Skip to main content

UMPSA dinobat sebagai penerima Anugerah Buku Negara 2023

KUALA LUMPUR, 22 Disember 2023 – Hasil kerjasama lintas sempadan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam bidang penerbitan ilmiah meraih kejayaan apabila buku yang berjudul ‘Rukun Negara dan Pancasila: Ideologi dan Amalan’ telah diiktiraf sebagai penerima Anugerah Buku Negara 2023 bagi Buku Umum Terbaik Kategori Industri (Kenegaraan).
 
Pengiktirafan tersebut telah disampaikan sempena Majlis Anugerah Buku Negara 2023 yang diadakan pada 22 Disember 2023 bertempat di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.

Buku yang diterbitkan oleh Penerbit UMPSA di bawah kelolaan Institut Tamadun dan Kajian Strategi (ITKAS) ini juga telah dilancarkan pada tahun 2022 bersempena Wacana Serantau Rukun Negara-Pancasila yang diadakan di Hotel Zenith, Kuantan tahun lalu menerusi hasil cetusan idea daripada mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Tan Sri Dato' Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.

Buku tersebut menggabungkan kupasan literatur hasil penulisan pensyarah dari UMPSA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universitas Negeri Yogjakarta (UNY) dan Universitas Gadjah Mada (UGM) serta menelusuri konsep, amalan serta penghayatan Rukun Negara dan Pancasila dalam mendepani cabaran sosial, ekonomi, politik, pendidikan dan undang-undang bagi kedua-dua buah negara.

Menurut Pengarah Penerbit UMPSA, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Norazlianie Sazali, buku yang diterbitkan ini merupakan buku pertama yang membicarakan soal rukun negara dan pancasila secara menyeluruh dalam sebuah buku karya suntingan yang lengkap dan holistik berdasarkan kajian tiga buah universiti di Malaysia dan juga Indonesia.

“Terbitan buku tersebut adalah sebagai usaha bagi memperkaya sumber bacaan mengenai teras ideologi pembentukan jati diri bangsa Malaysia dan Indonesia yang dilihat mempunyai persamaan akrab dari sudut kandungan dan aspirasinya.

“Ideologi ini sangat jelas motifnya, namun sehingga kini tidak dapat diterjemahkan dengan berkesan dalam kehidupan seharian masyarakat.  

“Sebenarnya, ia perlu dihayati dan diamalkan di semua sektor governan dan kemasyarakatan dalam sesebuah negara agar ia kekal relevan sepanjang masa dan dapat menjamin kesejahteraan generasi akan datang,” ujarnya.

Tambahnya, buku Rukun Negara dan Pancasila yang mengandungi 23 artikel ilmiah dan setebal 374 muka surat itu memperuntukkan tempoh masa hampir empat bulan untuk disiapkan. 

“Dalam tempoh yang singkat, sudah pasti terdapat cabaran-cabaran tertentu yang terpaksa dihadapi sepanjang menyiapkan proses terbitan berkenaan selain mengejar masa dan perlu memastikan keselarasan dari aspek bahasa serta ketelitian fakta agar tidak menjadi isu dan berlaku sebarang percanggahan.

“Dengan kejayaan yang diperoleh ini, secara tidak langsung bukan sahaja membuktikan kualiti penerbitan UMPSA di tahap terbaik, malah menunjukkan kerjasama antara universiti, editor dan penulis merupakan resepi kejayaan dalam apa-apa juga aktiviti yang ingin kita lakukan. 

“Secara amnya, penerbitan berimpak tinggi di UMPSA sudah memasuki fasa baharu iaitu kita tidak lagi hanya menerbit sahaja sebaliknya fokus kita sudah terarah kepada kualiti kandungan dan impak sesuatu penerbitan tersebut kepada komuniti dan juga negara,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar kejayaan ini dapat membakar semangat barisan para akademia yang lain bagi menghasilkan karya yang bermutu tinggi untuk bacaan masyarakat.

Menurut beliau lagi banyak aspek dalam sains sosial yang boleh diterokai untuk diterbitkan menjadi sebuah buku atau kajian ilmiah antaranya teknologi rumah tradisional, asal usul masyarakat, peristiwa-peristiwa perjuangan dan sejarah serumpun ideologi Malaysia-Indonesia.

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
ainaa adhreena