjaya menterjemahkan potensi diri kepada pencapaian yang membanggakan serta menjadi contoh kepada warga kampus yang lain.

“Pendekatan pembangunan mahasiswa di UMPSA yang berteraskan konsep ‘memanusiakan manusia’ telah berjaya melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja aktif dalam aktiviti kampus, malah mampu berperanan sebagai pengamal ilmu, usahawan dan penggerak ekonomi yang menyumbang kepada pembangunan universiti serta masyarakat.

“UMPSA telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi pembangunan mahasiswa, pemerkasaan badan pelajar dan penambahbaikan fasiliti sepanjang tahun lalu.

“Hasil daripada pelaburan tersebut, kadar pendaftaran persatuan pelajar prasiswazah telah mencapai 94.6 peratus, selain penawaran 23 modul kokurikulum yang menyediakan 8,940 tempat kepada mahasiswa.

“Penyertaan mahasiswa dalam badan beruniform terus meningkat dengan penglibatan 964 kadet merentasi sembilan badan beruniform aktif termasuk penubuhan badan beruniform baharu iaitu Siswa Siswi Koreksional (SISKOR), selain seramai 216 pegawai muda berjaya ditauliahkan pada tahun lalu,” ujarnya. 

Dalam usaha memastikan pembangunan mahasiswa terus diperkasakan, universiti turut menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran berasaskan pengalaman menerusi Akademi A.D.A.B termasuk fasiliti rekreasi dan sukan bertaraf tinggi seperti abseiling, flying fox, ATV, tapak perkhemahan, kayak, water zorbing serta kolam selaman yang melahirkan pelajar dengan pensijilan profesional penyelamat akuatik (MAQRA).

Majlis menyaksikan 31 anugerah dipertandingkan melibatkan kategori individu, kerjaya, alumni, pembelajaran sepanjang hayat, badan pelajar dan anugerah berkumpulan. 

Majlis Anugerah Mercu Sanjung iktiraf bakat mahasiswa UMPSA

Antara anugerah yang dipertandingkan termasuk Ikon Kepimpinan, Ikon Sukarelawan, Ikon Khidmat Komuniti, Ikon Ulul Albab, Ikon Usahawan Siswa, Ikon Kelestarian, Anugerah Badan Pelajar Terbaik, Anugerah Kumpulan Sukarelawan Terbaik dan Anugerah Kumpulan Khidmat Komuniti Terbaik.

Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian tiga anugerah utama iaitu Anugerah Mercu Sanjung UMPSA (Individu) disandang Nurin Izzatie Rahamdan, Anugerah Khas Kepimpinan dirangkul Kelab Penyayang UMPSA dan Anugerah Mercu Sanjung (Berpasukan) diraih Sukarelawan Yayasan UMPSA.

Anugerah ini menjadi pengiktirafan tertinggi kepada mahasiswa dan pasukan yang telah menunjukkan pencapaian luar biasa serta memberi impak signifikan kepada universiti dan masyarakat.

Penganjuran MARS 2025 membuktikan komitmen berterusan UMPSA dalam melahirkan graduan yang seimbang dari aspek akademik, kepimpinan, sahsiah dan kemahiran insaniah selaras dengan aspirasi DNA A.D.A.B (Aspire, Dynamic, Agile dan Balanced) yang menjadi teras pembangunan mahasiswa universiti.

Majlis ini juga sebagai pemangkin kepada mahasiswa untuk terus melakar kecemerlangan dan mengangkat nama UMPSA sebagai universiti teknologi terunggul yang melahirkan graduan kompeten, berdaya tahan dan berjiwa masyarakat di peringkat global.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri