Skip to main content

UMPSA buktikan keunggulan inovasi, rangkul 4 Anugerah di IMInE 2.0

SHAH ALAM, 14 April 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencipta kejayaan membanggakan apabila merangkul empat anugerah utama dalam International Millennipreneur Innovation & Commercialization Exhibition (IMInE 2.0) yang berlangsung dari 12 hingga 14 April 2026 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Univeriti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), UiTM itu berperanan sebagai platform memperkasa ekosistem inovasi dan keusahawanan antarabangsa melalui pameran fizikal serta sesi penjurian. 

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan, KPT, Hazlan Abdul Hamid bersama dan Penolong Naib Canselor (Keusahawanan), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Dr. Badrul Isa.

UMPSA buktikan keunggulan inovasi, rangkul 4 Anugerah di IMInE 2.0

UMPSA telah menghantar tiga pasukan yang melibatkan 13 pelajar dan tiga mentor. 

Pasukan Vortex Resources dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) di bawah bimbingan Dr. Nur Huda Ramlan, yang diwakili oleh Sudhish Rao a/l Narasinga Rao, Sri Prashad a/l Palani, Kirrtana a/p Sathiamorthy dan Nurul Natasya Ismail, mencipta kejayaan cemerlang apabila merangkul anugerah Prototaip Terbaik, Ruang Pameran Terbaik, Idea Inovasi Terbaik serta muncul juara Kategori Agro dan Pertanian.

Sementara itu, dua lagi pasukan dari Fakulti Komputeran (FK), yang diwakili oleh Muhammad Izzuddin Mohmed Rejab, Iyad Hakimi Syukur, Muhamad Harith Zuhhairi dan Muhammad Anazhakimi Mohammad di bawah bimbingan Ts. Dr. Nor Saradatul Akmar Zulkifli, serta pasukan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) di bawah bimbingan Ts. Idris Mat Sahat, yang diwakili oleh Kaseh Alya Amani Maizan, Muhammad Adam Najmie Airul Azmel, Lohithakshan Nair a/l Saravanakumaran, Ahmad Wafiy Abdul Kadir dan Muhamad Arif Adam Sham Shul Baharin turut menunjukkan komitmen tinggi dan menerima sijil penyertaan.

Penganjuran IMInE 2.0 turut memberi impak signifikan melalui pendedahan kepada teknologi masa hadapan seperti Metaverse, pembentukan graduan sebagai pencipta pekerjaan dan pengukuhan jaringan strategik antara akademik, industri serta kerajaan.

Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam melahirkan graduan berdaya saing global dan memperkukuh kedudukan universiti sebagai peneraju keusahawanan serta inovasi di peringkat antarabangsa.

Disediakan Oleh: Jasminah Adnan, Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri