UMP raih Anugerah Khas Alam Sekitar
Pekan, 23 Oktober- Universiti Malaysia Pahang (UMP) dinobatkan penerima Anugerah Khas Alam Sekitar sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat negeri Pahang 2017 atas sumbangan universiti ini dalam pengurusan alam sekitar dengan cemerlang. Penganugerahan bagi kategori institusi pengajian tinggi terbaik ini sebagai menghargai sumbangan UMP dalam menjalankan program kesedaran secara berterusan serta menjalankan hubungan baik dengan agensi setempat khususnya melibatkan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim menerima sijil penghargaan dan cenderamata daripada Setiusaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Pekan baru-baru ini.
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim, penganugerahan ini suatu pengiktirafan untuk UMP terus proaktif dalam usaha memupuk kesedaran, menanam rasa tanggungjawab dan menggalakkan kerjasama dalam aktiviti penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar. “UMP yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi juga akan sama-sama menyumbang dengan lebih signifikan terhadap agenda kelestarian alam sekitar melalui penyelidikan dan inovasi yang relevan,” katanya.
UMP dan JAS pernah bekerjasama dalam penganjuran Program Rakan Alam Sekitar sempena Sambutan Hari Bumi dan Inisiatif Kampus Hijau UMP dan Rakan Alam Sekitar (RAS) untuk membangunkan kesedaran dan mengerakkan anggota masyarakat terhadap aktiviti pemulihan alam sekitar. Aktiviti lain juga termasuklah program kerjasama dengan pihak Sultan Ahmad Shah Environment Trust (SASET) dalam aktiviti pemulihan dan pemeliharaan alam sekitar di negeri Pahang menerusi Program Go Green With SASET yang menjalankan aktiviti penanaman pokok di Tapak Ramsar Tasek Bera (Pahang) di bawah Projek Penghijauan Pahang.
Selain itu, UMP juga melaksanakan program pendidikan dan kesedaran Amalan Gaya Hidup Sihat sebagai salah satu aktiviti yang menyumbang kepada inisiatif penghijauan dalam kalangan warga kampus. UMP turut meraih kedudukan ke-58 terbaik dunia berdasarkan usaha melestarian kampus dan pengurusan alam sekitar dalam penarafan UI-GreenMetric World University Ranking 2016 yang diterbitkan tahun lalu. Universiti ini sentiasa menyokong budaya penghijauan kampus seiring dengan pembangunan pesat yang dialaminya tanpa meminggirkan pembangunan komuniti di sekitarnya.
Disediakan Bahagian Komunikasi Korporat
- 71 views