Skip to main content

UMPSA iktiraf pensyarah cemerlang dalam Anugerah Cendekia Bitara

KUANTAN, 28 September 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraikan para pensyarahnya yang cemerlang dalam Majlis Anugerah Cendekia Bitara (ACB) yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.

Seramai 81 orang penyelidik UMPSA bertaraf dunia menerima  anugerah yang merangkumi 141 Anugerah Cendekia Bitara (ACB) bagi sepuluh kategori manakala enam Anugerah e-Pembelajaran Universiti (APU) dan satu Anugerah Akademik Universiti (AAU) yang dikhususkan kepada warga akademianya yang terbukti berwibawa dalam lapangan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Hadir merasmikan majlis ialah Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor. 

Turut sama hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato' Seri Abdul Razak Jaafar,  Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Anugerah Cendekia Bitara 2023 serta barisan pengurusan. 

Menurut Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari, majlis ini merupakan satu platform untuk memperkukuhkan budaya penyelidikan yang mendalam dan berterusan. 

“Setiap anugerah yang diberikan hari ini adalah bukti kepada kecemerlangan dan dedikasi individu-individu yang komited dalam menghasilkan kajian berimpak tinggi.

“Berdasarkan Elsevier Database, Stanford University, seramai 19 orang penyelidik UMPSA tersenarai sebagai World’s Top 2% Scientist bagi dua kategori iaitu sepuluh orang penyelidik tersenarai bagi kategori CareerLong Achievement manakala seramai 18 penyelidik bagi kategori Single Year Achievement”.

“Kualiti penyelidikan yang dihasilkan bukan sahaja diukur melalui penerbitan atau pengiktirafan nasional dan antarabangsa, tetapi juga berdasarkan keupayaannya menyumbang kepada pembangunan dasar, inovasi industri, serta peningkatan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya. 

Malahan katanya, setiap penemuan baharu adalah batu loncatan untuk penemuan yang lebih besar. 

“Saya berharap agar semua penyelidik akan terus mencari penyelesaian inovatif yang berasaskan data yang kukuh, analisis yang tepat, dan pendekatan saintifik yang berintegriti,” katanya. 

Sementara itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, pencapaian yang diraih dalam bidang penyelidikan dan inovasi sepanjang tahun 2023 memastikan UMPSA berada di landasan tepat bagi menjulang ilham kejayaan dan secara langsung meningkatkan peranan universiti melahirkan penyelidik yang mahir dan cemerlang.

UMPSA iktiraf pensyarah cemerlang dalam Anugerah Cendekia Bitara

“Penyertaan UMPSA dalam pertandingan produk penyelidikan sebegini merupakan galakan kepada penyelidik untuk menonjolkan inovasi yang direka dan meneroka peluang produk penyelidikan berpotensi untuk dibangunkan menjadi produk komersial atau penyelesaian yang dapat diaplikasikan dalam industri.

“Sehingga tahun 2023, sebanyak 39 produk penyelidikan UMPSA telah berjaya dikomersialkan dengan jumlah jualan kasar terkumpul iaitu RM7.4 Juta telah direkodkan.

“Penyelidik UMPSA, giat terlibat di dalam aktiviti perundingan dengan menyumbang kepakaran, perkhidmatan profesional, kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang melalui infrastruktur, fasiliti dan peralatan saintifik yang ada di UMPSA.

“Seiring dengan peralihan semasa ke arah teknologi terkini, penyelidik juga perlu memainkan peranan penting dalam penerapan pengetahuan dan teknologi berasaskan teknologi digital seperti AI Powered Data Analysis, Quantum Computing for Complex Simulations, Drone-Based Environmental Sampling dan Blockchain for Data Integrity dalam membuat keputusan kritikal berdasarkan fakta serta komunikasi maklumat,” ujarnya. 

Dalam majlis tu, beberapa anugerah diberikan kepada para penyelidik iaitu Anugerah Penerbitan Jurnal (59), Penerbitan Buku (41), Buku (1) geran antarabangsa (6), geran Industri (2), geran agensi (6), perundingan (1), produk penyelidikan (1) dan kualiti penyelidikan (1). 

UMPSA iktiraf pensyarah cemerlang dalam Anugerah Cendekia Bitara

Manakala AAU melibatkan Anugerah Pengajaran (Kategori Kejuruteraan). Sementara itu, APU menyaksikan kategori Anugerah Micro-Credentials Terbaik (5) dan Anugerah e-Pembelajaran (1). 

Bersempena majlis ini juga, UMPSA turut meraikan wakil industri sebagai penghargaan terhadap kolaborasi dan jaringan erat universiti-industri. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Naqiah Puaad